Pekerja migran memainkan peranan penting dalam pembangunan Singapura dan dalam memperkaya fabrik sosial dan keagamaan masyarakat.
Ini termasuk membina sifat saling menghormati, memberi sokongan dan usaha kolektif dalam mengatasi cabaran.
Kata-kata pembakar semangat buat pekerja migran itu disampaikan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, dalam satu majlis iftar bersama pekerja migran di pusat riadah pekerja migran (MWRC) Penjuru, di 27 Penjuru Walk, Pioneer, Jurong pada 16 Mac.
Berucap kepada sekitar 2,000 pekerja migran di situ, Dr Hannan berkata:
“Kerja keras dan dedikasi anda dihargai, bukan sahaja oleh keluarga anda, bahkan juga oleh orang di sekeliling. Anda adalah sebahagian daripada kami, dan kami adalah sebahagian daripada anda. Bersama-sama, kita menjadi lebih kukuh.
“Mari kita terus menyokong satu sama lain. Memang akan ada cabaran dan perbezaan di antara kita, tetapi ini adalah peluang untuk kita berkembang.
“Kita harus sentiasa melihat gambaran yang lebih besar. Jika kita ingin dilayan dengan baik oleh orang lain, kita juga mesti melayan mereka dengan baik.”
Majlis iftar tersebut, yang diadakan untuk kali ketiga sejak 2022, bertujuan memupuk keterangkuman dan memberi penghargaan kepada pekerja migran dengan menghimpunkan mereka semasa Ramadan.
Ia dianjurkan oleh badan belia, IMYouth (Indian Muslim Youth), dan disokong oleh Persatuan Podakkudi Singapura, Persatuan Kebajikan Muslim Tenkasi Singapura dan Taj Mahal Foods.
Pekerja migran yang hadir, dengan kebanyakannya berasal dari Bangladesh, disajikan hidangan seperti nasi beriani, bubur, kuih-muih, karipap dan kurma.
Bagi Pengerusi IMYouth, Encik Mohamed Ashiq Abdul Aziz, majlis tersebut bukan sahaja merupakan tanda penghargaan terhadap sumbangan pekerja migran di Singapura, bahkan juga sebagai peringatan bahawa mereka tidak bersendirian.
“Selain menyediakan juadah berbuka, majlis ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peri pentingnya melibatkan pekerja migran dalam sambutan masyarakat di Singapura, serta memberi peringatan bahawa mereka juga mempunyai keluarga di tanah air yang dirindui.
“Melalui inisiatif ini, kami ingin mengingatkan mereka bahawa mereka tidak bersendirian, dan rakyat Singapura bersatu hati bersama mereka, meraikan Ramadan sebagai sebuah masyarakat,” kongsi Encik Mohamed Ashiq.
Sementara itu, Dr Hannan turut mengiktiraf usaha IMYouth di samping menekankan bahawa penglibatan mereka adalah satu lambang penghargaan yang bermakna terhadap pekerja migran dan masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg