Kes ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, yang didapati mahkamah bersalah berbohong di Parlimen mempunyai kesan ke atas pemimpin parti yang lain, Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal Manap kata Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah.
Justeru, perkara tersebut akan dibincangkan di sidang Parlimen pada Januari 2026, tambah beliau, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Disember.
Cik Indranee telah merujuk kepada kes tiga anggota parti pembangkang itu yang telah dihadapkan ke Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) berhubung isu bekas anggota parti mereka, Cik Raeesah Khan, yang berbohong di Parlimen.
Ketiga-tiga Encik Pritam, Cik Lim dan Encik Faisal telah mempertikaikan dapatan Laporan COP pada 10 Februari 2022 berhubung penglibatan mereka dalam kes pembohongan Cik Raeesah kepada Parlimen itu.
Oleh sebab itu, Parlimen telah menangguhkan untuk membuat keputusan pada ketika itu, kata Cik Indranee.
Namun, buat masa ini, kes mahkamah Encik Pritam sudah selesai, di mana beliau didapati bersalah kerana berbohong, kata Cik Indraneeh, dan hal tersebut akan dibincangkan apabila Parlimen bersidang pada Januari.
“Dapatan COP itu telah disokong oleh penghakiman mahkamah,” kata Cik Indranee.
Beliau berkata COP berpendapat bahawa jika Encik Pritam, Cik Lim dan Encik Faisal telah membimbing Cik Raeesah untuk mengulangi pembohongannya di Parlimen, maka tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan seorang Anggota Parlimen dan akan dianggap sebagai penghinaan terhadap Parlimen.
Bagaimanapun, oleh sebab ketiga-ketiga AP WP itu mempertikaikan dapatan laporan COP tersebut, Parlimen pada masa itu telah menangguhkan untuk membuat keputusan mengenai perkara itu sehingga selepas keputusan kes Encik Pritam, tambah beliau.
Cik Lim ialah pengerusi WP, sementara Encik Faisal naib pengerusi parti tersebut.
Sebelum ini, Cik Indranee pada 17 Disember telah menyatakan bahawa tindakan dan sabitan Encik Pritam kerana berbohong kepada jawatankuasa Parlimen akan dibincangkan apabila Parlimen bersidang pada Januari.
Dalam kenyataannya pada 22 Disember, Cik Indranee mengulangi beberapa dapatan laporan COP pada 2022 itu.
Pertama, ia mendapati bahawa Encik Pritam telah berbohong kepada jawatankuasa tersebut.
Ini telah dirujuk kepada pihak pendakwa, dan sejak itu, Encik Pritam telah disabitkan kesalahan berbohong kepada COP.
Ini berlaku semasa Encik Pritam di bawah sumpah, dengan Cik Indranee dalam kenyataannya yang dikeluarkan pada 17 Disember telah berkata bahawa berbohong di bawah sumpah adalah perkara yang serius.
Kedua, keengganan Encik Faisal untuk menjawab pertanyaan COP juga dirujuk kepada pihak pendakwa atas kemungkinan menghina Parlimen.
Menyusuli siasatan, pihak polis telah mengeluarkan nasihat kepada Encik Faisal agar beliau “membiasakan diri dengan tata kelola yang dijangkakan bagi Anggota Parlimen”.
Ketiga, COP turut mendapati bahawa kedua-dua Cik Lim dan Encik Faisal telah berbohong di bawah sumpah.
Ini apabila mereka menafikan bahawa, pada mesyuarat Ogos 2021 yang mereka hadiri, Cik Raeesah diberitahu untuk menyembunyikan ketidakbenarannya, iaitu untuk membawanya ke kubur.
“Kes Encik Pritam kini sudah selesai, dan beliau didapati bersalah kerana berbohong di bawah sumpah.
“Oleh itu, keputusan mahkamah mempunyai kesan terhadap kedua-dua Cik Lim dan Encik Faisal.
“Perkara ini akan dibangkitkan untuk perbincangan pada sidang Parlimen akan datang pada Januari 2026,” kata Cik Indranee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg