Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh menolak usul untuk menyatakan beliau tidak sesuai sebagai Ketua Pembangkang (LO).
Usul itu dibentangkan oleh Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah setelah Encik Pritam disabit berbohong kepada jawatankuasa Parlimen.
Encik Pritam mengatakan beliau tidak setuju bahawa kelakuannya tidak bermaruah dan tidak sesuai sebagai Anggota Parlimen (AP).
Dalam ucapannya di Parlimen pada 14 Januari, Encik Pritam menegaskan pendiriannya tetap teguh dan beliau tidak pernah memberitahu mantan AP WP, Cik Raeesah Khan untuk membawa rahsianya sampai mati.
“Mahkamah telah memutuskan bahawa pesanan ringkas (Cik Raeesah) pada 8 Ogos 2021, yang menyatakan beliau diberitahu untuk menyimpan rahsia pembohongannya sampai mati, adalah bukti dokumentari yang kukuh, dan bersama-sama bukti lain, telah membawa kepada kesimpulan hakim perbicaraan bahawa kenyataan sedemikian dibuat oleh diri saya sendiri.
“Pendirian saya tetap, dan selamanya akan kekal begitu, bahawa perkara ini tidak pernah saya katakan kepada Khan pada bila-bila masa,” tegas Encik Pritam.
Namun, beliau akur beliau tidak bertindak dengan cukup pantas dalam menangani kes Cik Raeesah itu.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya kerana tidak bertindak balas dengan cukup cepat untuk membetulkan pembohongan Khan dalam ucapannya mengenai Pemerkasaan Wanita di Parlimen pada 3 Ogos 2021,” katanya.
Merujuk kepada pengendalian kes yang melibatkan mantan Speaker Tan Chuan-Jin oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Pritam menambah:
“Saya tidak mempunyai masa hampir tiga tahun untuk menangani perkara sensitif yang melibatkan salah seorang AP saya.
“Tempoh masa saya jauh lebih pendek, dan saya cuba melakukan apa yang saya anggap terbaik bagi AP berkenaan dan bagi Parlimen, dengan tujuan untuk berusaha ke arah hasil di mana AP itu akan bertanggungjawab ke atas tindakannya.
“Saya sememangnya tidak menjangkakan AP itu akan mengukuhkan dan kekal dengan pembohongannya apabila ditanya mengenainya.”
Menolak seperkara dalam usul itu yang menyatakan beliau tidak sesuai untuk meneruskan tugas sebagai LO, Encik Pritam berkata beliau telah melakukan yang terbaik untuk memajukan kepentingan rakyat Singapura bersama WP sebagai pembangkang yang bertanggungjawab.
Encik Pritam kali pertama dilantik sebagai LO oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, berikutan Pilihan Raya 2020, setelah WP memenangi 10 kerusi.
Pelantikan LO, kata Encik Pritam, bukanlah pelantikan perlembagaan atau undang-undang.
“Saya tidak pernah beranggapan bahawa pelantikan Ketua Pembangkang adalah satu kemestian, dan saya juga tidak pernah mengidamkannya,” kata beliau.
“Dalam kes saya, apa pun yang diputuskan oleh Parlimen, dan selagi saya menjadi AP, saya akan meneruskan kerja saya sebagai AP di GRC Aljunied, dan saya akan terus menyokong rakyat Singapura di Parlimen sebaik mungkin seperti yang telah saya lakukan selama 15 tahun yang lalu,” ujar beliau.
Encik Pritam turut menolak satu lagi perkara dalam usul itu, yang meminta Dewan untuk mempertimbangkan implikasi kes tersebut ke atas AP WP, Cik Sylvia Lim dan mantan AP WP, Encik Faisal Manap secara berasingan.
Beliau berkata tiada tindakan harus diambil terhadap Cik Lim dan Encik Faisal, kerana beliau tidak bersetuju dengan penghakiman dan penemuan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).
Jawatankuasa itu mendapati Cik Lim dan Encik Faisal telah berbohong di bawah sumpah dengan menafikan bahawa mereka telah memberitahu Cik Raeesah untuk menyembunyikan ketidakbenarannya dalam mesyuarat Ogos 2021.
Dalam pembukaan ucapannya, Encik Pritam berkata beliau telah mengangkat cemeti (whip), membenarkan AP WP memberi respons kepada usul yang dibentangkan mengikut pandangan peribadi dan tidak perlu mengikut tuntutan parti.
Pun begitu, kesemua 11 AP WP yang hadir di Dewan menyatakan ketidaksetujuan mereka terhadap usul yang dibentangkan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg