Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indranee: Masyarakat perlu ubah minda tentang perkahwinan dan keibubapaan

Penting wujudkan masyarakat yang lebih menyokong keluarga, punya nilai empati
Apr 7, 2025 | 5:30 AM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah (dua dari kanan), menerajui perbincangan tentang keluarga di Singapura bersama anggota panel. Mereka terdiri daripada dua pasangan suami isteri, (barisan pertama, dari kiri), Sharifah Fashiha Syed Ali dan Encik Muhammad Aizuddin Maulud; serta (barisan kedua, dari kiri) Cik Mas Erdawisha Muhand Sari dan Encik Muhammad Akmal Syahid Abdul Rahim, bersama hos dan penerbit podcast, Cik Natasha Mustafa.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah (dua dari kanan), menerajui perbincangan tentang keluarga di Singapura bersama anggota panel. Mereka terdiri daripada dua pasangan suami isteri, (barisan pertama, dari kiri), Sharifah Fashiha Syed Ali dan Encik Muhammad Aizuddin Maulud; serta (barisan kedua, dari kiri) Cik Mas Erdawisha Muhand Sari dan Encik Muhammad Akmal Syahid Abdul Rahim, bersama hos dan penerbit podcast, Cik Natasha Mustafa. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Walaupun penggubalan dasar dan sokongan kewangan dapat meringankan beban membesarkan anak, apa yang Singapura benar-benar perlukan kini adalah usaha untuk kembali meningkatkan kadar kelahiran yang kian susut.

Ini boleh dilakukan dengan mengubah minda iaitu cara masyarakat melihat isu perkahwinan dan keibubapaan.

Demikian dinyatakan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.

Menurutnya, selain pemberian Bonus Bayi, Cuti Bersalin dan Skim Keluarga Besar, anjakan minda menjadi kunci utama yang dapat memberi kesan lebih besar dalam usaha meningkatkan Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Singapura.

“Pada zaman dulu ibu bapa kita, perkahwinan dan ada anak-anak dianggap sebagai tanda kematangan hidup.

“Namun, bagi golongan milenial dan Gen Z, ia dilihat sebagai pencapaian terakhir (capstone) dalam kehidupan dan hanya dipertimbangkan setelah mencapai matlamat lain dalam hidup mereka.

“Dan kadangkala apabila mereka menunda mendapatkan anak, mereka berdepan dengan isu kesuburan tatkala mereka sudah lanjut usia,” tambah Cik Indranee.

Demikian dikongsi oleh Cik Indranee dalam satu episod NoTapis, siri podcast Berita Harian.

Cik Indranee membincangkan lebih lanjut tentang usaha yang disediakan pemerintah untuk menyokong keluarga di Singapura, khususnya keluarga besar yang mempunyai tiga anak atau lebih.

Antara sokongan yang ditawarkan dalam Belanjawan 2025 termasuk menerima $1,000 setahun bagi keluarga dengan tiga anak atau lebih dalam bentuk Kredit LifeSG Keluarga Besar (LFLC) serta penambahan kepada Akaun Pembangunaan Anak (CDA) untuk membantu menampung kos mempunyai keluarga besar.

Melalui sokongan tambahan dan skim baru itu, Cik indranee berkata ia bertujuan memberi keyakinan kepada keluarga di sini bahawa mereka tidak berseorangan.

Malah ia merupakan isyarat bahawa Singapura menyokong keluarga-keluarga itu.

Turut bersama dalam podcast tersebut adalah dua pasangan suami isteri, Sharifah Fashiha Syed Ali dan Encik Muhammad Aizuddin Maulud yang mempunyai lapan orang anak, serta Cik Mas Erdawisha Muhand Sari dan Encik Muhammad Akmal Syahid Abdul Rahim, yang sedang menjalani rawatan kesuburan.

Tetamu podcast itu menyuarakan beberapa isu yang mereka alami sebagai keluarga besar serta pasangan yang sedang mengalami masalah kesuburan.

Encik Aizzudin, yang kini merupakan seorang ejen hartanah, pernah bertugas dalam syarikat privet dan mempunyai kekurangan Cuti Penjagaan Anak.

Encik Muhammad Aizuddin Maulud memberitahu bahawa beliau terpaksa menukar kerjaya dan menjadi ejen hartanah bagi membolehkannya meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
Encik Muhammad Aizuddin Maulud memberitahu bahawa beliau terpaksa menukar kerjaya dan menjadi ejen hartanah bagi membolehkannya meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. - Foto BH

“Sebagai seorang bapa yang mempunyai ramai anak, saya berterima kasih atas sokongan kewangan yang diberikan pemerintah.

“Namun, saya rasa terdapat lebih banyak yang dapat dilakukan seperti memberi cuti lebih panjang untuk kami menguruskan anak-anak,” katanya yang mempunyai anak-anak berusia antara dua tahun dengan 13 tahun.

Bagi Cik Erdawisha dan Encik Akmal, pasangan suami isteri yang sudah lima tahun mencuba menimang cahaya mata, rawatan kesuburan bukan hanya mencabar secara emosi dan kewangan, malah turut menghambat kemajuan kerjaya.

Pasangan suami isteri, Encik Muhammad Akmal Syahid Abdul Rahim dan Cik Mas Erdawisha Muhand Sari, yang sudah lima tahun mencuba menimang cahaya mata menyifatkan rawatan kesuburan bukan hanya menjejas emosi dan kewangan, malah turut menghambat kemajuan kerjaya.
Pasangan suami isteri, Encik Muhammad Akmal Syahid Abdul Rahim dan Cik Mas Erdawisha Muhand Sari, yang sudah lima tahun mencuba menimang cahaya mata menyifatkan rawatan kesuburan bukan hanya menjejas emosi dan kewangan, malah turut menghambat kemajuan kerjaya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ini menyebabkan Encik Akmal membuat keputusan menukar kerjaya daripada kakitangan keselamatan kepada penasihat kewangan.

“Dulu saya mempunyai pekerjaan sepenuh masa, tapi sukar nak ambil cuti untuk temankan isteri.

“Saya tidak tahu ketika itu ia akan mengambil banyak cuti saya dan ia telah menjejas kemajuan saya di tempat kerja.

“Jadi saya tukar dengan bekerja sendiri, supaya boleh hadir semasa rawatan.

“Ini pengorbanan yang saya rasa harus saya lakukan untuk keluarga saya,” tambahnya.

Dalam perbincangan bersama kedua-dua pasangan itu, Cik Indranee mengakui bahawa dasar seperti Bonus Bayi, Cuti Bersalin dan Skim Keluarga Besar adalah penting.

Namun, dalam masa yang sama, perubahan dalam masyarakat perlu ada iaitu dengan bersikap lebih terbuka dan memupuk nilai empati.

“Ada majikan yang walaupun (mereka) tidak menghalang, tapi ada (tindakan) yang berkerut dahi sahaja pun sudah cukup untuk membuat pekerja rasa bersalah.

“Perubahan sikap kecil sebeginilah yang penting untuk mewujudkan masyarakat yang lebih menyokong keluarga,” tambahnya.

Walaupun Singapura kini bergelut dengan cabaran demografi, pemerintah berharap usaha untuk menjadikan masyarakat lebih mesra keluarga akan memberi kesan yang diharapkan, kata Cik Indranee.

Namun, ia bukan sesuatu yang boleh dipaksa.

“Memang kita tidak boleh memaksa pasangan atau keluarga itu mempunyai lebih anak.

“Ini adalah pilihan peribadi.

“Tetapi bagi mereka yang sedang mempertimbangkan untuk membina keluarga, kami berharap langkah-langkah ini memberi keyakinan dan ketenangan untuk anda memulakan (langkah) dan menambah anggota keluarga anda,” ujarnya.

Watch on YouTube
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg