Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

IMH lancar kajian kesihatan mental buat 40,000 belia di S’pura

Kajian akan beri tumpuan kepada 4 masalah utama yang sering ditemui di Klinik Bimbingan Kanak-Kanak IMH
Nov 22, 2024 | 3:49 PM
Institut Kesihatan Mental (IMH) akan melancarkan satu kajian yang memfokuskan kepada empat masalah kesihatan mental utama di kalangan kanak-kanak dan remaja, iaitu gangguan spektrum autisme (ASD), gangguan hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), keresahan atau anxiety, dan kemurungan. 
Institut Kesihatan Mental (IMH) akan melancarkan satu kajian yang memfokuskan kepada empat masalah kesihatan mental utama di kalangan kanak-kanak dan remaja, iaitu gangguan spektrum autisme (ASD), gangguan hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), keresahan atau anxiety, dan kemurungan.  - Foto fail

Satu kajian kebangsaan mengenai kesihatan mental yang menyasarkan sekitar 40,000 belia di Singapura dilancarkan pada 22 November.

Kajian tersebut akan beri fokus kepada empat masalah utama yang sering ditemui di Klinik Bimbingan Kanak-Kanak IMH - gangguan spektrum autisme (ASD), masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), keresahan, dan kemurungan.

Diberi nama Membina Ketahanan Dan Intervensi (Brave), kajian itu akan dilaksanakan Kumpulan Penjagaan Kesihatan Kebangsaan di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Ia bertujuan mendapatkan pemahaman yang mendalam mengenai kesihatan mental dan perkembangan saraf di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Belia akan jalani pemeriksaan kesihatan mental dan penilaian komprehensif bagi dapatkan diagnosis jika perlu.

Kajian selama dua tahun turut disokong dengan geran sebanyak $1.5 juta dari Yayasan Temasek.

Ketua Pegawai Eksekutif IMH dan Penyelidik Bersama kajian Brave, Profesor Madya Daniel Fung, berkata kajian tersebut bertujuan memahami apa yang diperlukan oleh belia bagi pastikan kesihatan mental yang baik.

“Kami perlu mengkaji risiko dan kekuatan di kalangan kanak-kanak serta persekitaran mereka dan memahami aspek ini dalam konteks kanak-kanak yang sedang membesar.

“Kajian ini memberi kami pandangan tentang persekitaran Singapura yang unik, untuk kami gunakan dalam usaha mencegah penyakit mental dan mempromosikan kesihatan mental serta kesejahteraan,” katanya.

Kebimbangan terhadap isu kesihatan mental semakin meningkat, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kerana ia merupakan tempoh kritikal dalam perkembangan mereka.

Pada 2023, Klinik Bimbingan Kanak-Kanak IMH melaporkan sebanyak 1,500 kes kesihatan mental yang baru.

Masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) mencatatkan peratusan tertinggi bagi jumlah pesakit dengan 24 peratus; diikuti dengan gangguan spektrum autisme (ASD) dan kemurungan masing-masing sebanyak 10 peratus; manakala keresahan mencatatkan 6 peratus.

Tambahan itu, sebuah lagi kajian pada 2016 menunjukkan bahawa satu dalam lima belia di Singapura pernah mengalami sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan mental.

Kajian Brave diharapkan dapat membantu penyelidik di IMH mengenal pasti faktor yang meningkatkan atau mengurangkan risiko masalah kesihatan mental.

Dengan memahami faktor tersebut, mereka boleh mengenal pasti golongan muda yang mempunyai risiko awal dan menghubungkan mereka dengan sokongan atau rawatan yang sesuai, supaya masalah ini dapat ditangani lebih awal.

Kajian Brave akan melalui tiga peringkat yang dijangka berlangsung selama dua hingga tiga tahun.

Pada peringkat pertama, kanak-kanak dan remaja yang dilahirkan antara 2007 hingga 2016 akan melalui pemeriksaan kesihatan mental.

Peserta perlu melengkapkan soal selidik dalam talian yang bertujuan menilai kesihatan mental mereka.

Mereka mempunyai pilihan untuk menjawab soalan tersebut di rumah ataupun dapatkan bimbingan daripada pakar.

Sebulan selepas pemeriksaan, peserta yang didapati positif menghidap satu atau lebih kondisi kesihatan mental akan beralih ke peringkat kedua. 

Mereka akan dijemput menjalani penilaian diagnostik komprehensif secara bersemuka, dan intervensi awal akan disyorkan bagi mereka yang memerlukan.

Peringkat terakhir pula akan menyaksikan pemeriksaan kesihatan mental satu tahun selepas pemeriksaan pertama, tanpa mengira status kesihatan mental awal mereka, untuk memantau kesejahteraan mereka.

IMH turut tekankan bahawa setiap data kajian adalah rahsia dan hanya akan diakses oleh pasukan penyelidik.

Persetujuan daripada ibu bapa dan anak-anak juga akan diperoleh sebelum mereka menyertai kajian ini.

Kajian Brave adalah fasa pertama dalam projek yang lebih besar iaitu Projek Brave, yang dijangka berlangsung selama 10 tahun.

Diterajui oleh jabatan Psikiatri perkembangan IMH, projek Brave terdiri daripada tiga fasa.

Fasa kedua akan memfokuskan pada intervensi dan pelaksanaan program untuk belia, sementara fasa ketiga akan memantau kesejahteraan dan kesihatan peserta kajian.

Sekitar 40,000 isi rumah, yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang warganegara Singapura atau Penduduk Tetap yang dilahirkan antara 2007 dengan 2016, akan menerima surat jemputan untuk menyertai kajian tersebut.

Ibu bapa yang tidak menerima surat jemputan namun berminat mendaftarkan anak mereka boleh melakukannya di pautan www.BRAVE.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg