Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura pacu penggunaan AI dengan 800 latihan baru, 500 projek niaga

May 28, 2025 | 2:46 PM
Ketika berucap pada hari pertama persidangan, ‘Asia Tech (AT) x Singapore’ pada 27 Mei di Singapore Expo, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, berkata ekonomi digital kini menyumbang hampir 18 peratus kepada ekonomi negara, dan Singapura terus menarik pelaburan daripada perusahaan luar.
Ketika berucap pada hari pertama persidangan, ‘Asia Tech (AT) x Singapore’ pada 27 Mei di Singapore Expo, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, berkata ekonomi digital kini menyumbang hampir 18 peratus kepada ekonomi negara, dan Singapura terus menarik pelaburan daripada perusahaan luar. - Foto MDDI

Sekitar 800 peluang latihan baru dan sehingga 500 projek terkini akan dilancarkan untuk dimanfaatkan 1,000 perusahaan, menyusuli langkah Singapura menggandakan usaha dalam bidang kecerdasan buatan (AI), yang merupakan tonggak utama strategi ekonomi digital negara.

Sebanyak 400 ruang latihan akan ditawarkan menerusi program nasional, AI Singapura (AISG), dalam tempoh tiga tahun akan datang, terbuka kepada golongan dalam pertengahan kerjaya, bagi yang baru mendakap bidang AI serta karyawan berpengalaman.

Di samping itu, 400 ruang latihan tambahan juga akan disediakan oleh syarikat besar seperti Amazon Web Services (AWS), Oracle, dan Microsoft.

Ruang latihan baru itu bakal menambah bilangan karyawan AI tempatan yang kini melebihi 6,000 orang, kata Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada hari pertama persidangan ATxEnterprise 2025, yang berlangsung selama tiga hari di bawah acara tahunan, Asia Tech x Singapore.

Dalam ucapan perasmiannya pada 27 Mei di Singapore Expo, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, berkata ekonomi digital kini menyumbang hampir 18 peratus kepada ekonomi negara, dan Singapura terus menarik pelaburan daripada perusahaan luar.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 26 Pusat Kecemerlangan AI telah ditubuhkan oleh pelbagai pertubuhan untuk memacu inovasi dalam bidang tersebut.

Pusat-pusat itu berperanan sebagai hab uji kaji, latihan dan projek perintis, lapor The Straits Times (ST).

“Meskipun terdapat ketidaktentuan sejagat, kami menjangkakan teknologi, terutama AI, akan terus memacu pertumbuhan ekonomi yang bermutu.

“Apabila syarikat memperluas pasukan AI dan memperkukuh keupayaan mereka di Singapura, mereka akan memerlukan lebih ramai pengamal dengan kepakaran dalam bidang AI,” tambah Encik Tan.

Dalam dua tahun akan datang, sekitar 300 daripada 800 ruang latihan baru akan ditawarkan melalui Program Perantisan AI (AIAP) yang dipertingkat di bawah AISG. 

Program selama enam bulan itu akan memberi tumpuan kepada kemahiran amali yang diperlukan industri.

Sejak dilancarkan pada 2018, lebih 410 lulusan daripada 16 kohort telah dilatih, dengan 90 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan selepas tamat latihan, kata AISG kepada ST.

Singapura dijangka menggandakan bilangan bakat teknologi kepada 15,000 individu menjelang 2028, didorong oleh pelbagai daya usaha bersama sekolah dan program peningkatan kemahiran, kata IMDA.

Sebagai sebahagian daripada usaha Singapura mengukuhkan kerjasama AI di Asia Tenggara, AISG turut melancarkan cabaran pembangun AI serantau pertama merentas Asia Tenggara  bagi memacu pembangunan penyelesaian AI yang disesuaikan untuk rantau ini.

Singapura beriltizam memacu inovasi digital yang berkesan bersama rakan kongsi yang sehaluan, ujar Encik Tan.

Menutup ucapannya, beliau berkata: “Nilai Singapura bukan sahaja terletak pada keupayaan kita, malah pada ketekalan kita dalam menjadi rakan kongsi yang boleh diharapkan tatkala dunia berada dalam ketidaktentuan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg