Madah tersulam mengemis cinta,
Selayang pandang lara terubat,
Sembah salam pemanis kata,
Majlis gemilang semoga berkat.
Tahun ini, kita meraikan ulang tahun ke-26 Anugerah Jauhari, dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada anda semua – terutama para pembaca, pengiklan, rakan korporat, dan panel hakim, termasuk penyampai utama, FairPrice Group, dan dua penaja baru tahun ini, Royal Kings Group dan Orange Tee. Terima kasih atas sokongan anda.
Berita Harian (BH) telah melalui satu transformasi besar sejak tahun lalu. Kami kini mempunyai tema baru: “Berita Harian – Suara Masyarakat Melayu”.
Sebenarnya, peranan ini bukanlah baru. Malah, ia merupakan peranan utama BH sejak ditubuhkan pada 1957. Tetapi, tema baru ini diharap dapat mencetus kesegaran dan mendorong kami untuk memikul tanggungjawab ini dengan lebih baik dan berkesan. Ini akan kami lakukan bukan sahaja dengan menghasilkan kandungan cetak dan digital yang unik pada BH, tetapi juga dengan meluaskan program mendekati masyarakat.
Satu lagi tumpuan adalah memartabatkan bahasa Melayu. Ini pun bukan baru. Tetapi, sebagai satu-satunya akhbar bahasa Melayu di sini, kami mahu meningkatkan lagi peranan ini supaya kita dapat memelihara jati diri kita sebagai orang Melayu.
Janganlah sampai anak-anak kita bangga berkata: ‘My Malay is not good’ (bahasa Melayu saya tidak begitu baik). Seperti kata P. Ramlee dalam filem Seniman Buang Lapok: Bahasa menunjukkan bangsa.
Dalam usaha kami memajukan bahasa Melayu, BH baru-baru ini gunakan teknologi AI (kecerdasan buatan) untuk menerbitkan teka-teki peribahasa sempena Bulan Bahasa. Kami teruja kerana sambutan daripada pembaca amat menggalakkan.
Tetapi usaha membangunkan bahasa Melayu memerlukan sumbangan semua pihak. Penggunaan bahasa bukan sekadar bercakap, menonton televisyen atau mendengar radio sahaja. Kita juga perlu menulis dan membaca agar bahasa dapat dikembangkan.
Amalan membaca perlu terus digalakkan. Jadi, jika anda mahu mencari bahan bacaan, silalah tanya wakil kami di meja anda.
Sejauh ini, program transformasi BH telah menunjukkan hasil memuaskan. Tetapi kami akur perjalanan masih jauh. Kami juga tidak lekang daripada membuat kesilapan dari masa ke masa.
Tetapi kami bertekad mahu membaiki kelemahan dan membuat perubahan. Percayalah janji saya, bak kata Abdul Wahib dalam filem P Ramlee, Tiga Abdul:
Misai pendek tidak bercahaya,
Ibarat kuda hampir mati,
Jika adinda tidak percaya,
Operatelah dada, xraylah hati.
BH telah mencapai kemajuan yang ketara sejak transformasi kami bermula setahun lalu. Kami telah melakukan tiga perkara:
Pertama, kami telah memperkenalkan kandungan baru yang unik untuk BH; kedua, kami telah meningkatkan kehadiran media sosial kami; dan ketiga, kami telah meluaskan jangkauan kami kepada masyarakat.
Saya tidak mahu membosankan anda dengan butirannya tetapi izinkan saya berkongsi secara ringkas laporan kemajuan kami.
Saya gembira dapat melaporkan bahawa sepanjang setahun yang lalu, paparan halaman kami telah meningkat lebih daripada dua kali ganda mencapai dua juta sebulan.
Penglibatan media sosial kami juga meningkat hampir dua kali ganda. Kami juga telah memperkenalkan saluran penonton muda kami, OMG, dan ia telah mencapai hampir 40,000 pengikut dalam masa hanya 10 bulan.
Kami juga teruja dapat mengembangkan tiang kandungan kami seperti ruangan makanan kami, Kaki Makan; ruangan perjalanan, Kaki Jalan; dan lajur keibubapaan, Dunia Anak DNA.
Kami sedang meningkatkan mutu cerita kami dan amat berbangga apabila laporan kami tentang Umrah DIY memenangi Anugerah Berita Terbaik dalam anugerah berita tahunan anjuran Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil (EMTM) SPH Media tahun lepas.
Video kami juga mendapat sambutan daripada penonton. Contohnya, video kami yang sangat menyentuh hati mengenai seorang nenek yang berumur hampir 100 tahun dan masih giat menjahit telah memikat hati ramai dan telah mendapat lebih daripada tujuh juta tontonan!
Seperti yang saya nyatakan (dalam ucapan Bahasa Melayu saya), kami komited menjadi suara masyarakat Melayu di Singapura. Untuk tujuan ini, kami telah membentuk satu pasukan berdedikasi dalam BH untuk mengeratkan penglibatan kami dengan anda semua. Ini termasuk menganjurkan dialog dan forum mengenai isu yang dekat dengan hati masyarakat.
Sebagai contoh, kami telah menganjurkan dialog dengan segmen yang berbeza seperti belia, pekerja platform dan guru agama untuk membolehkan peserta menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka.
Pada Disember tahun lalu (2023), kami menganjurkan dialog mengenai peperangan di Gaza. Bulan depan, pada 2 November, kami akan menganjurkan persidangan tentang keibubapaan positif, dengan kerjasama CNB (Biro Narkotik Pusat).
Untuk mendekati golongan muda, kami telah memperkenalkan siri ceramah baru dipanggil ‘Siri Jauhari’ yang membolehkan pemenang Anugerah Jauhari berkongsi rahsia kejayaan mereka dan memberi inspirasi kepada golongan muda.
Sepanjang tahun lalu, kami mendekati lebih daripada 1,000 orang melalui pelbagai acara penglibatan kami yang dianjurkan bersama dengan penaja dan rakan kongsi. Kami berharap dapat melakukan lebih banyak lagi dan saya harap anda boleh menyertai kami.
Bulan depan, kami akan melancarkan inisiatif baru: siri webinar BH. Ini akan membolehkan kami menggunakan Zoom dalam laman web BH untuk menarik penyertaan pembaca kami. Ini termasuk menganjurkan ceramah dan kursus perancangan harta pusaka atau faraid, perancangan kewangan, petua keibubapaan dan bahasa Melayu.
Jika anda seorang pelanggan, anda boleh menjangkakan faedah istimewa daripada siri webinar ini. Kami merancang melancarkan webinar pertama kami bulan depan pada 21 November, mengenai perancangan warisan, dan pelanggan BH boleh mengambil bahagian secara percuma.
Tempoh setahun lebih sejak saya mengambil alih sebagai Editor sangat sibuk. Tahun lalu, isteri saya berkata bahawa rambut saya semakin putih. Tahun ini, saya memberitahu isteri saya, rambut saya bukan sahaja semakin putih, tetapi memutih lebih cepat daripada batas waktu berita.
Sebagai Editor, saya perlu memakai pelbagai ‘topi’ peranan. Terdapat ‘topi’ editorial, ‘topi’ penglibatan malah ‘topi’ sebagai pelakon dalam video-video kami. Saya cuba meyakinkan isteri saya bahawa lakonan saya telah bertambah baik, tetapi beliau telah menasihati saya supaya berhenti bermimpi dan tumpu kepada pekerjaan harian saya.
Tetapi malam ini izinkan saya memakai ‘topi’ komersial saya dan membuat sedikit iklan untuk BH.
Kepada pembaca dan penonton kami, terima kasih atas sokongan anda. Jika anda menyukai saluran media sosial kami, sila ‘like’, ikuti dan kongsi.
Langganan kami yang paling murah adalah $6.90 sahaja sebulan – lebih murah daripada secawan kopi di kafe.
Kepada pengiklan kami, anda mungkin ingin tahu bahawa kira-kira separuh daripada paparan halaman kami adalah dari Malaysia. Jadi, jika anda berminat untuk mendapat pendedahan di seberang Koswe, ingatlah kami.
Dan kepada rakan kongsi kami, kami mengalu-alukan kerjasama untuk memperdalam penglibatan. Kami mempunyai pasukan yang muda dan dinamik, mampu melahirkan kandungan yang imaginatif dan kreatif. Pasukan kami telah menghasilkan sebuah video bagi majlis ini. Video ini akan dipaparkan selepas ucapan saya dan anda boleh menilai mutunya sendiri.
Ucapan Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar, di majlis Anugerah Jauhari Berita Harian pada 25 Oktober 2024 di Hotel Four Seasons.
“
Berita Harian (BH) telah melalui satu transformasi besar sejak tahun lalu. Kami kini mempunyai tema baru: “Berita Harian – Suara Masyarakat Melayu”. Sebenarnya, peranan ini bukanlah baru. Malah, ia merupakan peranan utama BH sejak ditubuhkan pada 1957. Tetapi, tema baru ini diharap dapat mencetus kesegaran dan mendorong kami untuk memikul tanggungjawab ini dengan lebih baik dan berkesan. Ini akan kami lakukan bukan sahaja dengan menghasilkan kandungan cetak dan digital yang unik pada BH, tetapi juga dengan meluaskan program mendekati masyarakat.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg