Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pupuk budaya memberi, kongsi rezeki menerusi agihan bubur

13 kumpulan penunggang motosikal salur bakti menerusi kerjasama dengan WGS
Mar 17, 2025 | 4:54 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), turut serta mengagih bubur di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 16 Mac.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), turut serta mengagih bubur di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 16 Mac. - Foto WGS

Sebanyak 1,000 pek bubur diagihkan lagi untuk minggu kedua di Wisma Geylang Serai (WGS) dalam satu inisiatif kemasyarakatan yang turut melibatkan sekumpulan penunggang motosikal Singapura, yang ingin berbakti sempena Ramadan.

Kali ini, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, merupakan pemimpin yang tampil bertemu masyarakat, bersembang sambil mengagihkan bubur kepada orang ramai yang berkunjung ke WGS.

Awal sebelum itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, turun padang bagi sesi pengagihan bubur pertama oleh WGS pada 9 Mac. 

Satu perkara yang menggalakkan ialah melihat abang dan kakak ‘biker’ sama-sama bergotong-royong bagi mengumpul dana, mendapatkan penaja, serta menyediakan bubur bagi sesi pengagihan tersebut.

Daya usaha itu dimulakan sejak 2022 dengan kerjasama Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB).

Antara sukarelawan daripada kumpulan penunggang motosikal yang tampil menyalur bakti murni ialah, Cik Zarina Yahya, daripada kumpulan penunggang motosikal, Kerengga.

Cik Zarina, 53 tahun, berkata: “Dalam Ramadan ini, setiap orang ingin beramal ibadah. Namun, tidak semua berpeluang melakukannya atas komitmen tugas.

“Oleh itu, kami sebagai kumpulan penunggang motosikal mengambil peluang untuk beramal dan menyumbang kepada masyarakat menerusi pengagihan bubur ini.”

Beliau berharap agar inisiatif sedemikian dapat memupuk semangat berkongsi rezeki antara penunggang motosikal dengan masyarakat secara lebih meluas, sekali gus mengukuhkan budaya memberi dan bersedekah.

Dr Faishal pula menjelaskan sesi sebegitu bukan sahaja memberi keceriaan kepada masyarakat Melayu/Islam yang ingin berbuka bahkan juga kaum lain termasuk dari luar negara yang ingin merasakan hidangan tradisi berupa bubur sempena Ramadan.

“Antara penerima bubur terdiri daripada penduduk berbangsa Cina, India, serta mereka yang berasal dari luar negara seperti Australia. 

“Justeru, ini menjadi satu peluang bagi kita berkongsi budaya, adab, serta cara kehidupan masyarakat Melayu/Islam di Singapura,” ujarnya.

“Dalam Ramadan ini, setiap orang ingin beramal ibadah. Namun, tidak semua berpeluang melakukannya atas komitmen tugas.  Oleh itu, kami sebagai kumpulan penunggang motosikal mengambil peluang untuk beramal dan menyumbang kepada masyarakat menerusi pengagihan bubur ini.”
Cik Zarina Yahya, penunggang motosikal daripada kumpulan Kerengga.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg