Sepanjang tahun-tahun lalu, Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) telah mengiktiraf pencapaian cemerlang individu Melayu/Islam daripada pelbagai latar belakang seperti sektor perubatan, undang-undang, perniagaan, sukan dan seni.
Individu-individu ini telah membuat pencapaian yang hebat, bukan sahaja dalam bidang masing-masing, bahkan dari segi sumbangan mereka kepada masyarakat di samping memberi inspirasi kepada golongan muda.
Pada 25 Oktober, seorang penerima baru akan dinobatkan pada majlis yang bakal diadakan di Hotel Four Seasons Singapore oleh tetamu terhormat, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Kembali buat edisi ke-26, Anugerah Jauhari 2024 dianjurkan oleh BH, dengan sokongan FairPrice Group sebagai penyampainya dan ditaja oleh Royal Kings Group dan OrangeTee.
Mengulas mengenai majlis penyampaian anugerah tersebut, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata beliau berbesar hati dapat meneruskan tradisi penyampaian anugerah ini yang merupakan antara anugerah gemilang dalam masyarakat Melayu/Islam.
“Pencapaian dalam bidang berbeza ini juga mencerminkan pembangunan masyarakat Melayu sepanjang dekad-dekad lalu.
“Kehadiran penerima daripada pelbagai bidang juga mencerminkan kerencaman bakat dalam masyarakat Melayu dan ini adalah sesuatu pencapaian yang wajar kita banggakan,” kata Encik Nazry.
Sejak diperkenal pada 1999, majlis anugerah tahunan anjuran BH ini meraikan individu Melayu/Islam atas pencapaian mereka dalam bidang mereka, sama ada pendidikan, perniagaan, seni dan budaya, sukan atau kerja sosial.
Para penerima menonjolkan sikap ketabahan dan integriti, dan merupakan contoh teladan bagi masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
Penerima Anugerah Jauhari 2024 dipilih daripada senarai tokoh dan pertubuhan yang dicalonkan pembaca akhbar ini dan pemimpin masyarakat.
Semasa majlis yang akan dihadiri sekitar 230 tetamu ini, BH akan turut menyampaikan Anugerah Jauhari Harapan yang mengiktiraf pencapaian dan potensi individu Melayu/Islam yang berusia 30 tahun dan ke bawah.
Anugerah ini, yang diperkenal pada 2014, mencerminkan komitmen BH dalam memberi dorongan kepada golongan muda yang berpotensi agar terus mengejar impian. Penerima Anugerah Jauhari Harapan juga dipilih daripada pencalonan umum dan pemimpin masyarakat.
Antara penerima Anugerah Jauhari Harapan sebelum ini ialah penyanyi Shareefa Aminah, atau lebih dikenali sebagai Shazza pada 2023, dan usahawan penjaja Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee pada 2022.
Pemenang tahun-tahun lain termasuk petinju profesional Muhammad Ridhwan ‘The Chosen Wan’; pendayung negara dan atlet Olimpik Saiyidah Aisyah Mohamed; dan penerima biasiswa presiden Muhammad Dhafer Muhammad Faishal.
Penerima anugerah 2024 ditentukan oleh anggota panel lima karyawan yang diterajui bersama Encik Nazry dan mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) yang juga Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed.
Anggota panel lain termasuk mantan Anggota Parlimen (AP) yang juga Pengarah Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial Institut Teknologi Singapura (SIT), Profesor Madya Dr Intan Azura Mokhtar; Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat; serta Anggota Lembaga Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani.
Mengulas tentang penilaian bagi penerima kedua-dua kategori anugerah tersebut, Encik Zainul berkata anggota panel mengambil kira dan pandang berat pengiktirafan erti kejayaan dari pelbagai bidang dan arus kerjaya.
“Anugerah ini menyokong teras nilai bahawa kejayaan tidak seharusnya terhad kepada industri tertentu, terutamanya untuk masa depan yang bukan sahaja semakin mencabar, tetapi agak sukar diramalkan.
“Kejayaan adalah lebih daripada rempah ratus kehidupan. Justeru, penting untuk kita teroka cita rasa kehidupan yang berbeza, melangkaui cita rasa yang biasa kita lihat dan yang dapat dijangkakan,” kata Encik Zainul.
“
“Pencapaian dalam bidang berbeza ini juga mencerminkan pembangunan masyarakat Melayu sepanjang dekad-dekad lalu. Kehadiran penerima daripada pelbagai bidang juga mencerminkan kerencaman bakat dalam masyarakat Melayu dan ini adalah sesuatu pencapaian yang wajar kita banggakan”“
“Anugerah ini menyokong teras nilai bahawa kejayaan tidak seharusnya terhad kepada industri tertentu, terutamanya untuk masa depan yang bukan sahaja semakin mencabar, tetapi agak sukar diramalkan. Kejayaan adalah lebih daripada rempah ratus kehidupan. Justeru, penting untuk kita teroka cita rasa kehidupan yang berbeza, melangkaui cita rasa yang biasa kita lihat dan yang dapat dijangkakan”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg