Parlimen mesti mempertimbangkan “tindak balas yang wajar” terhadap tindakan dan sabitan Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, kerana berbohong kepada Jawatankuasa Parlimen.
Hal tersebut akan dibentangkan untuk perbincangan apabila Parlimen bersidang pada Januari, kata Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah.
Dalam satu kenyataan pada 17 Disember, Cik Indranee berkata apa jua haluan yang mungkin diambil oleh WP sendiri, adalah perlu bagi Parlimen untuk mengambil perhatian terhadap tindakan dan sabitan Encik Pritam, serta membincangkan tindak balas yang sewajarnya.
Cik Indranee menambah bahawa penemuan mahkamah dan sabitan Encik Pritam adalah peringatan serius kepada semua Anggota Parlimen (AP) bahawa mereka mempunyai amanah untuk menegakkan undang-undang dan mengekalkan kejujuran dan kewibawaan dalam kelakuan mereka.
“Kita tidak boleh bercakap tentang memiliki Parlimen Dunia Pertama atau menyediakan sistem semak dan imbang yang kukuh melainkan semua AP daripada kededua belah pihak menegakkan standard kelakuan yang tinggi,” kata Cik Indranee, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara).
Kenyataan ini dibuat selepas rayuan Encik Pritam terhadap sabitannya kerana berbohong kepada jawatankuasa Parlimen ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Disember.
Cik Indranee menekankan bahawa berbohong di bawah sumpah adalah perkara yang serius.
Di beberapa negara, pemimpin yang telah berbohong, menipu atau secara terang-terangan melanggar undang-undang masih boleh terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang atau politik.
Namun, standard sedemikian tidak boleh diterima di Singapura, tegas beliau.
Menyifatkan fakta dalam kes Encik Pritam sebagai “membimbangkan”, Cik Indranee berkata WP mempunyai proses tersendiri untuk menangani anggota yang tidak jujur.
Beliau merujuk kepada dua kes bekas AP WP yang meletak jawatan sebelum ini.
Dalam kes Cik Raeesah Khan, bekas AP GRC Sengkang, beliau telah melalui Panel Disiplin sebelum diminta meletak jawatan susulan keputusan “undi secara majoriti” oleh kepimpinan WP.
Encik Pritam berkata bahawa Cik Raeesah akan dipecat daripada WP sekiranya beliau tidak meletak jawatan.
Bekas AP GRC Aljunied, Encik Leon Perera, pula telah meletak jawatan daripada WP menyusuli kes hubungan sulit dengan rakan pemimpin WP.
Dalam pada itu, Cik Indranee berkongsi bahawa Encik Pritam telah menyatakan berikut:
“Perlembagaan WP memerlukan calon bersikap jujur dan berterus terang dalam urusan mereka dengan parti dan rakyat Singapura… Tingkah laku Leon dan ketidakjujurannya apabila ditanya oleh kepimpinan parti tentang dakwaannya tidak memenuhi standard yang diharapkan daripada AP WP.
“Ini tidak boleh diterima. Sekiranya beliau tidak menawarkan peletakan jawatannya, saya akan mengesyorkan kepada CEC (jawatankuasa eksekutif pusat) supaya beliau dipecat daripada parti.”
Cik Indranee menambah Cik Raeesah dan Encik Perera adalah AP biasa tanpa jawatan (backbencher) manakala Encik Pritam pula ialah Setiausaha Agung WP dan Ketua Pembangkang.
WP telah menyatakan bahawa ia akan mengkaji keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes Encik Pritam.
“Terpulang kepada WP untuk membuat keputusan mengenai tindakan yang ingin diambil berdasarkan keputusan mahkamah (bahawa beliau telah berbohong di bawah sumpah), serta penerimaan penuh Encik Pritam terhadap keputusan tersebut tanpa sebarang keraguan,” kata Cik Indranee.
“Tidak kira apa jua tindakan yang akan diambil oleh WP, adalah perlu bagi Parlimen untuk mengambil perhatian terhadap tindakan dan sabitan Encik Pritam, serta membincangkan tindak balas yang wajar.
“Perkara ini justeru akan dibentangkan untuk perbincangan di sidang Parlimen pada Januari 2026,” tambah beliau.
Dalam satu kirman Facebook pada 17 Disember, WP mengesahkan bahawa parti itu telah memulakan proses dalaman susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 4 Disember. Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan kelak, kata WP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg