Topik diikuti
Pergi ke BHkuSukan Asia: Skuad takraw negara sasar kelompok empat terbaik
Sukan Asia: Skuad takraw negara sasar kelompok empat terbaik
Tampil wajah baru; pengesahan sertai temasya beri semangat kepada pemain, jurulatih
Sukan Asia: Skuad takraw negara sasar kelompok empat terbaik
Pasukan sepak takraw Singapura yang akan beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bakal menampilkan wajah baru sepenuhnya, dengan kesemua pemain yang bakal dipilih tidak pernah beraksi dalam edisi terdahulu temasya tersebut.
Antara pemain yang tersenarai ialah Abdul Hammirruddin Noor daripada Pasukan Kelab Sukan Kawasan Undi (CSC) Kaki Bukit, dan Muhammad Danish Irfan Muhamad Faizal daripada Mayang Putra.
Walaupun kededua Hammirruddin dan Danish pernah menyarung jersi Singapura di Sukan SEA, ini merupakan penampilan pertama mereka di pentas Sukan Asia.
Skuad sepak takraw kali ini merupakan antara kumpulan pertama atlet dan pasukan yang diumumkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dalam satu kenyataan media pada 2 Jun untuk mewakili Singapura ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang akan berlangsung di Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober 2026.
Dengan gabungan pemain baru bersemangat tinggi, pasukan tersebut menyasarkan untuk memperbaiki prestasi dan mencabar kedudukan podium.
Secara keseluruhan, Singapura akan menghantar sekurang-kurangnya 256 atlet dalam 23 sukan ke temasya tersebut dalam kumpulan pertama yang diumumkan SNOC.
Daripada jumlah itu, 115 atlet memenuhi piawaian kelayakan yang ditetapkan oleh penganjur Sukan Asia, manakala 141 lagi tidak perlu memenuhi piawaian tersebut tetapi masih menepati penanda aras yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan SNOC.
Beberapa atlet dan pasukan lain masih dalam pertimbangan, dengan kontinjen akhir Singapura akan diumumkan kemudian, lebih dekat dengan tarikh temasya tersebut.
Ketua jurulatih pasukan sepak takraw negara, Nur Hisham Adam, mengetuai persiapan skuad dan menyasarkan kedudukan empat terbaik serta peluang membawa pulang pingat buat Singapura.
Beliau mengakui pada awalnya tidak pasti sama ada pasukan akan layak ke temasya tersebut selepas prestasi kurang memberangsangkan di Piala Dunia di Malaysia pada Mei lalu.
Pasukan Singapura tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan bagi kededua acara Regu – di mana mereka bersaing dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan dan Jepun – dan acara Quadrant dengan mereka juga dalam Kumpulan C bersama Malaysia, Korea Selatan dan India.
Namun, pengesahan penyertaan ke Sukan Asia memberikan semangat baru kepada pemain dan barisan kejurulatihan.
“Sudah tentu sasaran kami adalah berada dalam kelompok empat terbaik dan sekurang-kurangnya membawa pulang pingat,” kata Nur Hisham.
Beliau turut menegaskan bahawa saingan dalam acara sepak takraw kini semakin sengit dengan banyak negara menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Banyak negara sudah meningkat, dan persaingan sekarang jauh lebih sengit.
“Ia tidak mudah, tetapi setiap pasukan masih mempunyai peluang,” tambahnya.
Walaupun berdepan cabaran besar, beliau tetap optimis dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh pemain negara hasil daripada sesi latihan dan perlawanan percubaan kebelakangan ini.
Menurutnya, skuad negara menunjukkan peningkatan positif dan masih mempunyai ruang besar untuk diperbaiki menjelang temasya tersebut.
“
“Sudah tentu sasaran kami adalah berada dalam kelompok empat terbaik dan sekurang-kurangnya membawa pulang pingat. Banyak negara sudah meningkat, dan persaingan sekarang jauh lebih sengit. Ia tidak mudah, tetapi setiap pasukan masih mempunyai peluang.”