Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian IMH: Warga S’pura lebih sedar tentang keadaan kesihatan mental

Dapatan kajian tunjukkan S’pura semakin inklusif
Nov 19, 2024 | 1:29 PM
Dapatan kajian terkini Institut Kesihatan Mental (IMH) menunjukkan 58.9 peratus rakyat Singapura dapat mengenali lima keadaan kesihatan mental biasa - demensia, kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan alkohol dan gangguan obsesif kompulsif (OCD). 
Dapatan kajian terkini Institut Kesihatan Mental (IMH) menunjukkan 58.9 peratus rakyat Singapura dapat mengenali lima keadaan kesihatan mental biasa - demensia, kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan alkohol dan gangguan obsesif kompulsif (OCD).  - Foto ST

Kesedaran tentang masalah kesihatan mental telah berkembang di kalangan rakyat Singapura, dengan hampir enam daripada 10 orang kini dapat mengenali beberapa masalah biasa, manakala stigma mengenai isu itu telah berkurangan.

Masalah kesihatan mental biasa termasuk demensia, kemurungan dan skizofrenia.

Demikian dapatan satu kajian Institut Kesihatan Mental (IMH) yang dikeluarkan pada 19 November, lapor The Straits Times.

Memandangkan kurang kesedaran dan rasa takut dianggap lemah adalah halangan utama yang menghalang mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan, penyelidik berkata mereka gembira mengenai dapatan kajian itu, yang menunjukkan Singapura semakin inklusif.

Kajian itu diumumkan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, pada satu persidangan kesihatan mental di Hotel One Farrer.

Kajian Mind Matters, yang kali pertama dijalankan antara 2014 dengan 2015, dilakukan sekali lagi antara 2022 dengan 2024.

Matlamatnya ialah mengkaji pengetahuan awam dan kesedaran tentang keadaan kesihatan mental biasa, serta tanggapan dan stigma berkaitan dengannya.

Keputusan terkini menunjukkan 58.9 peratus rakyat Singapura dapat mengenali lima keadaan kesihatan mental biasa – demensia, kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan alkohol dan gangguan obsesif kompulsif (OCD).

Ini adalah satu lonjakan ketara berbanding 42.3 peratus dalam tinjauan pertama.

Dua masalah mental baru, ketagihan judi dan kemurungan hingga ingin bunuh diri, dimasukkan dalam edisi terbaru kajian itu.

Dengan mengambil kira dua masalah mental ini, 63.3 peratus rakyat Singapura dapat mengenali tujuh keadaan kesihatan mental.

“Kajian Mind Matters yang pertama memberi kami maklumat asas tentang pengetahuan dan sikap penduduk terhadap keadaan masalah mental biasa.

“Dalam lapan tahun kebelakangan ini, pelbagai inisiatif kesedaran kesihatan mental dan antistigma diperkenalkan untuk meningkatkan celik kesihatan mental di Singapura.

“Kami berbesar hati kerana dapatan kajian kami menunjukkan kami bergerak ke arah yang betul,” kata Profesor Chong Siow Ann, penyiasat utama kajian itu.

Ia melibatkan 4,195 warga Singapura dan penduduk tetap berumur antara 18 dengan 67 tahun yang dipilih secara rawak daripada pangkalan data pentadbiran negara.

Mereka ditemu bual secara bersemuka dari September 2022 hingga Februari 2024 menggunakan cerpen tentang seorang watak yang mengalami masalah kesihatan mental.

Tiga masalah kesihatan mental teratas yang responden tersebut dapat kenal pasti dengan betul ialah demensia (83 peratus daripada responden), ketagihan judi (77.1 peratus) dan kemurungan serta keinginan bunuh diri (72.1 peratus).

Namun, OCD dan skizofrenia kekal sebagai dua keadaan paling kurang dikenali dalam kedua-dua edisi kajian itu, walaupun kemajuan lebih besar dicapai dalam kesedaran OCD.

Penghidap OCD mempunyai pemikiran dan ketakutan keterlaluan dan tidak munasabah, serta tingkah laku mendesak dan berulang.

Skizofrenia dicirikan oleh gejala psikotik seperti halusinasi dan khayalan, dan juga gangguan kognitif.

Dalam edisi terbaru kajian itu, 62.3 peratus responden mengenal pasti OCD dengan betul, lebih dua kali ganda daripada 28.7 peratus dalam edisi pertama.

Bagi skizofrenia, 15.1 peratus daripada mereka yang dikaji dapat mengenal pasti keadaan itu, meningkat sedikit daripada 11.6 peratus dalam kajian terdahulu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg