Industri perkhidmatan persekitaran (ES) di Singapura merupakan penjaga kesihatan awam kerana ia memainkan peranan penting dalam mengekalkan persekitaran yang bersih dan selesa, kata Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran, Dr Koh Poh Koon.
Sekitaran bersih dan boleh didiami yang dinikmati oleh rakyat Singapura ialah hasil sumbangan industri itu yang telah berkembang baik sejak tahun-tahun awal kemerdekaan negara ini, menurut Dr Koh semasa majlis anugerah biasiswa Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA)-Industri di Bangunan Sekitaran di 40 Scotts Road pada 17 Mei.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Koh berkata:
“Persekitaran bersih dan selesa yang kita nikmati hari ini adalah hasil dedikasi dan kerja keras lebih 78,000 pekerja daripada 2,500 syarikat yang menjalankan perkhidmatan penting dalam Pembersihan, Pengurusan Sisa dan Pengurusan Perosak,” katanya.
Dr Koh turut menekankan bahawa industri ES merupakan pemain yang amat diperlukan dalam usaha memelihara kebersihan alam sekitar dan kesihatan awam negara.
“Kita telah mencapai banyak kemajuan dari zaman awal kemerdekaan Singapura, daripada penggunaan alat mudah seperti penyapu dan baldi pada 1960-an, kepada robot dan peralatan automatik, seperti robot META-SCRUB,” ujar Dr Koh.
Menurut beliau lagi, meskipun dengan cabaran ekonomi global, industri itu tetap berkembang kerana permintaan untuk khidmat persekitaran kekal tinggi.
Pada 2023, NEA telah melancarkan Perancangan Perubahan Industri (ITM) ES 2025 bagi mempercepatkan usaha mengukuhkan inovasi, produktiviti dan mewujudkan pekerjaan bermutu.
Semasa majlis itu, enam penerima biasiswa baru telah diberi pengiktirafan atas semangat dan visi mereka terhadap sektor ES.
Biasiswa NEA-Industri ini adalah ciri utama di bawah ITM ES 2025.
Ini merupakan tahun keempat anugerah biasiswa itu disampaikan.
Sebanyak 26 biasiswa sudah diberikan sejauh ini dengan lima pemegang biasiswa telah menyumbang secara aktif dalam industri tenaga kerja.
Antaranya ialah Cik Kellyn Ng, 18 tahun, pelajar Nitec Lanjutan dalam jurusan Kejuruteraan Mekatronik (bidang pelbagai disiplin yang membangunkan sistem kawalan komputer menggunakan kejuruteraan mekanikal, elektrik dan komputer) di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.
Didorong minat terhadap kemampanan sekitaran serta datuk dan neneknya, Cik Ng berhasrat memanfaatkan kejuruteraan mekatronik bagi memperbaiki keadaan di tempat kerja dalam bidang pembersihan menerusi teknologi inovatif.
Ini kerana latihan amalinya bersama Hong Ye Group Pte Ltd, yang khusus dalam perkhidmatan pembersihan.
“Saya mahu mewujudkan cara baru untuk membantu warga emas yang bekerja, menggunakan sensor dan robot untuk membuat kerja mereka kurang membebankan,” ujar anak sulung tiga adik beradik itu.
Selepas ITE, beliau ingin meneruskan pembelajaran ke politeknik dalam jurusan kejuruteraan ataupun perniagaan.
Seorang lagi pemegang biasiswa ialah Cik Cecilia Chan, 20 tahun, pelajar Diploma dalam jurusan Analitik dan Data Besar di Politeknik Temasek.
Cik Chan sedar bahawa ada lebih kepada industri perkhidmatan alam sekitar daripada apa yang biasanya dilihat oleh orang ramai.
Beliau berharap dapat mengaplikasikan pengetahuannya dalam analitik data untuk membantu robot pembersih berfungsi secara optimum, dan seterusnya memudahkan tugas para pekerja barisan hadapan.
Dr Koh menggalak kumpulan cendekiawan baru itu supaya memainkan peranan mereka dalam membentuk masa depan sektor tersebut.
Beliau melahirkan keyakinan akan keupayaan mereka untuk memberi sumbangan bermakna melalui inovasi dan kepimpinan.
“Anda adalah pemimpin masa depan industri ES dan anda akan memainkan peranan penting dalam perjalanan transformasi industri yang sedang berlangsung sekarang,” nasihat Dr Koh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg