Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama SCIS-SUSS buka laluan kerjaya dalam sektor agama, sosial

Graduan Kolej Pengajian Islam S’pura akan dilengkapi kemahiran tangani isu kontemporari agama, sosial
Dec 2, 2025 | 7:04 PM
SCIS, Faishal, Muis, MOU, SUSS
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan) menyampaikan ucapan di majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 2 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Graduan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) – yang bakal menerima kohort pelajar pertama pada 2028 – akan dilengkapi dengan kemahiran untuk menangani isu kontemporari dalam sektor keagamaan dan juga sosial.

Ini membolehkan mereka untuk berkhidmat bukan sahaja di masjid dan madrasah, tetapi juga dalam bidang lain termasuk pembangunan masyarakat dan perkhidmatan sosial.

Ini susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 2 Disember dalam majlis yang turut disaksikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Anggota Lembaga Pemegang Amanah SUSS, Cik Ang Bee Lian.

MOU tersebut ditandatangani anggota Jawatankuasa Pemandu SCIS, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, dan Provos SUSS, Profesor Robbie Goh.

Ketika berucap di majlis itu, Dr Faishal menyifatkan kerjasama tersebut sebagai penting buat masyarakat Islam Singapura kerana ia menggabungkan pengajaran Islam dengan kemahiran dunia sebenar yang relevan dalam konteks masyarakat majmuk negara.

“Hari ini, kemajuan teknologi, perubahan sosial dan keterhubungan sejagat memerlukan pendekatan baru kepada perkhidmatan profesional dan nasihat keagamaan.

“Melalui kerjasama ini, SUSS akan menyediakan modul daripada kurikulum sedia ada dan bekerjasama dengan SCIS bagi membangunkan modul pengkhususan khas.

“Dengan berbuat demikian, pelajar SCIS dapat meraih akses kepada program Sains Sosial, sekali gus membuka peluang kepada pelbagai kerjaya dalam bidang kaunseling, kerja sosial dan bidang berkaitan.

“Semua ini (dapat dilakukan) sementara mereka mengekalkan kelayakan sebagai asatizah ‘Tier 1’ di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).”

Langkah ini mencerminkan bagaimana institut pengajian tinggi Islam “masih dapat berpaksikan prinsip dan tradisi Islamik”, namun pada masa yang sama, kekal relevan dan sesuai terhadap konteks masyarakat majmuk Singapura, katanya.

“Sama ada mereka mengikuti laluan Pengajian Islam atau Sains Sosial, pelajar SCIS akan didedahkan kepada pengajian antara disiplin dan kemahiran amali yang membolehkan mereka membantu masyarakat dengan lebih baik dan menyumbang dengan lebih aktif kepada masyarakat,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan bersama pada 2 Disember, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan SUSS berkata kerjasama itu menepati saranan yang dikemukan dalam laporan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) pada Februari 2020.

Antara saranan itu adalah untuk memperluas laluan kerjaya bagi asatizah dan memperkukuh sektor perkhidmatan sosial Singapura.

SCIS yang sedang dibangunkan bakal menawarkan tiga program utama apabila ia menerima kohort pertama seramai 60 pelajar pada 2028.

Antaranya ialah program ijazah sarjana muda sepenuh masa dalam Pengajian Islam yang baru.

Ini di samping program sedia ada iaitu Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dan Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS).

Ijazah sarjana muda dalam Pengajian Islam akan mengambil tempoh empat tahun untuk diselesaikan, dengan pelajar diberi pilihan pengkhususan pada tahun ketiga dan keempat dalam bidang Pengajian Islam atau Sains Kemasyarakatan.

Selepas tamat pengajian, lulusan program itu mempunyai pilihan melanjutkan pengajian ke Sarjana Muda Sains dalam Psikologi yang ditawarkan SUSS.

Sebagai permulaan, program itu akan dibuka kepada lulusan madrasah tempatan atau pelajar yang memenuhi kriteria kemasukan seperti keupayaan memahami bahasa Arab serta pemahaman asas pengajian Islam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg