Pemerintah tidak akan mempercepatkan tarikh pelaksanaan skim cuti yang dikongsi ibu bapa baru, yang bermula 1 April 2025.
Tarikh 2025 itu bertujuan mencapai keseimbangan antara memberi majikan masa yang cukup untuk membuat perubahan yang diperlukan dalam “pasaran tenaga kerja yang ketat” dan membenarkan ibu bapa meraih manfaat daripada skim itu secepat mungkin, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, pada 10 September.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee) dan Encik Desmond Choo (GRC Tampines) mengenai skim baru itu.
Cik Soh bertanya mengapa skim itu bermula pada 1 April 2025, dan sama ada pemerintah dapat mempertimbangkan membawa tarikh pelaksanaan ke hadapan.
Semasa Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa ibu bapa akan mendapat lagi 10 minggu cuti yang dikongsi, di samping kelayakan cuti semasa mereka.
Dua minggu tambahan cuti paterniti sukarela akan juga diwajibkan bermula 1 April 2025. Ini menjadikan jumlah cuti paterniti selama empat minggu.
Perubahan baru itu menjadikan jumlah keseluruhan cuti ibu bapa yang dibayar pemerintah kepada 30 minggu, kerana ibu pada masa ini mendapat 16 minggu cuti bersalin.
Bagi memberi majikan masa menyesuaikan diri, perubahan pada skim cuti yang dikongsi ibu bapa akan dibuat dalam dua fasa, bermula dengan enam minggu cuti bersama mulai 1 April 2025, kemudian 10 minggu penuh mulai 1 April 2026.
Cik Indranee menjelaskan bahawa tarikh pelaksanaan ditetapkan setelah berunding secara meluas dengan rakan kongsi tiga pihak.
Beliau berkata pemerintah telah mempertimbangkan untuk melaksanakan skim baru itu lebih awal supaya lebih ramai ibu bapa boleh mendapat manfaat, tetapi majikan telah meminta masa lebih lama untuk membuat persediaan bagi perubahan itu.
Ini termasuk mengemas kini proses pentadbiran dan melaksanakan langkah untuk menguruskan ketidakhadiran pekerja yang berpanjangan.
Beliau menambah bahawa skim cuti dikongsi baru itu memerlukan penyelarasan antara kededua ibu bapa dengan majikan masing-masing.
Pemerintah juga memerlukan masa untuk melaksanakan pelbagai perubahan perundangan dan operasi, katanya.
Cik Indranee berkata pemerintah akan menganjurkan webinar bagi majikan memahami butiran mengoperasikan skim baru itu, dan memberi lebih maklumat mengenai geran dan sumber sedia ada yang mereka boleh manfaatkan bagi memperkukuh keupayaan mereka merancang tenaga kerja.
Beliau berkata: “Kajian kami menunjukkan penggunaan cuti ibu bapa selalunya bergantung kepada sokongan di tempat kerja. Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak untuk membentuk norma dan budaya di tempat kerja, termasuk mewujudkan norma bapa yang mengambil cuti untuk menjaga dan menjalin hubungan dengan bayi mereka.”
Encik Choo bertanya Cik Indranee bagaimana pemerintah dapat membimbing majikan menyokong kakitangan mereka dengan lebih baik, terutama pekerja lebih berusia, yang perlu menanggung beban kerja tambahan untuk menampung tugas mereka yang mengambil cuti ibu bapa.
Cik Indranee menegaskan bahawa pemerintah membayar untuk cuti yang dikongsi ibu bapa, yang bermaksud syarikat boleh menjimatkan gaji kakitangan yang mengambil cuti tersebut.
Dengan wang yang disimpan, mereka boleh mengambil pekerja lain untuk memikul tugas kakitangan yang bercuti.
Memanfaatkan automasi untuk meringankan beban kerja dan geran penyelesaian produktiviti adalah satu lagi pilihan, katanya.
Penyelesaian lain adalah membayar lebih kepada kakitangan yang menanggung beban kerja rakan sekerja mereka semasa ketiadaan mereka, tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg