Usul untuk menyatakan rasa kesal atas tindakan Encik Pritam Singh dan mempertimbangkan kesesuaiannya untuk terus menjadi Ketua Pembangkang adalah mengenai perkara yang menjejas kedudukan dan integriti Parlimen, kata Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah.
Berucap di Parlimen, Cik Indranee berkata usul itu melangkaui politik kepartian kerana kejujuran dan integriti tidak boleh dirunding, dan ia membentuk asas sistem politik Singapura dan tadbir urus yang baik.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Anggota Parlimen (AP) yang telah bersuara menyokong usul ini. Mereka telah menunjukkan dengan tepat bahawa usul ini adalah mengenai prinsip dan nilai murni.
“Orang ramai berhak menjaga tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Parlimen kita, dan ini lebih-lebih lagi ke atas Ketua Pembangkang,” kata Cik Indranee.
Parlimen membincangkan usul yang mempertimbangkan kesesuaian Encik Pritam terus menggalas peranan sebagai Ketua Pembangkang pada 14 Januari, yang dikemukakan oleh Cik Indranee.
Dalam ucapan semasa menggulung perbahasan, Cik Indranee berkata rakyat Singapura berhak mendapat pembangkang yang akan menegakkan kedaulatan undang-undang, dan yang akan mematuhi proses sewajarnya serta menghormati integriti institusi Singapura.
Mengulas tentang pendirian dan hujah AP Parti Pekerja (WP) semasa perbahasan, Cik Indranee mempersoalkan sama ada WP telah berkhidmat dengan baik kepada penyokongnya dengan pendirian yang telah diambilnya.
“Dengan penuh hormat, saya mengatakan jawapannya adalah tidak. Pendirian yang diambil oleh Ketua Pembangkang dan AP WP yang telah bersuara adalah mengecewakan,” kata Cik Indranee.
Walaupun Encik Pritam telah melepaskan cemeti parti, iaitu membolehkan AP WP yang hadir memberi pilihan peribadi sebagai respons terhadap usulan itu, Cik Indranee berkata AP WP sebahagian besarnya mempunyai pendirian yang sama.
Merujuk kepada usul itu, beliau berkata bahawa secara keseluruhannya, WP bersetuju dengan resolusi pertama dan terakhir dalam usulan enam resolusi itu.
Resolusi yang pertama menegaskan bahawa kejujuran dan integriti adalah tonggak asas sistem Parlimen dan politik Singapura.
Yang keenam menyeru Dewan untuk “menegakkan tugas serius kita untuk menghormati dan mematuhi undang-undang, dan bertindak dengan integriti sepanjang masa, serta menghormati kepercayaan yang diberikan kepada kita oleh rakyat Singapura”.
Walau bagaimanapun, Cik Indranee berkata WP “nampaknya menghadapi kesukaran” menerima resolusi lain.
Resolusi kedua merupakan catatan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Encik Pritam sabit kesalahan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) dan dapatan jawatankuasa itu iaitu Encik Pritam telah membimbing bekas AP WP, Cik Raeesah Khan, supaya terus berbohong kepada Parlimen.
Resolusi ketiga menyatakan rasa kesal atas tatalaku Cik Pritam yang dikatakan tidak berhormat dan tidak sesuai sebagai AP.
Resolusi keempat pula menyatakan tatalaku dan sabit kesalahan Encik Pritam menjadikan beliau kurang sesuai untuk terus berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang, antaranya kerana ia akan mengurangkan kedudukan Parlimen dan meluntur keyakinan awal terhadap integriti sistem politik Singapura.
Resolusi kelima pula mencatat keputusan Mahkamah Tinggi dan COP sebagai mempunyai kesan ke atas dua AP WP, Cik Sylvia Lim dan Encik Muhamad Faisal Abdul Manap, yang akan dipertimbangkan secara berasingan.
Usul itu diluluskan di Parlimen pada 14 Januari, dengan kesemua 11 AP WP yang hadir di Parlimen menolaknya. AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Cik Eileen Chong dari WP tidak hadir di Parlimen.
Sementara itu, Cik Indranee turut memetik bagaimana WP mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi, serta dapatan COP.
“Setelah bersetuju bahawa kita mesti bertindak dengan integriti sepanjang masa… mereka tidak dapat bersetuju bahawa berbohong kepada COP dan membimbing seorang AP untuk meneruskan pembohongannya kepada Parlimen adalah tindakan yang tidak bermaruah dan tidak sepatutnya dilakukan seseorang AP,” katanya.
Beliau mengatakan adalah tidak konsisten bahawa WP bersetuju menegakkan piawaian tetapi menolak hakikat bahawa tindakan Encik Pritam tidak bermaruah.
Awal dari itu, semasa memberi respons kepada hujah Cik Indranee, Encik Pritam berkata beliau menerima sepenuhnya “kuasa dan kata muktamad” keputusan mahkamah, tetapi tidak bersetuju dengan penemuannya.
“Penghakiman menentukan tanggungjawab undang-undang. Ia tidak memerlukan seseorang untuk meninggalkan kepercayaan jujur mereka tentang motivasi dan nilai-nilai mereka.”
Susulan keputusan mahkamah, Encik Pritam berkata beliau terus menjalankan tugasnya dengan setia, seperti yang telah dilakukannya selama 15 tahun yang lalu, dan tidak “hilang dan mengelak daripada kecaman”.
Beliau menambah: “Kami sentiasa memperjuangkan kepentingan pembangkang yang rasional, bertanggungjawab dan dihormati di Dewan, dan akan terus berbuat demikian dalam hal ini.”
Merujuk kepada kelakuan Encik Pritam, Cik Indranee mengatakan bahawa Encik Pritam sebelum ini mengatakan bahawa penghakiman mahkamah mengecewakan tetapi beliau menerimanya sepenuhnya dan tanpa ragu-ragu.
“Jadi saya fikir kita semua tahu hari ini bahawa apabila Encik Pritam memberitahu anda bahawa beliau menerima apa yang anda katakan sepenuhnya dan tanpa ragu-ragu, beliau bermaksud bahawa anda salah. Kata-kata itu penting.”
Beliau menambah walaupun Encik Pritam telah berkata beliau akur mengambil masa terlalu lama untuk menjawab pembohongan Cik Raeesah di Parlimen, itu bukanlah inti pati keputusan mahkamah.
Sebaliknya, penjelasannya atas kelewatan itu tidak boleh dipercayai, dan ditolak.
Cik Indranee berkata adalah “pelik” bahawa Encik Pritam tidak menerima penghakiman mahkamah atau penemuan COP, seperti yang telah beliau katakan berkali-kali dalam perbahasan bahawa Parlimen adalah institusi yang tertinggi.
“Apabila anda mempunyai COP yang membuat keputusan, ia sepatutnya menjadi yang tertinggi, tetapi tidak, jika keputusan itu menjejas Encik Pritam, ia bukan yang tertinggi, ia salah,” ujar beliau.
Semasa perbahasan, Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied) mencadangkan bahawa usul yang dibentangkan Cik Indranee itu adalah “hukuman politik” dan mempersoalkan mengapa bekas Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin tidak dikenakan prosedur serupa di Parlimen seperti yang dikenakan ke atas Encik Pritam.
Memberi respons, Cik Indranee berkata Encik Tiong “tidak memahami kes itu” dan mengingatkannya bahawa Encik Tan telah diminta agar meletak jawatan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Beliau menambah, Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, telah berkata bahawa Encik Tan terpaksa meletak jawatan sebagai Speaker, walaupun beliau mahu memberinya sedikit masa untuk menyelesaikan hal ehwal kawasan undi dan keluarga.
“Encik Pritam tidak diminta untuk meletakkan jawatan... beliau nampaknya tidak berpendapat ada sebarang masalah untuk meneruskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang.”
Dalam pada itu, Cik Indranee berkata satu kesimpulan mengapa kes Encik Pritam diuruskan secara berbeza berbanding dengan kes Cik Raeesah Khan dan Encik Leon Perera ialah kerana WP membuat “pengiraan politik” sama ada mereka harus dikekalkan atau tidak.
Kededua AP itu diminta meletak jawatan atau mengundur diri dengan lebih cepat kerana Cik Raeesah dianggap satu liabiliti dan Encik Perera digugurkan.
Sebaliknya, Encik Pritam dilayan secara berbeza, kata Cik Indranee yang mempersoal standard kebertanggungjawapan dalam WP.
“Itu bukanlah apa yang diharapkan oleh rakyat Singapura daripada pemimpin dan parti politik, katanya, dan itu bukanlah cara untuk membina Parlimen dunia pertama atau sistem dua parti,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg