Maklumat lanjut mengenai tarikh mula peluasan cuti penjagaan anak yang diumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) akan dikongsi pada awal 2027, umum Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah.

Ini memandangkan undang-undang perlu dipinda dan butiran pelaksanaan diperincikan bersama majikan dan kesatuan sekerja, kata Cik Indranee ketika menjawab soalan Parlimen pada 10 September.

Pemerintah juga sedang mengkaji cara membantu syarikat menggantikan pekerja yang bercuti.

Namun, penyelesaian jangka panjang ialah untuk menerima bahawa cuti penjagaan sebagai sebahagian dasar biasa sumber manusia dan menyesuaikan amalan tempat kerja, tambah beliau.

Cik Indranee menjawab empat soalan mengenai penambahan cuti yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Ogos.

Setiap ibu atau bapa bekerja akan mendapat sehingga 12 hari cuti penjagaan anak setahun, berbanding enam hari bagi anak berusia sehingga enam tahun, atau dua hari bagi anak berusia hingga 12 tahun sekarang.

Encik Wong juga berkata pemerintah akan membiayai sepenuhnya kos cuti berkaitan anak yang diwajibkan undang-undang sehingga had tertentu, berbanding perkongsian sama rata dengan majikan sekarang.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Andre Low, bertanya bagaimana pihak berkuasa akan membantu perniagaan melangkaui membayar balik kos cuti, sambil menyatakan penambahan cuti penjagaan anak itu akan memberi kesan lebih besar kepada syarikat kecil.

Cik Indranee berkata selain sokongan kewangan, perubahan pemikiran adalah penting dalam mencari penyelesaian dan pemerintah sedang berbincang dengan majikan.

“Isyarat kami kepada semua majikan ialah tempat kerja sudah berubah. Kita tidak boleh lagi bekerja seperti 10 atau 20 tahun lalu,” ujarnya.

Syarikat boleh menggunakan peruntukan tambahan pemerintah untuk mengambil kakitangan sementara atau mengiktiraf pekerja yang memikul tugas tambahan, katanya.

Syarikat juga harus merancang dengan mengambil kira kekurangan tenaga kerja pada bila-bila masa, bukan terkial-kial mencari pengganti apabila seseorang tidak dapat bekerja.

Budaya kerja yang lebih baik turut membantu golongan bujang dan pasangan tanpa anak mengimbangi tuntutan kerja dan tanggungjawab peribadi, termasuk keperluan penjagaan.

Beliau berkata Kumpulan Kerja Penetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan yang dipengerusikannya akan mengenal pasti halangan syarikat dalam memudahkan pekerja mengambil cuti dan merangka penyelesaian bersesuaian mengikut sektor dan firma.

Cadangan penuh akan dikongsi pada awal 2027.

Cik Poh Li San (Sembawang West) kemudian bertanya tentang sokongan bagi pekerja bukan ibu bapa yang mempunyai keperluan penjagaan.

Cik Indranee berkata kumpulannya sedang meneliti dasar berkaitan ibu bapa, manakala pemerintah mengkaji keperluan penjagaan secara menyeluruh, termasuk bagi warga emas.

“Ini kembali kepada usaha untuk mengubah tempat kerja dengan mengiktiraf bahawa pekerja adakalanya perlu meninggalkan tugas,” katanya, termasuk melalui reka bentuk semula pekerjaan, perkongsian kerja dan aturan kerja fleksibel (FWA).

FWA bukan sekadar bekerja daripada rumah, katanya, tetapi turut merangkumi waktu kerja fleksibel.

Sebagai contoh, pekerja yang membawa ibu bapa atau anak ke temu janji perubatan boleh menggantikan waktu kerja kemudiannya, semasa makan tengah hari atau di rumah, katanya.

Aturan sedemikian memerlukan perbincangan antara majikan dengan pekerja kerana setiap sektor berbeza.