Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iftar bersama rumah kebajikan Muhammadiyah perkukuh ikatan keluarga

Mar 22, 2024 | 8:34 PM
Anak-anak Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) berhimpun bersama keluarga mereka untuk berbuka puasa beramai-ramai pada 22 Mac semasa majlis iftar tahunan RKM.
Anak-anak Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) berhimpun bersama keluarga mereka untuk berbuka puasa beramai-ramai pada 22 Mac semasa majlis iftar tahunan RKM. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Anak-anak Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) serta keluarga mereka berkumpul dan berbuka puasa beramai-ramai pada 22 Mac untuk membina dan memperkukuh hubungan kekeluargaan.

Acara tahunan tersebut dihadiri sekitar 230 tetamu, termasuk pegawai, penderma dan sukarelawan RKM, serta bekas penghuni yang dahulunya menetap di RKM Mountbatten Road.

Majlis iftar itu, yang diadakan di RKM yang kini terletak di 101 Pasir Ris Road, diserikan tetamu terhormat, Anggota Parlimen (AP), Encik Sharael Taha, (GRC Pasir Ris-Punggol).

Berucap dalam majlis itu, Encik Sharael mengiktiraf RKM atas usaha berterusan mereka memperkukuh semangat kemasyarakatan dan ikatan keluarga.

Beliau turut melahirkan penghargaan atas usaha RKM memberi dorongan, sokongan dan platform untuk belia mempelajari dan membina keyakinan mereka agar mereka sedia untuk berjaya dalam kehidupan.

“Di Singapura, kami bernasib baik kerana mempunyai keselamatan dan mendapat pelbagai bantuan daripada masyarakat.

“Bukan sahaja keluarga dan organisasi keadilan, malah sukarelawan bersama-sama menunjukkan sokongan kepada belia kita dan memberitahu mereka bahawa mereka tidak bersendirian dalam memupuk nilai yang bakal membantu mereka kelak,”

“Program seperti iftar ini hanyalah salah satu daripada banyak program yang amat penting untuk kita sertai kerana anak-anak RKM dapat melihat sokongan yang mereka terima daripada masyarakat, bahawa mereka tidak bersendirian,” tambah Encik Sharael.

Ketua RKM, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed, berkata majlis berbuka itu berfungsi sebagai wadah untuk penghuni RKM membina dan memperkukuh hubungan kekeluargaan.

Cik Rahmatunnisa turut meluahkan harapan terhadap penghuni RKM agar “mereka menjadi individu dan Muslim yang baik, bijak menilai dan bertanggungjawab kerana mereka bakal menjadi ketua keluarga yang mampu mengubah generasi akan datang”.

Antara program yang diadakan semasa majlis itu adalah bacaan Al-Quran oleh penghuni, tazkirah pendek oleh Ustaz Ahmad Khusairy dan solat Maghrib berjemaah. 

Selain majlis iftar, pengerusi RKM, Ustaz Muhammad Azri Azman, juga berkongsi bahawa RKM telah melakarkan pelbagai program sepanjang Ramadan untuk anak-anak RKM, termasuk kerja-kerja menyumbang semula kepada masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg