Topik diikuti
Pergi ke BHkuIman Fandi teruja sahut cabaran lakonan
Iman Fandi teruja sahut cabaran lakonan
Iman Fandi teruja sahut cabaran lakonan
Satu lagi cabaran menanti penyanyi dan penulis lagu, Iman Fandi, apabila beliau kembali ke Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 di Stadium Negara.
Kali ini, anda dapat saksikan Iman sebagai pelakon wanita utama dalam siri mikrodrama sulung NDP berjudul Heartbeats, selain turut menjadi salah seorang penyanyi bagi lagu NDP baharu berjudul Giants.
Bagi jelitawan itu, penampilan semula dalam NDP 2026 menandakan peralihan kepada peranan kreatif yang lebih luas apabila beliau menggalas tanggungjawab dalam kedua-dua bidang lakonan dan muzik.
Kali terakhir Iman tampil di NDP adalah semasa NDP 2023, dengan mendendangkan lagu ‘Bunga Sayang’ di Padang.
Dalam Heartbeats, Iman membawakan watak Juraidah, seorang wanita yang mengharungi cabaran peribadi sebelum menemui suaranya di sebuah konsert NDP di kawasan kejiranan.
Watak tersebut merupakan watak utama dalam siri mikrodrama enam episod itu.
Ketika ditemui media semasa acara media NDP 2026 di Infinite Studios, yang terletak di Media Circle pada 21 Mei, Iman, 26 tahun, berkata persiapan untuk watak tersebut merupakan satu cabaran baharu.
“Ini kali pertama saya memegang peranan utama seperti ini, lebih-lebih lagi untuk NDP.
“Apabila saya menerima panggilan untuk terlibat dalam mikrodrama ini, saya rasa sangat teruja dan sedikit takut.
“Melakonkan watak ini sangat menyeronokkan, tetapi pada masa yang sama juga sedikit mencabar untuk mencari sisi kelemahan dan emosi yang lebih mendalam ketika saya berlakon,” ujar beliau, yang juga anak legenda bola sepak tempatan, Fandi Ahmad.
Dalam tempoh penggambaran selama sekitar enam bulan, Iman mendapatkan bantuan pengarah, penerbit dan penulis melalui sesi bacaan skrip yang kerap, selain berinteraksi dengan pelakon lain semasa penggambaran bagi memahami watak tersebut dengan lebih mendalam.
“Ketika berada di lokasi penggambaran, saya rasa saya mampu menjadi Juraidah dan merasai apa yang sepatutnya dirasakan pada saat-saat tersebut,” kongsinya.
Selain mikrodrama, Iman turut menyumbangkan suaranya untuk lagu Giants, salah satu daripada tiga lagu dalam album muzik NDP 2026, Go Beyond.
Beliau menyifatkan lagu tersebut sebagai sangat peribadi, khususnya dari segi tema keterbukaan dan pencarian jati diri.
“Emosi dan sifat keterbukaan dalam rangkap pertama lagu itu sangat penting bagi saya, dan saya memang dapat mengaitkannya dengan diri saya sendiri,” katanya.
Menyentuh tentang penglibatannya dalam NDP 2026, Iman berkata beliau amat berbesar hati untuk memikul tanggungjawab besar itu.
“Ini satu tanggungjawab yang baik, saya suka tekanan yang datang dengan NDP… peluang seperti ini tidak datang selalu, dan saya tahu saya perlu mengambilnya.
“Saya dapat membawa bendera Singapura dengan penuh bangga, dan itu sahaja yang saya mahu lakukan,” ujarnya.
