Kadangkala, apa yang kita perlukan hanyalah istirahat yang menenangkan, jauh dari kesibukan bandar, untuk meluangkan masa bersama keluarga tersayang.
Sempena ulang tahun The Barracks Hotel yang kelima baru-baru ini, saya berpeluang menikmati penginapan media selama dua hari dan satu malam.
Apa yang menjadikan penginapan ini lebih istimewa adalah anak lelaki saya, berusia setahun turut serta.
Terletak di sudut terpencil Sentosa, suasananya aman dan damai, membuatkan kami rasa seolah-olah telah pergi jauh walaupun sebenarnya masih berada di Singapura.
Sebaik sahaja tiba di hotel, kami disambut dengan senyuman mesra oleh kakitangan, bersama tuala sejuk dan minuman selamat datang yang menyegarkan. Anak saya pula menerima anak patung beruang ‘teddy’ sebagai hadiah kecil yang cukup menceriakan suasana.
Minuman tersebut merupakan teh hitam istimewa jenama Pryce Tea, yang direka khas untuk hotel ini.
Ia bukan sahaja menyegarkan, malah memperkenalkan tetamu kepada pengalaman unik yang ditawarkan The Barracks Hotel — termasuk khidmat kemas waktu malam atau turndown service eksklusif yang menjadi antara sorotan utama penginapan ini.
Turndwn service yang diperkenalkan sempena ulang tahun kelima hotel ini merupakan kerjasama istimewa antara The Barracks Hotel bersama jenama kilang minyak wangi British, Miller Harris, dan pengeluar teh tempatan, Pryce Tea.
Diformulasikan dengan bahan botani bermutu tinggi, produk seperti sabun mandi dan losyen badan yang terdapat dalam bilik hotel menyerlahkan lagi konsep ketenangan dan kemewahan hotel.
Wangian yang digunakan bukan sahaja menyegarkan tubuh, malah melengkapkan pengalaman deria yang menyeluruh, seperti berada di spa peribadi.
Apabila ingin daftar masuk pula, saya diberikan pilihan antara dua bauan iaitu ‘Graceful Camellia’, aroma floral atau ‘Starlit Serenity’, campuran lavender dan beri juniper yang menenangkan.
Aroma itu akan disebarkan dalam bilik menerusi gantungan medalion seramik yang telah dihembus dengan bauan terpilih, menjadikan bilik sebagai ruang istirahat yang mendamaikan dan memanjakan deria.
Saya memilih aroma yang mengandungi lavender, dengan hasrat dapat mewujudkan suasana tenang dan nyaman menjelang waktu tidur.
Semasa sesi bersama media, pengasas Pryce Tea, Encik Lim Tian Peng, berkongsi bahawa projek ini bukan sekadar menghasilkan teh dan aroma semata-mata, malah bertujuan mencipta pengalaman yang membolehkan tetamu membawa pulang kenangan dan oleh-oleh dari hotel tersebut.
“Kebanyakan hotel hanya ada satu bauan sepanjang hari, tetapi di sini, tetamu boleh menentukan sendiri aroma yang mereka mahu alami pada waktu malam – menjadikan pengalaman mereka lebih peribadi dan istimewa,” kata beliau.
Encik Lim juga mendedahkan bahawa proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi kedua-dua bauan ini mengambil masa sekitar enam bulan.
Bilik kami, iaitu ‘Premier Room’, menampilkan estetika kolonial yang selesa dan moden.
Katil bersaiz ‘king’, tab mandi batu yang mewah, tandas automatik dan paip berjenama Axor menambah sentuhan eksklusif pada ruang bilik.
Saya juga telah meminta katil bayi di dalam bilik hotel itu.
Apa yang lagi menggembirakan adalah apabila mendapati bahawa pihak hotel telah menyediakan lebih daripada itu.
Mereka telah menyediakan sabun dan syampu bayi, tab mandi bayi dan juga tuala jubah mandi bayi.
Ini adalah antara sentuhan peribadi yang membuat saya dan si kecil rasa dihargai sebagai tetamu.
Ia juga satu petanda bahawa The Barracks Hotel mesra kanak-kanak.
Selain itu, ketika sarapan, pelayan turut membantu menyediakan kerusi tinggi dan memberi mainan kecil untuk menghiburkan anak saya, membolehkan saya menikmati sarapan dengan tenang.
Kolam renang hotel itu juga cukup tenang dan tidak sesak kerana terdapat dua kolam renang untuk tetamu berenang atau berehat sambil menghayati keindahan alam sekitar.
The Barracks Hotel turut menyediakan pelampung dan permainan air kecil untuk kanak-kanak. Ada juga ruangan rehat yang selesa di sekitar kolam – sesuai untuk membaca atau sekadar bersantai.
Satu lagi keistimewaan hotel tersebut adalah tetamu diberi akses kepada ruang makan dan minum yang dibuka 24 jam, lengkap dengan snek dan minuman percuma seperti biskut, kerepek kentang, kopi dan teh.
Dinamakan The Living Room, tetamu boleh ke ruang itu untuk sarapan dan kudapan petang.
Semua tetamu hotel boleh menikmati waktu minum petang di The Living Room dengan menu berlainan setiap hari. Bagi tetamu yang mempunyai diet makanan masing-masing, tetamu boleh maklumkan kakitangan hotel dan mereka boleh membuat persediaan khas.
Secara keseluruhan, pengalaman menginap di The Barracks Hotel adalah kenangan yang indah bersama si kecil, sesuatu yang saya tidak dapat lupakan.
Bagi saya, pengalaman ini bukan sahaja tentang kemewahan bilik atau keenakan teh. Malah, saya gembira melihat si kecil tersenyum, dan merasai betapa sebuah hotel boleh begitu menghargai detik-detik istimewa bersama keluarga.
The Barracks Hotel membuktikan bahawa kemewahan yang sebenar ialah layanan yang menyentuh hati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg