Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mufti: SCIS teroka cara gabung teknologi dalam program pembelajaran

Langkah pastikan pelajar dilengkapi keupayaan manfaat teknologi sambil pertingkat pengajian Islam
Dec 2, 2025 | 7:44 PM
SCIS, SUSS, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Ang Bee Lian, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, Profesor Robbie Goh
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan), dan Anggota Lembaga Pemegang Amanah Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Cik Ang Bee Lian (kiri), menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara SUSS dengan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS). MOU itu dimeterai oleh anggota Jawatankuasa Pemandu SCIS, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir (dua dari kanan), dan Provos SUSS, Profesor Robbie Goh. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) sedang meneroka cara menggabungkan unsur pembangunan teknologi dalam program yang ditawarkannya.

Langkah itu adalah bagi memastikan pelajar SCIS bukan sahaja dilengkapi dengan keupayaan menggunakan teknologi sedemikian, malah meningkatkan pengajian Islam, kata anggota Jawatankuasa Pemandu SCIS, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Berkongsi kepada media selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara SCIS dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) di kampus SUSS pada 2 Disember, beliau berkata adalah penting bagi pelajar SCIS menggabungkan aspek pelaksanaan teknologi dengan kaedah yang beretika.

Ini agar apabila pelajar tersebut ditauliah sebagai asatizah selepas tamat pengajian, mereka bukan sahaja dapat memberi nasihat kepada masyarakat Islam secara umumnya, malah meningkatkan juga pemahaman mereka terhadap teknologi sedemikian.

Ini lebih-lebih lagi dengan kohort pelajar pertama SCIS, yang memulakan pengajian pada 2028, bakal tamat pengajian sekitar 2032.

Beliau, yang juga anggota Panel Penasihat SCIS, berkata:

“Kini sahaja terdapat pelbagai kemajuan teknologi dan (saya jangkakan) lebih banyak kemajuan pada masa hadapan.

“Adalah penting kami melengkapkan pelajar dengan kemahiran (penggunaan) peralatan teknologi ini bukan sekadar secara meluas, namun dengan cara yang dapat meningkatkan pengajian Islam.”

Majlis tersebut, yang berlangsung di kampus SUSS di Clementi Road, menyaksikan beliau menandatangani MOU berkenaan bersama Provos SUSS, Profesor Robbie Goh.

Ia disaksikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Anggota Lembaga Pemegang Amanah SUSS, Cik Ang Bee Lian.

Dr Nazirudin menambah dengan pertumbuhan pesat penggunaan teknologi baru, termasuk kecerdasan buatan (AI) generatif, adalah satu keperluan bagi menggabungkan penggunaan teknologi sebegini dengan kaedah yang hemah lagi bermoral.

Ini di samping memastikan pelajar dapat “meningkatkan pemahaman dan penghayatan mereka sendiri terhadap antara lain, kekayaan perundangan Islam, warisan Islam dan tamadun Islam”.

Buat masa ini, beliau berkata masih terlalu awal untuk berkongsi sebarang butiran mengenai mekanisme atau pelaksanaannya, memandangkan kohort pertama akan tamat pengajian selepas 2030.

Namun, SCIS sedang bekerjasama dengan rakan kerjasamanya bagi melihat cara terbaik bagi menyuntik unsur sedemikian demi melakar pengalaman pelajar, ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Nazirudin berkata kerjasama SUSS dan SCIS menerapkan dan memperkukuhkan unsur teori dengan kandungan pembelajaran amali berlandaskan kekuatan SUSS sebagai universiti yang terkenal dengan pembelajaran gunaan atau applied learning.

Beliau memberi contoh modul yang tertumpu pada kekeluargaan dalam agama dan menyifatkan perlunya lensa sains kemasyarakatan diterapkan pada aspek kekeluargaan.

“Dalam mengkaji tentang konsep kekeluargaan dalam agama, perlu sekali kita lihat aspek sains kemasyarakatan – dalam cabaran yang ada dalam keluarga seperti cabaran mental dan tanggungjawab suami, isteri dan anak-anak serta sebagainya.

“Aspek tersebut akan digabungkan secara langsung dalam beberapa disiplin keagamaan itu sendiri.

“Pada masa yang sama, SUSS juga akan memberikan peluang kepada pelajar SCIS untuk mengambil modul mereka secara langsung dan kemudiannya akan ada perbincangan di peringkat kolej bagi pelajar, bersama pendidik mereka, berkenaan perspektif agama dalam beberapa isu yang mereka timbulkan di SUSS,” ujar Dr Nazirudin.

Pendekatan itu, secara tidak langsung, katanya, akan menerapkan pemikiran pelbagai dimensi yang relevan dalam sesuatu isu supaya pelajar dapat menilai cabaran dari pelbagai sudut.

Dalam pada itu, Profesor Goh berkata SUSS bersedia dan teruja membantu SCIS dari segi laluan latihan amali jika diperlukan pada masa hadapan.

Beliau menyifatkan kerjasama SUSS dan SCIS “saling melengkapi kekuatan antara kededua institusi pengajian”, di samping membolehkan laluan lebih luas dan kecekapan lebih mendalam bagi lulusan SCIS berkhidmat dan memperkukuh masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg