Menyertai program Saham Kesihatan di bawah M³@Marsiling-Yew Tee menjadi titik perubahan bagi Cik Norma Yaacob, 57 tahun, dalam perjalanannya mengurus tekanan darah tinggi dan meningkatkan kesihatan keseluruhannya.
Dilancarkan sebagai kerjasama antara Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan rakan kongsi masyarakat, Saham Kesihatan direka untuk menyokong masyarakat Melayu/Islam mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Melalui kegiatan yang disesuaikan kepada masyarakat Melayu/Islam, program itu memupuk pendekatan yang diterajui masyarakat. Penduduk boleh melibatkan diri dalam senaman dan perbincangan yang menggalak kesihatan, selaras dengan keperluan khusus mereka.
“Saya menyertai program ini kerana ia menyasarkan mereka yang berumur 50 tahun ke atas,” kata Cik Norma, yang mendaftar pada Jun 2023.
“Aktiviti ini dirancang dengan baik, memudahkan orang dalam kumpulan umur saya mengambil bahagian,” tambahnya.
Program yang disusun secara menyeluruh termasuk kegiatan fizikal seperti zumba, tarian Bollywood dan berjalan pantas, digabungkan dengan ceramah kesihatan tentang diet, kecergasan dan mengekalkan gaya hidup seimbang.
Cik Norma berkongsi bahawa kepelbagaian senaman yang ditawarkan membuatkan beliau terus bersemangat untuk menyertainya setiap minggu.
“Latihan itu menarik dan sesuai untuk kami. Saya dapat mencuba perkara baru yang sangat menyeronokkan dan membuat saya datang lagi. Dan itulah matlamatnya untuk terus bersenam.”
Selain menawarkan kegiatan fizikal, program Saham Kesihatan turut direka untuk memupuk tabiat lebih sihat, termasuk pilihan makanan dan gaya hidup.
Dalam salah satu ceramah kesihatan, Cik Norma mendapat tahu tentang konsep ‘My Healthy Plate HPB’ – mengisi separuh pinggan dengan sayur-sayuran, satu perempat dengan daging tanpa lemak, dan baki suku dengan bijirin penuh.
Sejak itu, Cik Norma memasukkan lebih banyak sayur-sayuran ke dalam dietnya dan menukar minuman manis kepada pilihan rendah gula.
“Perubahan kecil ini telah memberi perbezaan yang besar,” katanya, sambil menambah bahawa tekanan darahnya kekal dalam julat normal sejak beliau memulakan program Saham Kesihatan.
“Saya rasa lebih bertenaga. Mengetahui tekanan darah saya terkawal adalah satu kelegaan yang besar,” ujarnya.
Di sebalik manfaat kesihatan, Cik Norma berkata Saham Kesihatan memupuk semangat kemasyarakatan.
“Kami bukan sahaja bersenam bersama malah menggalak satu sama lain,” katanya.
Malah selepas program itu tamat, Cik Norma dan rakan-rakan peserta kekal berhubung melalui kumpulan WhatsApp, berkongsi petua tentang pemakanan sihat dan memberi motivasi kepada satu sama lain untuk kekal aktif.
Cik Norma percaya bahawa program ini dapat memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk, menggalak mereka mengutamakan kesihatan mereka.
“Dengan program yang tersusun dengan baik, ia benar-benar satu peluang yang terlepas jika ada orang memilih tidak menyertainya,” katanya.
Beliau juga berkongsi nasihat bagi orang yang baru memulakan perjalanan kesihatan.
“Mulakan dari kecil dan tingkatkan usaha anda – jalan kaki daripada menaiki bas, gunakan tangga atau sertai kumpulan kecergasan masyarakat. Ia akan membina stamina dan keyakinan.”
Bagi Cik Norma, pengalaman bersama Saham Kesihatan telah mencetuskan matlamat baru: kekal sihat semampunya selama mungkin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg