Fasa seterusnya semakan perkahwinan dan keibubapaan di Singapura akan turut mengemukakan saranan untuk menambah baik keseimbangan kerja dan kehidupan serta mengurangkan tekanan pendidikan.

Demikian kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, pada 23 Oktober.

Semakan itu juga akan meneliti cara memupuk norma dan amalan tempat kerja yang lebih progresif serta memastikan kesuburan dan kesihatan ibu, katanya pada satu acara Yayasan DBS di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.

Cik Indranee, yang mempengerusikan Kumpulan Kerja Penetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan, turut menyorot usaha menyokong keluarga yang mempunyai keperluan lebih besar.

Beliau memetik kerjasama Yayasan DBS dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) melalui ComLink+ untuk membantu keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak, mengukuhkan daya tahan sosial dan kewangan mereka.

Yayasan itu turut bekerjasama dengan KidSTART Singapura dalam program yang merangkumi pemakanan ibu, kesejahteraan mental dan kecelikan kewangan.

“Sokongan sebegini bukan sahaja membantu keluarga melalui tempoh sukar.

“Ia sebenarnya mengukuhkan asas mereka, membina daya tahan dan mewujudkan peluang yang lebih baik untuk anak-anak mereka,” katanya.

Kumpulan kerja itu diumumkan pada Februari, ketika kadar kelahiran Singapura semakin menurun.

Jumlah kadar kesuburan penduduk Singapura jatuh ke paras terendah dalam rekod, iaitu 0.87 pada 2025, berbanding 0.97 pada 2024.

Disokong oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD), kumpulan itu terdiri daripada sembilan pemegang jawatan politik daripada kementerian kesihatan, pendidikan dan tenaga manusia, serta pihak lain yang menyemak dasar dalam menyokong perkahwinan dan keibubapaan.

Pasukan itu meneliti kos membesarkan anak, sokongan pekerjaan dan kehidupan, penjagaan, perumahan, kesihatan serta pendidikan.

Laporan penuhnya dijangka siap pada awal 2027.

Set pertama saranan kumpulan kerja itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Rapat Hari Kebangsaan (NDR), bertujuan memberi keluarga lebih jaminan melalui lebih banyak bantuan kewangan, cuti penjagaan anak dan penjagaan kanak-kanak yang lebih murah.

Dalam ucapannya, Cik Indranee berkata orang ramai kini menghadapi dunia yang berubah pantas dan lebih tidak menentu, sementara mereka hidup lebih lama.

Mereka juga perlu mengimbangi pelbagai tanggungjawab dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Apabila mereka dewasa kelak, mereka akan bekerja dalam pekerjaan yang belum wujud, dan yang tidak dapat kita bayangkan sekarang,” katanya tentang kanak-kanak hari ini.

Cik Indranee menyentuh tiga asas untuk membina kehidupan yang lebih baik merentasi generasi dalam masyarakat sangat tua Singapura iaitu hubungan yang kukuh, kemampuan untuk belajar dan lingkungan penjagaan yang lebih luas.

“Institusi keluarga selalunya sumber sokongan pertama.

“Mereka memberi kestabilan, galakan dan penjagaan sepanjang suka duka hidup.

“Namun, institusi keluarga sendiri juga memerlukan persekitaran yang menyokong,” katanya.

Menurutnya, pemerintah, majikan dan perniagaan boleh mewujudkan lingkungan sokongan yang lebih luas untuk keluarga, melalui langkah seperti yang diumumkan semasa NDR pada Ogos.

Cik Indranee turut menyeru supaya diwujudkan ruang inklusif yang membantu individu menjalin hubungan, seperti hab masyarakat yang menyatukan pelbagai generasi.

“Dalam dunia yang pantas berubah, hubungan dan masyarakat menjadi lebih penting, bukan kurang penting.

“Teknologi mungkin mengubah cara kita bekerja dan berinteraksi, tetapi manusia akan terus memerlukan seseorang yang boleh mereka percayai dan harapkan,” katanya.

“

“Institusi keluarga selalunya sumber sokongan pertama. Mereka memberi kestabilan, galakan dan penjagaan sepanjang suka duka hidup. Namun, institusi keluarga sendiri juga memerlukan persekitaran yang menyokong.”
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.