Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Individu, keluarga kurang bernasib baik bakal terima derma Golf Amal AMP-BH

May 13, 2025 | 5:30 AM
BH, AMP, golf amal
Kerjasama dengan masyarakat menerusi program seperti golf amal membolehkan AMP Singapura meluaskan pendekatan dan impak program supaya lebih ramai individu dapat diperkasa, kata Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mokhsin Mohd Rashid. - Foto fail

Zaid (bukan nama sebenar) dan adiknya membesar dalam keadaan mencabar, sedang ibu bapa mereka bergelut dengan ketagihan dadah sepanjang lebih dua dekad lalu.

Sedang ibu bapa mereka keluar masuk penjara, dua adik beradik itu dibesarkan oleh datuk dan nenek mereka di sebuah flat sewa satu bilik. 

Walaupun hidup dalam ketidaktentuan, Zaid, 25 tahun, tetap menumpukan perhatian kepada pelajarannya.

Kini, beliau sedang mengikuti pengajian dalam jurusan kewangan di Institut Pengurusan Singapura (SIM), dibiayai menerusi kerja sambilannya, pinjaman pendidikan dan dermasiswa daripada AMP Singapura.

“Bantuan dermasiswa ini benar-benar meringankan beban saya dan membolehkan saya fokus kepada pelajaran tanpa terlalu risau tentang perbelanjaan makanan dan pengangkutan,” kata Zaid.

Zaid merupakan salah seorang daripada sekitar 14,700 individu yang kini menerima bantuan melalui pelbagai program perkhidmatan sosial AMP Singapura.

Selain dermasiswa, pelbagai program yang ditawarkan termasuk kaunseling keluarga, program pengurusan hutang, serta sokongan akademik.

Program ini bakal mendapat suntikan hasil dana yang dikumpulkan melalui satu acara golf amal anjuran Berita Harian (BH) dan AMP Singapura buat julung-julung kalinya pada 22 Julai di Orchid Country Club.

Acara Golf Amal BH-AMP itu diadakan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60) dan bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan semula kepada masyarakat. Ia juga diadakan sehari selepas Hari Keharmonian Kaum pada 21 Julai.

Sasarannya adalah untuk mengumpul $300,000 daripada penaja korporat dan individu, dengan jumlah sumbangan akan dibahagi dua antara AMP dan BH.

AMP akan menyalurkan dananya kepada benefisiari badan itu sementara BH akan menyalurkan dananya kepada Persatuan Kanak-Kanak Singapura (SCS) dan juga dalam bentuk hadiah buku kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mokhsin Mohd Rashid, berkata golongan yang dibantu badan itu termasuk keluarga berpendapatan rendah, belia daripada latar belakang kurang bernasib baik, serta pesalah dadah dan keluarga mereka.

“Acara Golf Amal ini akan bantu mengumpul dana penting bagi membolehkan AMP bertindak balas secara proaktif untuk menyokong benefisiari yang terjejas dengan kos sara hidup meningkat serta cabaran nasional dan global lebih luas.

“Ia akan membolehkan kami mendekati lebih ramai yang memerlukan dalam masyarakat, memperkukuh khidmat kami, serta memenuhi keperluan mereka yang berubah dan meningkatkan tahap sokongan,” kata Encik Mokhsin kepada BH.

Acara golf amal itu akan menghimpunkan rakan korporat, penderma dan sukarelawan yang berkongsi misi membangunkan masyarakat.

Mantan Presiden Halimah Yacob akan menjadi tetamu terhormat bagi majlis Makan Malam Gala acara itu, manakala Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, akan menjadi tetamu terhormat bagi permulaan pusingan golf amal tersebut.

Demi memenuhi sasaran untuk mengumpul $300,000 daripada penaja korporat dan individu, pelbagai pakej tajaan disediakan untuk penderma, dari peringkat Berlian (Diamond) hingga Individu.

Encik Mokhsin berkata menjangkau usaha mengumpul dana, acara itu juga satu lambang semangat masyarakat yang kukuh untuk membantu keluarga dan individu mudah terjejas.

“Kejasama seperti ini membolehkan kami meluaskan pendekatan dan impak program kami supaya lebih ramai individu dapat diperkasa untuk berdikari dalam jangka panjang serta berdaya tahan,” kata Encik Mokhsin.

Bagi Zaid pula, bantuan yang diberikan AMP bukan sahaja melegakan beban kewangan, malah menyuntik semangat dan harapan.

“Saya ingin membina kerjaya dalam bidang kewangan dan perakaunan, mungkin dalam sektor awam,” katanya. 

“Dan suatu hari nanti, saya ingin menyumbang semula kepada masyarakat mungkin sebagai guru atau pensyarah, supaya saya juga boleh bantu orang lain seperti mana saya telah dibantu,” tambah beliau.

Orang ramai yang ingin menderma atau mendapatkan maklumat lanjut boleh hantarkan e-mel ke BHAMPcharitygolf@amp.org.sg.

Golf Amal BH-AMP diadakan pada 22 Julai
Golf Amal BH-AMP diadakan pada 22 Julai -
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg