Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia pertahan pengurangan eksport gas, tegaskan kontrak tidak dilanggar
Indonesia pertahan pengurangan eksport gas, tegaskan kontrak tidak dilanggar
Indonesia mempertahankan pengurangan eksport gas selepas Singapura menyuarakan kebimbangan, sambil menegaskan bahawa Indonesia tidak akan membiarkan negara itu diceramah tentang menghormati kontrak, dan pengurangan tersebut tidak melanggar perjanjian semasa.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, berkata pada 26 Oktober bahawa eksport gas melalui saluran paip dikurangkan sebanyak 31 juta kaki padu standard sehari, atau kira-kira 8 peratus daripada 409.55 juta kaki padu standard yang dibekalkan dari Laut Natuna dan tanah besar Sumatera.
“Jangan ceramah Indonesia tentang tanggungjawabnya untuk menunaikan dan menghormati kontrak,” katanya sambil menegaskan bahawa pengurangan itu masih dalam had terendah yang dibenarkan oleh perjanjian semasa.
“Pengurangan 31 juta itu masih dalam had terendah kontrak. Jika bekalan dikurangkan sebanyak 10 peratus, barulah kami melanggar kontrak.”
Encik Bahlil berkata pengurangan itu berpunca daripada penghentian operasi bagi penyelenggaraan dan permintaan dalam negeri, sambil menegaskan bahawa Indonesia tetap akan menghormati kontrak dan perjanjian.
Ditanya sama ada pengurangan eksport itu akan kekal, beliau tidak memberikan jawapan pasti.
“Keadaan masih boleh berubah,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan berlakunya force majeure, iaitu keadaan tertentu yang membolehkan satu pihak dikecualikan daripada kewajipan kontrak, tanpa menyatakan sama ada Indonesia telah menggunakan peruntukan itu.
“Kami menghormati kontrak. Tetapi keadaan force majeure boleh berlaku, bukan? Kita tengoklah nanti,” katanya.
Beliau turut menafikan wujudnya sebarang pertikaian.
Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura pada 24 Oktober bagi memenuhi keperluan elektrik di Batam, Bintan dan Sumatera.
Badan kawal selia SKK Migas mengumumkan pengurangan sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD).
Namun, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura menyatakan pengurangan sebenar ialah 17 BBTUD sepanjang 18 hari, kurang 2 peratus permintaan gas harian Singapura.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, pada 25 Oktober menegaskan bahawa semua pihak perlu memenuhi kewajipan kontrak masing-masing dan pengimport gas Singapura akan mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi hak serta kepentingannya, katanya semasa sidang Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng, pula berkata hubungan kedua-dua negara kekal baik, khususnya antara Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dengan Encik Wong, sambil mengakui keperluan bekalan domestik Indonesia.
Pada pembukaan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura pada 26 Oktober, Dr Tan memberi amaran bahawa tindakan mengutamakan keperluan tenaga dalam negeri sehingga menjejaskan kontrak eksport semasa boleh membantutkan pelaburan tenaga, sedang Singapura mengumumkan rancangan lima tahun memperluas prasarana tenaga bagi memenuhi permintaan yang meningkat.
Pada 22 Oktober, Encik Bahlil memberi amaran bahawa Indonesia boleh menghentikan eksport tenaga ke negara yang tidak menghormatinya, tanpa menamakan mana-mana negara.
Sehari sebelumnya, beliau membayangkan kontrak eksport gas mungkin tidak diperbaharui demi keperluan dalam negeri.
Kontrak bekalan gas dengan Singapura berkuat kuasa sehingga akhir 2028.
Kededua negara turut merundingkan eksport elektrik dari Indonesia ke Singapura, dengan isu harga belum dimuktamad.
Singapura telah memberikan lesen bersyarat kepada enam projek import elektrik dari Indonesia dengan jumlah bekalan 3 gigawatt (GW).
Encik Bahlil berkata Indonesia juga sedang mengkaji pembinaan loji nuklear di Kepulauan Riau, Halmahera, Kalimantan dan Sumatera, termasuk kemungkinan kerjasama dengan Russia di Halmahera.