Beberapa pakej tajaan dibuka kepada penderma bagi Golf Amal BH-AMP yang diadakan buat julung kalinya pada 22 Julai di Orchid Country Club.
Mantan Presiden Halimah Yacob merupakan tetamu terhormat bagi majlis Makan Malam Gala acara itu, manakala Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, akan menjadi tetamu terhormat bagi permulaan pusingan golf amal tersebut.
Demi memenuhi sasaran untuk mengumpul $300,000 daripada penaja korporat dan individu, pelbagai pakej tajaan disediakan untuk penderma, dari peringkat Berlian (Diamond) hingga Individu.
Peringkat tertinggi, penaja bagi peringkat Berlian, dihadkan kepada tiga penaja bagi sumbangan $60,000 atau lebih.
Mereka akan menerima pengiktirafan eksklusif dalam bahan publisiti, tiga flight untuk 12 orang dan 10 tempat duduk di majlis Makan Malam Gala di Orchid Country Club.
Tajaan Platinum dihadkan kepada lima penaja dengan sumbangan $30,000 atau lebih.
Mereka akan menerima pengiktirafan dalam bahan publisiti, dua flight untuk lapan orang dan 10 tempat duduk di majlis Makan Malam Gala Orchid Country Club.
Tajaan Emas (Gold) pula terhad kepada tujuh penaja dengan sumbangan $10,000 atau lebih. Mereka akan mendapat pengiktirafan bahan publisiti, satu flight untuk empat orang dan lima tempat duduk di majlis Makan Malam Gala.
Penaja Perak (Silver), dihadkan kepada sembilan dengan sumbangan $5,000 atau lebih dan akan menerima pengiktirafan publisiti serta satu flight untuk empat orang.
Penaja Individu pula boleh menyumbang $500 dan akan menerima satu tempat duduk di majlis Makan Malam Gala.
Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar berharap dengan adanya pakej tajaan berbeza ini, lebih ramai akan tampil untuk memberi sumbangan.
“Kami menawarkan beberapa pakej tajaan yang berbeza-beza untuk membolehkan lebih ramai individu atau korporat menyertai usaha ini dan memberi sumbangan mengikut kemampuan masing-masing,” kata beliau.
“Ini dilakukan dengan harapan ramai akan tampil untuk memberi sumbangan, tidak kira kecil atau besar. Semua sumbangan pastinya memberikan kesan yang mendalam kepada benefisiari,” tambahnya.
Sekumpulan pemain golf veteran – Encik Zainal Samat, Encik A Rahim Jaafar, Encik Mohd Said Abdul Latif dan Encik Ibrahim Atan – turut bekerjasama dengan AMP dan BH untuk menjayakan acara amal ini.
Encik Zainal menjelaskan pakej tajaan ini membolehkan sesiapa sahaja tampil menyumbang, tidak kira minat mereka dalam golf.
“Sempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60), mereka boleh tampil bukan sahaja untuk bermain golf malah menyumbang kepada warga Singapura yang memerlukan,” kata beliau.
Semangat membantu dan berbakti kepada masyarakat ini juga ditekankan oleh Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Mohd Rashid.
“Melalui acara golf amal ini dan dana yang dikumpul, AMP berharap dapat memanfaatkan lebih ramai dari golongan yang memerlukan menerusi program di bawah naungan AMP, seperti yang menyokong keluarga berpendapatan rendah, belia dan lain-lain,” kongsi beliau.
Jumlah sumbangan akan dibahagi dua antara AMP dan BH.
AMP akan menyalurkan dananya kepada benefisiari badan itu sementara BH akan menyalurkan dananya kepada Persatuan Kanak-Kanak Singapura (SCS) dan juga dalam bentuk hadiah buku kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
Encik Mohksin juga tekankan pentingnya bekerjasama dengan BH untuk menjayakan acara amal ini.
“Kerjasama ini akan membolehkan individu daripada pelbagai latar belakang bersama-sama memainkan peranan mereka dalam menyokong golongan yang memerlukan dalam masyarakat serta menekankan kepentingan tanggungjawab sosial dalam memperkukuh masyarakat kita,” kata beliau.
Encik Nazry pula berkata: “Selain itu, bagi BH, kami berharap acara golf amal ini dapat menguatkan imej BH sebagai media yang bukan hanya mewakili suara masyarakat Melayu/Islam, malah memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.”
Penganjur berharap sokongan daripada penaja akan membantu mereka mencapai sasaran mereka dan memberi impak yang bermakna kepada warga Singapura yang memerlukan.
Tahap penaja serta faedahnya
Diamond (menyumbang $60,000 ke atas)
– pengiktirafan eksklusif dalam bahan penerbitan
– 3 flight (12 orang)
– 10 tempat duduk Makan Malam Gala di Orchid Country Club
Platinum (menyumbang $30,000 ke atas)
– pengiktirafan dalam bahan penerbitan
– 2 flight (8 orang)
– 10 tempat duduk Makan Malam Gala di Orchid Country Club
Gold (menyumbang $10,000 ke atas)
– pengiktirafan dalam bahan penerbitan
– 1 flight (4 orang)
– 5 tempat duduk Makan Malam Gala di Orchid Country Club
Silver (menyumbang $5000 ke atas)
– pengiktirafan dalam bahan penerbitan
– 1 flight (4 orang)
Individu (menyumbang $500 ke atas)
– 1 tempat duduk Makan Malam Gala di Orchid Country Club
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg