Pemerintah akan memperkenalkan rebat cukai pendapatan korporat sebanyak 50 peratus dan memberi lebih banyak sokongan gaji bagi membantu syarikat menangani kos sewa dan tenaga kerja yang lebih tinggi.
Demikian dinyatakan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 18 Februari.
Menurut Encik Wong, rebat cukai itu akan diberikan bagi Tahun Penilaian 2025 dan membantu syarikat dengan keperluan aliran tunai sedang mereka terus membuat penyesuaian apabila kos meningkat.
Sedang inflasi, yang merujuk kepada kadar perubahan harga, telah berkurangan selepas ia naik mendadak pada 2022, harga kekal pada paras tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sementara itu, gaji juga telah meningkat.
“Harga yang lebih tinggi juga menjejas perniagaan kita, banyak yang bergelut dengan kos sewa dan tenaga kerja yang lebih tinggi,” kata Encik Wong.
Memandangkan cukai korporat hanya boleh dimanfaatkan oleh syarikat yang mencatat keuntungan, dan segelintir syarikat mungkin tidak dapat meraih manfaat daripada rebat cukai itu, Encik Wong berkata pemerintah akan memberi setiap syarikat aktif yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tempatan pada 2024 faedah minimum sebanyak $2,000.
Jumlah faedah daripada rebat dan geran tunai yang setiap syarikat boleh dapatkan akan dihadkan kepada $40,000, tambahnya.
Syarikat yang layak akan menerima faedah itu secara automatik mulai suku kedua tahun kalendar 2025.
Walaupun menghadapi tekanan kos lebih tinggi, Encik Wong berkata beliau berbesar hati melihat banyak perniagaan kekal komited untuk menaikkan gaji pekerja bergaji rendah.
Beliau berkata pemerintah akan terus berkongsi tanggungjawab itu dengan majikan.
Justeru, dengan mengambil kira maklum balas daripada majikan, Encik Wong menambah, pemerintah akan mempertingkatkan Skim Kredit Gaji Progresif.
Ini akan dilakukan dengan menaikkan tahap pembiayaan bersama pemerintah bagi kenaikan gaji daripada 30 peratus pada 2025 kepada 40 peratus, dan daripada 15 peratus pada 2026 kepada 20 peratus.
Skim itu, yang diperkenalkan pada 2022, bertujuan membantu majikan membuat penyesuaian kepada kenaikan gaji progresif dari 2022 hingga 2026, serta menggalakkan majikan menaikkan gaji pekerja bergaji rendah.
“Langkah yang telah kami ambil dalam beberapa tahun kebelakangan, dan yang akan diambil dalam Belanjawan ini, akan membantu mengurangkan kesan kos yang meningkat,” kata Encik Wong.
“Dalam jangka lebih panjang, cara terbaik untuk membuat penyesuaian kepada harga yang lebih tinggi ialah untuk mengembangkan ekonomi dan meningkatkan produktiviti, supaya semua warga Singapura dapat menikmati pendapatan sebenar yang lebih tinggi dan taraf hidup lebih baik,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Encik Wong turut mengumumkan bahawa hingga $150 juta akan diperuntukkan kepada Inisiatif Pengkomputeran Perusahaan bagi membolehkan perusahaan yang layak bekerjasama dengan penyedia khidmat awan besar dan mengakses alatan kecerdasan buatan (AI) serta kuasa pengkomputeran.
Melalui kerjasama itu, perusahaan juga akan dapat mengakses perkhidmatan perundingan.
Encik Wong berkata inisiatif itu akan membantu perusahaan “memanfaatkan AI dengan lebih berkesan dalam perjalanan transformasi mereka”.
“Melangkaui peringkat tertentu, perusahaan akan memerlukan huraian AI yang disesuaikan dengan keperluan mereka dan disepadukan ke dalam proses dan sistem perniagaan mereka,” katanya.
Mengulas tentang inisiatif tersebut, naib presiden Asean syarikat keterhubungan awan Cloudflare, Encik Kenneth Lai, berkata daya usaha itu diperkenalkan pada masa yang genting dan menawarkan sokongan berharga kepada syarikat sedang mereka memulakan perjalanan transformasi untuk menyepadukan dan meluaskan penggunaan AI merentas pertubuhan mereka.
“Ini akan membantu mengurangkan halangan kemasukan bagi perniagaan untuk menerima pakai AI, mempercepatkan manfaat produktiviti daripada inovasi yang baru muncul ini,” katanya. – Laporan tambahan KHAIRUL AKMAL ALI
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg