Apakah yang perlu dilakukan apabila perkhidmatan penting atau sistem sokongan masyarakat dan penjagaan terganggu akibat penularan wabak penyakit?

Persoalan ini antara perkara yang boleh dipelajari menerusi satu program baharu selama dua hari mengenai pengurusan krisis dan gangguan besar-besaran yang diperkenalkan secara rintis oleh Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Ini termasuk gangguan terhadap perkhidmatan asas, sistem sokongan masyarakat dan penjagaan, operasi organisasi, prasarana, rantaian bekalan, penjagaan kesihatan serta kemudahan awam.

Gangguan sedemikian boleh berpunca daripada wabak penyakit dan kecemasan kesihatan awam, cuaca melampau dan kejadian berkaitan iklim, kegagalan kemudahan awam atau prasarana, insiden teknologi dan keselamatan siber, kekurangan tenaga kerja, gangguan bekalan perubatan dan penjagaan serta insiden keselamatan.

Program itu bermula pada 19 November, dengan hari keduanya berlangsung pada 26 November.

Seramai 27 peserta telah mendaftar bagi program tersebut.

Program itu bertujuan melengkapkan peserta antaranya daripada sektor awam, swasta, badan bukan mencari untung dan masyarakat dengan asas pengurusan krisis, perlindungan perkhidmatan penting, kesinambungan penjagaan dan penyelarasan tindak balas berkesan.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, Ketua Program Keselamatan Global dan Strategi di SUSS, berkata program tersebut membantu peserta menangani tekanan emosi dan keresahan yang dialami masyarakat ketika berdepan krisis.

“Ini merupakan kursus pengurusan krisis, bukannya kursus kaunseling, namun kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat.

“Sebahagian besar tekanan yang dialami seseorang ketika krisis berpunca daripada ketidaktentuan, rasa tidak berdaya dan kekeliruan, termasuk tidak mengetahui apa yang sedang berlaku, tindakan yang perlu diambil atau pihak yang boleh dipercayai,” katanya.

Peserta akan meneliti peringkat utama dalam pencegahan, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan, serta mempelajari cara menggunakan kerangka pengurusan kecemasan, termasuk Rangka Kerja Tindak Balas Nasional (NRF) dan Sistem Perintah Insiden (ICS).

NRF menyediakan struktur dan mekanisme bagi hala tuju dasar dan operasi di peringkat nasional dalam pengurusan insiden domestik.

Manakala, ICS menyediakan struktur pengurusan insiden di lokasi kejadian bagi menangani pelbagai jenis ancaman, sekali gus membolehkan semua agensi menggunakan struktur organisasi yang sama di seluruh negara.

Sepanjang program itu, peserta juga akan meneliti peranan pemerintah dan agensi sektor, perniagaan, pertubuhan kemanusiaan serta kumpulan masyarakat semasa krisis, di samping peranan penyedia khidmat penjagaan, keluarga, penjaga dan sukarelawan.

Topik lain yang akan dibincangkan termasuk perancangan kecemasan, perintah dan penyelarasan, komunikasi semasa krisis dan maklumat palsu, pengurusan sumber, kerjasama sektor awam dan swasta, kesinambungan perniagaan dan perkhidmatan serta pemulihan selepas krisis.

Melalui kajian kes sebenar dan kegiatan praktikal, peserta akan meneliti bagaimana pelbagai pihak berkepentingan bekerjasama untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan penjagaan dan perkhidmatan penting serta operasi organisasi semasa gangguan.

Pada hari kedua, peserta akan bekerja dalam kumpulan untuk menganalisis senario krisis yang berkembang, mengenal pasti risiko dan keperluan utama, serta membangunkan pelan tindak balas dan pemulihan.

Mereka juga akan membentangkan dan mempertahankan saranan masing-masing, diikuti sesi soal jawab dan perbincangan bersama fasilitator.