Ilmuwan Islam Australia puji kebolehan S’pura lancar SCIS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ilmuwan Islam Australia puji kebolehan S’pura lancar SCIS

Jan 27, 2026 | 7:56 PM

Ilmuwan Islam Australia puji kebolehan S’pura lancar SCIS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Simposium SCIS, Singapura, kolej pengajian islam
Ilmuwan Islam dari Universiti Melbourne, Australia, Profesor Abdullah Saeed, hadir sebagai penceramah dan anggota panel di Simposium SCIS yang diadakan buat julung kalinya pada 27 Januari di Pusat Konvensyen Raffles City. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Meskipun Singapura negara yang kecil, namun ia melakukan perkara dengan cara yang berbeza dan cemerlang, kata ilmuwan Islam dari Universiti Melbourne, Australia, Profesor Abdullah Saeed.

Beliau merujuk kepada universiti bertaraf dunia di Singapura seperti Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Nasional Singapura (NUS) di samping Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang bakal dibuka pada 2028.

Mengulas lebih lanjut tentang SCIS yang kali pertama diusulkan oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, pada 2016, Profesor Abdullah berkata perancangan selama 10 tahun bagi sebuah kolej adalah sesuatu yang luar biasa.

“Satu perkara positif tentang pengajian kolej di Singapura ialah Singapura melakukan banyak perkara secara berbeza. Ya, ia sebuah negara kecil, tetapi ia mampu melaksanakan banyak perkara dengan cemerlang.

“Sebagai contoh, NUS, NTU dan universiti lain tergolong antara universiti terbaik di dunia.

“Dalam kes kolej Islam, perancangan yang meluas sedang dijalankan, perancangan selama 10 tahun adalah sesuatu yang jarang berlaku,” kata Profesor Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu panel di Simposium SCIS yang diadakan buat julung kalinya pada 27 Januari di Pusat Konvensyen Raffles City.

Simposium itu menampilkan 350 hadirin, termasuk cendekiawan tempatan dan luar negara, pendidik dan pelajar madrasah yang layak menyertai SCIS apabila ia dibuka pada suku ketiga 2028.

Justeru, beliau menambah bahawa rakyat sedunia akan melihat Singapura dan SCIS sebagai contoh yang boleh diteladani.

Di samping itu, Profesor Abdullah turut melahirkan harapan agar graduan SCIS akan menjadi model etika dan rohani bukan sahaja di Singapura, bahkan di negara lain juga.

Bersependapat ialah Presiden Universiti Pengurusan Singapura (SMU) merangkap anggota Panel Penasihat SCIS, Profesor Lily Kong.

Beliau berkata Singapura telah melakukan beberapa perkara yang menjadi tumpuan dunia.

“Menurut saya, dalam pelbagai cara, Singapura yang kecil ini telah melakukan beberapa perkara yang menjadi tumpuan dunia, seperti cara baru melakukan sesuatu dan saya sangat berharap kolej ini akan melakukan perkara yang sama bagi pendidikan Islam,” kongsi beliau dalam panel sama.

Selain itu, Profesor Kong juga berkata dengan pendekatan pengajian yang diambil SCIS, adalah perlu untuk melibatkan penyelidikan dalam kurikulumnya.

Jika ahli fakulti SCIS perlu ilmu dalam bidang undang-undang atau sosiologi untuk memahami isu yang akan diketengahkan di dalam kelas, maka mereka perlu melakukan penyelidikan dalam disiplin tersebut, jelasnya.

“Oleh itu setakat mana terdapat penyelidikan di kolej ini, saya sangat berharap ia akan wujud dan ia tidak akan menjadi model penyelidikan semata-mata untuk tujuan penerbitan, sebaliknya lebih kepada penyelidikan untuk memahami masyarakat, menyumbang kepada pengajaran di bilik darjah dan sebagainya,” kata Profesor Kong.

Turut menekankan kepentingan penyelidikan ialah Profesor Abdullah yang berkata penyelidikan adalah perlu agar SCIS dapat diterima masyarakat akademik.

“Kolej tanpa penyelidikan hanya boleh kekal sebagai kolej pengajaran semata-mata.

“Fahaman saya ialah kolej ini menyasarkan lebih daripada sekadar pengajaran, malah pengajaran itu sendiri memerlukan penyelidikan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong mengesyorkan bahawa sebagai institusi pengajian tinggi baru, SCIS berpeluang mencuba pendekatan berbeza sehingga mencapai kejayaan.

Berkongsi harapannya bagi SCIS, Profesor Tan berkata:

“Bina sebuah kolej yang terbaik dari sudut pengajian Islam, namun pada masa yang sama sediakan lulusan untuk masa hadapan yang sedia dalam memainkan peranan mereka dalam Singapura yang berbilang kaum dan berbilang budaya ini.”

“Satu perkara positif tentang pengajian kolej di Singapura ialah Singapura melakukan banyak perkara secara berbeza. Ya, ia sebuah negara kecil, tetapi ia mampu melaksanakan banyak perkara dengan cemerlang.”
Profesor Abdullah Saeed, ilmuwan Islam dari Universiti Melbourne, Australia.

“Menurut saya, dalam pelbagai cara, Singapura yang kecil ini telah melakukan beberapa perkara yang menjadi tumpuan dunia, seperti cara baru melakukan sesuatu dan saya sangat berharap kolej ini akan melakukan perkara yang sama bagi pendidikan Islam. ”
Profesor Lily Kong, Presiden Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

“Bina sebuah kolej yang terbaik dari sudut pengajian Islam, namun pada masa yang sama sediakan lulusan untuk masa hadapan yang sedia dalam memainkan peranan mereka dalam Singapura yang berbilang kaum dan berbilang budaya ini.”
Profesor Tan Tai Yong, Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg