ImpactSG, sebuah daya usaha bebas yang digerakkan secara akar umbi untuk membentuk masyarakat penderma yang berterusan di Singapura dan Asia, telah dilancarkan pada 21 November oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam di Galeri Nasional Singapura.
ImpactSG ditubuhkan pada Jun 2022 sebagai tindak balas kepada perbincangan ForwardSG oleh tiga anak muda Singapura yang mewakili sektor awam, swasta dan kedermawanan.
Ia diasaskan Pengarah di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, Dr Daniel Lim Yew Mao; Naib Presiden DBS Bank ketika itu, Encik Edmund Twohill; serta Ketua di Kwee Investment Office, Encik Kwee Ker Fong.
ImpactSG kini terdiri daripada sekitar 75 pengikrar – individu yang secara aktif dan konsisten menyumbang – daripada lebih 10 negara dengan kebanyakan daripada mereka berpusat di Singapura.
Sejak penubuhannya, ImpactSG telah memperkukuh nilai terasnya melalui kerjasama aktif dalam projek kebajikan dan perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan.
ImpactSG bertujuan memperkukuh ekosistem amal dan kedermawanan di Singapura dan Asia dengan membuka laluan kepada usaha amal, terutama bagi individu yang ingin berjinak-jinak dalam usaha amal atau yang baru menetap di Singapura.
Ini akan dicapai melalui pendekatan ‘3P’ – bina masyarakat pengikrar yang aktif; jalin kerjasama strategik dengan badan amal dan syarikat korporat; serta laksanakan program yang beri impak positif kepada golongan yang memerlukan.
ImpactSG juga mengambil pendekatan lebih menyeluruh dalam usaha amal melalui ‘4T’ – masa, kepakaran, jaringan dan sumber kewangan – agar pengikrar dapat menyumbang melalui empat aspek tersebut.
Pelancaran tersebut disaksikan lebih 240 tetamu, terdiri daripada pengikrar dan rakan kerjasama ImpactSG, serta wakil daripada pejabat keluarga, yayasan, badan amal, perkhidmatan profesional dan sektor awam.
Selesai pelancaran, Tuan Presiden berinteraksi dengan para hadirin dalam sesi dialog tertutup.
Sehingga kini, ImpactSG telah menjalin kerjasama dengan 18 organisasi termasuk Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), Yayasan Bill dan Melinda Gates serta Yayasan Warisan Keluarga Asia.
ImpactSG juga telah melancarkan dan merancang pelbagai program yang memberi impak besar kepada masyarakat, terutama kanak-kanak.
Antara program yang dilancarkan adalah untuk memperluaskan pendedahan kepada kanak-kanak daripada sekolah kejiranan dengan menggalakkan pengikrar ImpactSG menyertai jawatankuasa penasihat sekolah.
Ini bertujuan menyediakan sumber seperti penceramah yang berkongsi mengenai laluan kerjaya, serta mengadakan lawatan ke syarikat.
Program lain termasuk menyokong isi rumah penyewa dengan anak-anak, dengan kerjasama badan amal tempatan dan agensi pemerintah untuk menangani cabaran yang dihadapi mereka secara menyeluruh.
ImpactSG juga merancang memanfaatkan sumber di NCCS dengan membiayai rawatan terapi proton untuk kanak-kanak yang menghidap barah pediatrik di rantau ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg