Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, dan Mediacorp telah diberi surat amaran pada 19 Disember oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) kerana menghina mahkamah.
Ini susulan temu bual Encik Pritam, yang juga merupakan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), dalam satu program terbitan CNA, The Assembly.
Mediacorp ialah syarikat induk CNA.
Dalam temu bual itu, AGC berkata Encik Pritam telah membuat kenyataan mengenai kes mahkamah yang mana Encik Pritam didapati bersalah pada Februari.
Temu bual itu dirakam pada Julai, selepas Encik Pritam merayu terhadap sabitannya, kata AGC.
Sebelum ini, Encik Pritam dan Mediacorp telah mengeluarkan permohonan maaf secara berasingan pada 13 Disember.
Organisasi media itu turut memadamkan episod itu selepas diberitahu oleh AGC bahawa ia menghina mahkamah.
AGC, dalam kenyataannya pada 19 Disember, berkata:
“Setelah mempertimbangkan semua keadaan kes tersebut, termasuk permohonan maaf, Peguam Negara telah memutuskan untuk memberi amaran kepada Encik Pritam dan Mediacorp.
“Penghinaan terhadap mahkamah menghalang pentadbiran keadilan yang betul di Singapura. Jika dibiarkan, tindakan sedemikian boleh menghakis rasa hormat terhadap institusi kehakiman kita dan keputusan mereka.”
Menurut laman web AGC, penghinaan mahkamah boleh dibahagikan kepada dua kategori luas – penghinaan melalui campur tangan dan penghinaan melalui ketidakpatuhan.
Penghinaan melalui campur tangan merangkumi pelbagai tindakan, termasuk tindakan yang berisiko memudaratkan atau mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berjalan, yang juga dikenali sebagai penghinaan subjudis.
Ia juga termasuk tindakan yang menggugat integriti atau kesaksamaan mana-mana mahkamah dan menimbulkan risiko keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan akan terjejas.
Dalam program CNA itu, Encik Pritam ditanya tentang kes mahkamahnya, yang mana beliau didapati bersalah atas dua tuduhan sengaja memberikan jawapan palsu kepada jawatankuasa Parlimen.
Jawatankuasa Parlimen itu telah dibentuk selepas Anggota Parlimen (AP) WP ketika itu, Cik Raeesah Khan, mengaku telah memberikan anekdot palsu di Parlimen.
Beliau kemudiannya meletak jawatan sebagai AP.
Berkaitan dengan kes mahkamahnya, Encik Pritam telah berkata dalam program itu bahawa beliau percaya pandangan pihak awam boleh menjadi lebih berkuasa berbanding sebarang mahkamah lain di dunia.
Beliau juga berkata prestasi partinya yang baik pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang diadakan pada Mei mencerminkan pandangan orang awam tentang peranannya dalam saga tersebut.
Encik Pritam juga telah berkata seteru politiknya akan “melakukan apa saja untuk merendahkan rasa hormat terhadap beliau dan partinya di mata awam”.
Temu bual itu disiarkan di CNA pada 5 November, sehari selepas rayuan terhadap sabitan Encik Pritam didengar, dengan keputusan mahkamah diumumkan pada tarikh lain.
Sebelum dipadamkan, episod itu boleh diakses di wadah seperti YouTube dan MeWatch, kata AGC.
Encik Pritam telah membuat hantaran di Facebooknya pada 6 dan 8 November tentang temu bual itu, dan rayuan beliau kemudiannya ditolak oleh mahkamah pada 4 Disember.
AGC berkata ia telah menulis surat kepada Encik Pritam dan Mediacorp pada 28 November bahawa Peguam Negara berpendapat bahawa kenyataan Encik Pritam dan penerbitan temu bual itu adalah penghinaan terhadap mahkamah.
Dalam catatan Facebook pada 13 Disember, Encik Pritam berkata:
“Saya menerima bahawa kenyataan saya boleh ditafsirkan sebagai menghina mahkamah, termasuk menggugat integriti, kewajaran atau kesaksamaan mahkamah.
“Dengan itu, saya memohon maaf sepenuhnya kepada mahkamah dan akan mengelak daripada membuat komen yang sama atau serupa pada masa hadapan.”
Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah berkata pada 17 Disember berkata bahawa Parlimen akan membincangkan “respons yang sewajarnya” terhadap sabitan Encik Pritam apabila Parlimen bersidang pada Januari.
Beliau berkata dalam satu kenyataan pada hari itu bahawa apa sahaja tindakan yang diambil oleh WP sendiri, adalah wajar bagi Parlimen untuk mengambil perhatian terhadap tindakan dan sabitan Encik Pritam kerana telah berbohong di bawah sumpah.
Beliau menambah bahawa berbohong di bawah sumpah adalah perkara yang serius.
Pada hari yang sama, WP menulis satu hantaran di Facebook bahawa parti itu telah memulakan “proses dalamannya” berdasarkan penghakiman 4 Disember.
Ia menambah bahawa ia akan memberikan maklumat lanjut mengenai perkara itu pada masa yang sesuai.
“
“Penghinaan terhadap mahkamah menghalang pentadbiran keadilan yang betul di Singapura. Jika dibiarkan, tindakan sedemikian boleh menghakis rasa hormat terhadap institusi kehakiman kita dan keputusan mereka.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg