Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Indranee: Pemerintah akan terus sokong keluarga di setiap peringkat kehidupan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Indranee: Pemerintah akan terus sokong keluarga di setiap peringkat kehidupan

Feb 28, 2024 | 07:26 PM



Pemerintah akan terus menyokong rakyat Singapura dalam perjalanan mereka memulakan dan membesarkan keluarga dengan menyediakan “persekitaran yang kondusif” untuk pasangan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah pada 28 Februari di Parlimen.

Ini termasuk menangani keperluan dan kebimbangan keluarga muda terhadap isu perumahan dan prasekolah, mengukuhkan sokongan untuk ibu bapa dan bayi, serta meneroka cara untuk membantu ibu bapa mengurus komitmen kerja dan keluarga dengan lebih baik.

Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) PMO, Cik Indranee berkata golongan muda di sini masih mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga dan melangkah ke alam keibubapaan. 

Namun begitu, mereka mungkin tidak merancang secara proaktif ke arah matlamat tersebut, tambah beliau. 

“Sebagai sebuah pemerintah, kami menghormati keputusan peribadi rakyat Singapura mengenai perkahwinan dan keibubapaan. Tetapi tidak dinafikan untuk membina keluarga kian menjadi semakin mencabar apabila usia semakin meningkat,” katanya.

Menyentuh tentang kebimbangan kos yang diperlukan untuk membesarkan anak-anak, Cik Indranee memberi contoh bagaimana Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan mengurangkan had yuran penjagaan kanak-kanak di prasekolah pengendali utama dan rakan kongsi sebanyak $40 pada 2025, dan akan dikurangkan lagi pada 2026.

MSF akan berkongsi maklumat lanjut semasa COS kementerian itu. 

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan beberapa langkah yang diumumkan semasa Belanjawan 2023. Antaranya rancangan untuk meningkatkan cuti paterniti yang dibayar pemerintah kepada empat minggu.

Memberi respons terhadap soalan yang dikemukakan Encik Louis Ng (GRC Nee Soon), Cik Indranee berkata bahawa pemerintah sedang berusaha untuk memberi mandat tambahan dua minggu cuti paterniti itu “secepat mungkin, untuk memberi manfaat kepada lebih ramai bapa”.

Beliau juga berkongsi bahawa pemerintah sedang giat meneroka cara meningkatkan cuti ibu bapa dengan bergaji.

“Kami sedar bahawa ini memerlukan pelarasan tempat kerja, dan majikan mungkin menghadapi cabaran dalam membuat pengaturan untuk menampung ketidakhadiran pekerja yang berpanjangan,” katanya.

Oleh itu, Cik Indranee berkata pemerintah akan melibatkan rakan kongsi tiga pihak secara rapat dalam penambahbaikan selanjutnya, dan mempercepatkan sebarang perubahan yang dicadangkan.

Selain peruntukan cuti, pemerintah juga sedang meneroka “cara mampan” lain untuk membantu ibu bapa mengurus komitmen kerja serta keluarga dengan lebih baik. Ini termasuk pengaturan kerja fleksibel (FWAs), kata Cik Indranee.

Beliau menambah bahawa terdapat keperluan untuk mengukuhkan fleksibiliti tempat kerja dengan cara yang memenuhi keperluan kedua-dua pekerja dan majikan.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak untuk membangunkan Garis Panduan Tiga Pihak baru mengenai permintaan FWAs. Butiran lanjut akan dikongsi semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MOM.

Menyedari akan keprihatinan beberapa syarikat, termasuk syarikat kecil dan sederhana (SME), Cik Indranee berkata pemerintah akan mempertimbangkan cara untuk membantu semua majikan melaksanakan pengaturan ini dengan baik dan mengurus pasukan mereka secara produktif.

Sejajar dengan langkah-langkah ini, pihak majikan turut digalakkan untuk mewujudkan tempat kerja mesra keluarga dan melaksanakan amalan dan ciri mesra keluarga seperti bilik penyusuan.

Ciri dan kemudahan tersebut juga boleh disediakan di dalam bangunan di sini. 

Pemilik bangunan digalakkan untuk, secara sukarela, menyediakan ciri mesra keluarga sedemikian, dan premis yang tidak mempunyai banyak ruang untuk kemudahan penyusuan berasingan boleh mempertimbangkan pod penyusuan yang tersedia secara komersial.

Cik Indranee menegaskan bahawa membina budaya tempat kerja yang mesra keluarga memerlukan usaha seluruh masyarakat.

“Kita semua perlu memainkan peranan, sama ada sebagai ibu bapa, majikan atau rakan sekerja. 

“Kami mahu ibu bapa dapat memanfaatkan fleksibiliti tempat kerja tanpa rasa takut terhadap stigma.

“Setiap tindakan kecil adalah penting… Bersama-sama, kita boleh menjadikan Singapura tempat yang bagus untuk semua bekerja dan tinggal, untuk generasi akan datang,” tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >