Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

IMDA lancar Program Pemacu Bakat $200j bagi pupuk industri media S’pura

Tawar tiga laluan berstruktur iaitu pembangunan, penerbitan dan pengedaran
Dec 3, 2025 | 5:37 PM
IMDA, Tan Kiat How, Marina Bay Sands, ATF
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How (tiga dari kiri) berinteraksi dengan pihak Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) di majlis pembukaan Forum dan Pasaran TV Asia 2025 pada 3 Disember yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands. - Foto IMDA

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah melancarkan Program Pemacu Bakat (TAP) bernilai $200 juta bagi menyokong industri media Singapura, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan filem dan televisyen untuk pengedaran antarabangsa.

Inisiatif yang akan berlangsung selama tiga tahun itu diumumkan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, di majlis pembukaan Forum dan Pasaran TV Asia 2025 pada 3 Disember.

Acara tersebut, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, merupakan sebahagian daripada Festival Media Singapura (SMF), yang sedang berlangsung dari 26 November hingga 7 Disember.

Berucap di majlis tersebut, Encik Tan berkata pemerintah komited untuk menyokong sektor media dan golongan karyawan menyesuaikan diri, kekal relevan dan berdaya saing di tengah-tengah landskap media yang pesat berubah.

“Program Pemacu Bakat bernilai $200 juta ini merupakan pelaburan utama bagi memastikan kandungan Made-with-Singapore (Buatan Singapura) menonjol di pentas antarabangsa.

“Kami berhasrat mahu membina saluran cerita yang lebih kukuh dengan daya tarikan sejagat, mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab penerbitan bersama, dan memperkukuh peranan kami sebagai rakan kongsi kreatif yang dipercayai di rantau ini,” kata Encik Tan.

Menurut IMDA, TAP akan menyokong rantaian nilai media sepenuhnya, daripada peringkat pembangunan, kepada penerbitan dan pengedaran, supaya idea-idea terbaik dari Singapura dapat mencapai audiens antarabangsa.

Ia juga akan mengukuhkan perkongsian penerbitan bersama, membangunkan bakat kreatif tempatan, dan membina ekosistem media yang lebih berdaya tahan, dengan lebih tumpuan kepada pengedaran sejagat dan pembangunan hak cipta intelektual (IP) yang dipacu genre.

Program itu juga direka bentuk untuk membantu industri filem dan televisyen, yang berdepan dengan cabaran kreatif dan komersial yang berbeza, untuk mendapatkan nilai paling tinggi daripada permintaan sedia ada, tambahnya.

Di bawah TAP, IMDA akan memperkenalkan tiga laluan berstruktur iaitu pembangunan, penerbitan dan pengedaran, untuk menyokong industri media Singapura.

Ini bagi mengembangkan bakat industri media Singapura, dengan memberikan mereka pelan tindakan yang jelas untuk mengembangkan kemahiran mereka, serta kemahiran komersial untuk maju dalam kerjaya mereka.

Di bawah peringkat pembangunan, IMDA akan memadankan karyawan media dan syarikat kepada keperluan yang dicari oleh pesuruhjaya dan pembeli sejagat.

Ia juga akan membantu menyediakan akses kepada bimbingan dan kursus, serta rangkaian media antarabangsa untuk membolehkan bakat tempatan mendapat pendedahan yang diperlukan, dan meningkatkan peluang bagi mereka menembusi pasaran antarabangsa.

Di bawah peringkat penerbitan, IMDA akan membiayai bersama penerbitan bersama, meliputi spektrum penuh penerbitan bersama serantau dan sejagat, filem dan TV, serta adaptasi IP untuk skrin.

Di bawah peringkat pengedaran pula, IMDA akan meningkatkan profil syarikat kandungan, bakat dan penerbitan Made-with-Singapore dengan pasukan pemasaran dalaman yang berdedikasi, serta menyediakan dana pemasaran bagi projek terpilih.

Syarikat dan karyawan yang berminat boleh memohon untuk inisiatif di bawah TAP melalui pengumuman industri IMDA, dengan butiran lanjut tentang proses permohonan bakal dikeluarkan pada suku pertama 2026.

Penolong Ketua Eksekutif, Kumpulan Industri Media, IMDA, Cik Yvonne Tang, berkata: “IMDA sedang membina ekosistem yang mantap di mana rakan kongsi antarabangsa melihat Singapura, bukan sahaja sebagai lokasi, bahkan sebagai kolaborator kreatif yang penting.

“TAP menandakan lembaran baru dalam usaha kami untuk menyokong dan membangunkan bakat filem dan televisyen kami melalui bimbingan dan kursus bertaraf dunia, perkongsian global strategik dan peluang penerbitan bersama yang baru.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg