Kumpulan penjagaan kesihatan swasta IHH Healthcare, yang mengendalikan empat hospital tempatan di bawah jenama Gleneagles, Mount Elizabeth dan Parkway, sedang memerhati pertumbuhan di Singapura dan Hong Kong.
IHH, yang sudah memiliki lebih 80 hospital di seluruh dunia, mengumumkan perjanjian terbarunya untuk memperoleh Hospital Island di Pulau Pinang pada 4 September.
Ketua pegawai korporatnya, Encik Ashok Pandit, berkata rancangan mereka membuka 15 klinik baru dan dua Pusat Rawatan Ambulatori (ACC) di Singapura menjelang 2028, serta enam klinik baru atau ACC di Hong Kong dalam tempoh masa yang sama, berjalan lancar.
Syarikat itu juga sedang meneroka kemungkinan memasuki pasaran baru seperti Indonesia dan Vietnam, lapor The Straits Times (ST).
“Namun ia memerlukan pelbagai pertimbangan seperti penjajaran dengan strategi keseluruhan kami, peluang pasaran dan rangka kerja pengawalan untuk dinilai, sebelum sebarang keputusan lanjut boleh diambil,” kata Encik Pandit.
Kumpulan tersebut, yang turut tersenarai di Malaysia, baru-baru ini mengumumkan penyertaannya dalam perjanjian jual beli untuk memperoleh secara keseluruhan Hospital Island, sebuah hospital swasta yang memenuhi keperluan pelancong kesihatan, khususnya dari Indonesia.
Perjanjian tersebut bernilai RM4.2 bilion ($1.26 bilion) dan dijangka selesai pada penghujung 2024.
Encik Pandit berkata IHH memilih untuk mengembangkan operasinya di Pulau Pinang kerana ia sudah dikenali di sana melalui Hospital Pantai Pulau Pinang dan Gleneagles Pulau Pinang.
“Sistem operasinya yang mantap disokong oleh sekumpulan pakar yang handal, menarik minat kami untuk memperoleh aset ini. Ia juga membantu dalam mengukuhkan lagi kedudukan kami di Pulau Pinang serta meningkatkan penyertaan kami dalam sektor pelancongan perubatan Malaysia,” tambah beliau.
IHH melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM623 juta bagi suku kedua tahun fiskal 2024, naik dua kali ganda daripada tahun sebelumnya, dalam penyata kewangannya pada 29 Ogos.
Para penganalisis memberitahu ST bahawa harga saham IHH berpotensi naik lagi, namun pengambilalihan Hospital Island boleh mencairkan pendapatan firma dalam jangka pendek.
Encik Isaac Lim, ketua strategi pemasaran di firma pembrokeran digital Moomoo, berkata sebarang pencairan jangka pendek tidak akan memberi kesan ketara kepada keuntungan IHH, kerana ia telah menyaksikan pertumbuhan kukuh sejak tiga tahun lalu.
Encik Tay Wee Kuang, pengarah penyelidikan bersekutu di CGS International Securities, pula menjelaskan bahawa pengambilalihan Hospital Island hanya akan mengakibatkan kesan terhad ke atas IHH kerana kedudukan ekonomi semasanya yang kukuh.
Saham IHH di Bursa Singapura ditutup rendah pada $2.03 pada 11 Sept.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg