Topik diikuti
Pergi ke BHkuIMDA tingkat siasatan terhadap Simba susulan dakwaan salah guna frekuensi radio
Lesen operasi telko boleh digantung atau dipendekkan tempoh
IMDA tingkat siasatan terhadap Simba susulan dakwaan salah guna frekuensi radio
Siasatan terhadap Simba Telecom telah meningkat dengan dakwaan baharu penggunaan jalur frekuensi radio tanpa kebenarannya adalah disengajakan dan telah diluluskan oleh pengurusan kanan syarikat itu.
Dalam satu pemfailan kepada Bursa Saham Australia (ASX) pada 26 Oktober, syarikat induk Simba, Tuas, berkata syarikat telekomunikasi itu telah diberikan Notis Tunjuk Sebab oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk menjelaskan dakwaan baharu itu.
Jika gagal berbuat demikian, Simba boleh berdepan denda atau kehilangan lesen operasinya.
Penggunaan spektrum tanpa kebenaran itu, yang mula-mula didedahkan pada Mei, menyumbang kepada kegagalan cadangan pengambilalihan M1 bernilai $1.4 bilion.
Antara dakwaan baharu itu ialah Simba menggunakan perkongsian spektrum dinamik di sekitar 133 lokasi secara berselang-seli pada 2022 dan 2023, membolehkan spektrum jalur 2,100 megahertz (MHz) digunakan untuk 4G dan 5G.
Simba hanya dibenarkan menggunakan spektrum jalur 2,100 MHz untuk 5G.
Jalur frekuensi radio, atau spektrum, ialah gelombang udara yang tidak kelihatan yang membawa isyarat yang diperlukan oleh sistem komunikasi.
IMDA memperuntukkan dan menetapkan frekuensi spektrum kepada pengendali mudah alih untuk kegunaan khas mereka dan syarikat telekomunikasi hanya dibenarkan menggunakan frekuensi spektrum yang ditetapkan kepada mereka.
Syarikat telekomunikasi itu turut didakwa menggunakan spektrum jalur 2,340 MHz hingga 2,360 MHz tanpa kebenaran, di sekitar 92 lokasi secara berselang-seli antara 2023 dengan 2026.
Kejadian itu didakwa disengajakan dan diluluskan oleh pengurusan kanan Simba.
Dakwaan baharu lain oleh IMDA termasuk pemasangan peralatan rangkaian 5G tanpa kebenaran di dua lokasi pada 2023, kegagalan mematuhi perintah pengeluaran dokumen yang dikeluarkan IMDA dan kegagalan “yang dilakukan dengan sengaja dan secara sedar” untuk mengemukakan dokumen.
Perkara itu menimbulkan kebimbangan mengenai kelemahan dalam tadbir urus dan budaya pematuhan Simba.
Syarikat telekomunikasi itu diberikan sehingga 16 November untuk memberi respons kepada notis tersebut.
IMDA turut berkata Simba berdepan kemungkinan penggantungan atau pembatalan hak spektrum, dan/atau denda sehingga $1 juta atau 10 peratus daripada hasil tahunan Simba di Singapura, mana-mana yang lebih tinggi.
IMDA juga boleh membatalkan atau menggantung lesen telekomunikasi Simba atau sebahagian daripadanya, atau memendekkan tempoh lesen tersebut.
Tuas berkata Simba akan memberi respons kepada notis IMDA itu menjelang tarikh akhir 16 November yang ditetapkan.
“Memandangkan perkara ini masih dalam pertimbangan pengawal selia dan tiada keputusan telah dibuat atau disahkan, Tuas tidak mahu memberikan komen lanjut mengenai perkara yang dibangkitkan dalam pengumuman ini,” kata Tuas dalam pemfailan bursanya.
Saham Tuas merosot lebih 33 peratus selepas pasaran dibuka pada 26 Oktober.
Siasatan terhadap Simba Telecom menjadi umum pada Mei, apabila IMDA menggantung semakannya terhadap tawaran syarikat telekomunikasi itu berjumlah $1.43 bilion untuk perniagaan telekomunikasi M1, dengan alasan penggunaan jalur frekuensi radio tanpa kebenaran.
Pada September, syarikat telekomunikasi itu mengakui bahawa ia telah menggunakan spektrum melebihi had yang dibenarkan oleh pengawal selia, dengan pengurusan mengaitkan penggunaan spektrum 2,300 MHz tanpa kebenaran itu dengan gabungan masalah perkakasan dan perisian. Ia tidak memberikan butiran lanjut.