Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndranee: Cuti bagi urusan penjagaan perlu jadi sebahagian daripada dasar HR
Indranee: Cuti bagi urusan penjagaan perlu jadi sebahagian daripada dasar HR
Pekerja yang mengambil cuti untuk urusan penjagaan tidak seharusnya lagi dianggap sebagai situasi luar biasa, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah, pada 19 November.
Syarikat perlu mengambil kira “hakikat baharu” ini dalam dasar sumber manusia dan persekitaran kerja, termasuk aturan kerja yang anjal, penyusunan semula tugas dan penggajian pekerja pengganti, katanya.
Beliau berkata demikian mengenai peningkatan keperluan penjagaan di Singapura di persidangan tahunan badan amal Cultivate SG di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI).
Menurutnya, kadar kesuburan keseluruhan (TFR) Singapura yang merosot ke paras terendah 0.87 pada 2025 serta penuaan pesat penduduk yang melepasi ambang masyarakat sangat tua pada 2026 memberi kesan kepada keperluan penjagaan.
Lama-kelamaan, Cik Indranee berkata saiz keluarga akan semakin kecil dan bilangan warga Singapura dalam usia bekerja untuk menyokong penduduk warga emas yang semakin ramai akan berkurangan.
Keperluan penjagaan bukan sahaja melibatkan ibu bapa beranak kecil, malah individu bujang dan pasangan tanpa anak yang menjaga saudara-mara lanjut usia, tambahnya.
Cik Indranee menegaskan bahawa keselesaan pekerja mengambil cuti bergantung pada sikap penyelia, rakan sekerja dan budaya tempat kerja.
“Amat sukar apabila penyelia meluluskan cuti tetapi anda dibuat berasa seolah-olah tidak patut mengambilnya.
“Banyak cara untuk menghalang pekerja menggunakan hak cuti berkanun. Cara pemikiran, sikap dan norma sebenarnya memainkan peranan penting,” katanya.
Cik Indranee, pengerusi Kumpulan Kerja Penetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan, berkata peningkatan TFR memerlukan penyelesaian terhadap keperluan penjagaan keluarga muda.
Tinjauan terkini Cultivate SG yang melibatkan kira-kira 2,000 rakyat dan penduduk tetap mendapati tiga daripada empat peserta berasa keberatan untuk mempunyai anak akibat tuntutan penjagaan.
Angka itu meningkat kepada lebih empat daripada lima dalam kalangan belia berusia 15 hingga 24 tahun.
Memandangkan kebanyakan warga emas mahu terus tinggal di rumah sendiri, penjagaan memerlukan pendekatan menyeluruh dengan sumbangan keluarga, pertubuhan dan masyarakat, katanya.
Cik Indranee turut mengimbas langkah sokongan keluarga yang diumumkan pada Rapat Hari Kebangsaan 2026.
Langkah itu termasuk tambahan cuti penjagaan anak, yuran prasekolah yang berpatutan dan bayaran balik penuh kos cuti berkaitan anak kepada majikan, tertakluk pada had yang ditetapkan.
Pemerintah bakal menanggung kos cuti bersalin dan pengambilan anak angkat bagi anak pertama dan kedua serta tiga hari pertama cuti penjagaan anak yang kini sebahagiannya ditanggung majikan.
Tarikh pelaksanaan belum diumumkan, tetapi butiran lanjut dijangka dikongsi pada awal 2027.
Bayaran balik itu akan mengurangkan kos majikan dan membolehkan mereka menggaji pekerja sementara.
Cik Indranee menggesa majikan menggunakan dana itu untuk mendapatkan pengganti supaya pekerja boleh bercuti dengan tenang, bukannya sekadar meningkatkan keuntungan.
Beliau berkata rangkaian sokongan Singapura semakin mengecil akibat keluarga kecil, saudara-mara berjauhan dan kehidupan yang bertambah sibuk.
Singapura perlu membina semula sistem sokongan “kampung”, merangkumi rangkaian sokongan yang melibatkan individu, tempat kerja, masyarakat dan pemerintah.
Kumpulan kerja itu dijangka menerbitkan laporan mengenai kos membesarkan anak, keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan, urusan penjagaan, perumahan, kesihatan dan pendidikan pada awal 2027.