Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iftar Kedutaan AS galak persefahaman, persabahatan antara kaum

Maliki: Ramadan peluang kaji diri, amal disiplin dan tebar ihsan
Mar 20, 2025 | 8:16 PM
Charge d’Affaires (Diplomat Kedutaan yang menggalas amanah ketika duta tiada) di Kedutaan Amerika, Encik Casey Mace (kiri), dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, bergambar di acara buka puasa Kedutaan Amerika Syarikat, yang menekankan mesej persefahaman antara kaum.
Charge d’Affaires (Diplomat Kedutaan yang menggalas amanah ketika duta tiada) di Kedutaan Amerika, Encik Casey Mace (kiri), dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, bergambar di acara buka puasa Kedutaan Amerika Syarikat, yang menekankan mesej persefahaman antara kaum. - Foto FACEBOOK MALIKI OSMAN

Singapura dan Amerika Syarikat telah menjalin persahabatan yang lama dan kukuh, merangkumi pelbagai aspek seperti ekonomi dan pertahanan.

Kerjasama yang terjalin amat mendalam dan saling melengkapi, dengan peluang dinanti-nanti bagi kededua negara meneroka bidang kerjasama tambahan demi memperkukuh hubungan dua hala ini.

Demikian jelas Menteri Di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, dalam satu hantaran di Facebook mengenai acara berbuka puasa antara agama, yang dianjurkan Chargé d’Affaires (Diplomat Kedutaan yang menggalas amanah ketika duta tiada), Encik Casey Mace, dan Kedutaan Amerika pada 19 Mac.

Acara itu merupakan satu tradisi tahunan Kedutaan Amerika yang bertujuan mengekalkan perpaduan di samping menjalin persahabatan dan persefahaman, tidak kira bangsa atau agama. 

Antara pemimpin yang hadir termasuk mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed; imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas; dan Presiden Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), Encik Ameerali Abdeali.

Dr Maliki, dalam hantaran di Facebook, berkata: “Ramadan adalah masa untuk mengkaji diri, taat pada perintah agama, puasa dan solat.

“Ia membawa pengertian penting bagi umat Islam serata dunia. Ia juga peluang untuk seseorang mengembangkan kerohanian, mengamalkan disiplin diri, dan menunjukkan ihsan, budi baik dan sikap murah hati kepada mereka di sekeliling kita.

“Acara sebegini membantu menggalak kesatuan arah, persahabatan, dan pemahaman.

“Ia menunjukkan bagaimana masyarakat daripada latar belakang berbeza, tanpa mengira kaum, agama atau negara, bersatu hati berkongsi hidangan dan meraikan (nikmat Ramadan),” jelasnya.

Encik Mace, dalam ucapannya, pula menganggap Singapura sebagai contoh terbaik nilai toleransi dan keharmonian yang wujud dalam sebuah negara.

Beliau turut mengetengahkan semangat Ramadan dalam Islam, di mana umatnya mengemudi cabaran dengan kelembutan hati dan daya tahan, di samping kepentingan semangat kemanusiaan yang dikongsi bersama.

Acara iftar ini adalah antara beberapa sesi berbuka puasa yang telah dihadiri Dr Maliki sepanjang Ramadan, termasuk acara berbuka puasa GRC East Coast, dan acara berbuka puasa anjuran Berita Harian (BH) bersama penghuni Rumah Anak Yatim Darul Ihsan.

Semasa acara berbuka puasa di GRC East Coast, Dr Maliki yang terkesan dengan peperangan di Timur Tengah, berkata:

“Ramadan pada tahun ini (2025) amat sukar bagi saya kerana apabila saya melawat negara Timur Tengah, saya terfikir apa yang dapat dilakukan untuk membantu mereka di sana.”

Dr Maliki turut menekankan betapa pentingnya persahabatan di peringkat antarabangsa bersama setiap kaum di Singapura dan juga di luar negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg