Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Individu 40 tahun dan ke atas boleh tebus hingga $580, kurangkan premium MediShield Hayat

Sep 18, 2025 | 6:06 PM
Singapura, MediShield Hayat, premium
Penyertaan dalam kegiatan fizikal sederhana hingga berat membolehkan individu mengumpulmata ganjaran, ‘Healthpoint,’ untuk mengurangkan premium MediShield Hayat. - Foto fail BH

Mulai 18 September, individu berumur 40 tahun dan ke atas boleh menebus diskaun sehingga $580 untuk mengurangkan bayaran premium insurans kesihatan MediShield Hayat, menggunakan mata ganjaran, Healthpoint, yang dikumpul melalui aplikasi Healthy 365.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa pemegang polisi MediShield Hayat boleh menebus 75 Healthpoint untuk diskaun $1 melalui aplikasi Healthy 365.

Healthpoint boleh dikumpul dengan menyertai program dan cabaran gaya hidup sihat dalam aplikasi tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Cabaran termasuk membeli makanan dan minuman yang mempunyai simbol Pilihan Lebih Sihat, serta mencapai sasaran senaman dan tidur.

Contohnya, individu yang secara tekal melakukan sekurang-kurangnya 150 minit kegiatan fizikal sederhana hingga berat setiap minggu sepanjang tahun, boleh mengumpul Healthpoint yang cukup untuk menebus kira-kira diskaun premium MediShield Hayat sebanyak $70.

Mendaftar dengan klinik SG Lebih Sihat, atau Healthier SG, dan melengkapkan sesi perundingan bersama Pelan Kesihatan pertama juga akan memberikan tambahan diskaun bernilai $40.

Ini bermakna, seseorang yang baru menyertai SG Lebih Sihat dan mengamalkan gaya hidup aktif secara tekal boleh menebus diskaun sehingga $110.

Diskaun itu akan digunakan secara automatik untuk bayaran premium MediShield Hayat semasa memperbaharui polisi tahunan berikutnya.

Sebagai rujukan, premium tahunan MediShield Hayat (sebelum subsidi pemerintah) adalah:

– Sebanyak $637 bagi mereka yang berumur 41 hingga 50 tahun

– Sebanyak $903 bagi mereka yang berumur 51 hingga 60 tahun. Premium adalah lebih tinggi bagi mereka yang lebih berusia.

Inisiatif diskaun premium itu akan dijalankan sebagai projek perintis selama tiga tahun dan akan dikaji semula sebelum MOH memutuskan sama ada ia akan dijadikan ciri tetap MediShield Hayat.

MOH menjalankan projek itu sebagai sebahagian daya usaha SG Lebih Sihat, dengan tujuan memberi lebih banyak ganjaran kepada mereka yang menjaga kesihatan.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dalam satu hantaran Facebook, berkata:

“Mengamalkan gaya hidup sihat adalah pilihan yang boleh dibuat oleh semua.

“Apabila kita menjaga kesihatan, kita kurang berisiko memerlukan rawatan perubatan yang mahal di kemudian hari.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg