Harga barangan pengguna di Singapura kekal stabil pada November, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada 23 Disember.
Ini disebabkan oleh inflasi perkhidmatan lebih tinggi diimbangi oleh inflasi barangan runcit dan lain-lain yang lebih rendah serta penurunan lebih ketara dalam kos elektrik dan gas,
Inflasi teras – yang tidak mengambil kira kos penginapan dan pengangkutan privet bagi mencerminkan perbelanjaan isi rumah lebih baik – mencatat kadar 1.2 peratus pada November, iaitu paras tertinggi sejak Disember 2024.
Inflasi keseluruhan juga berada pada kadar 1.2 peratus, lapor The Straits Times (ST).
Kededua ukuran itu kekal tidak berubah berbanding Oktober, apabila inflasi teras meningkat daripada paras terendah hampir empat tahun, iaitu 0.4 peratus pada September.
Namun, inflasi teras dan keseluruhan pada November dicatatkan lebih rendah daripada 1.3 peratus yang diramalkan oleh para penganalisis.
Inflasi perkhidmatan meningkat sedikit kepada 1.9 peratus daripada 1.8 peratus pada Oktober.
Ini didorong oleh kenaikan lebih besar dalam kos perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) dan insurans kesihatan, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan bersama.
Inflasi makanan kekal pada kadar 1.2 peratus, dengan harga perkhidmatan makanan dan barangan makanan belum dimasak meningkat pada kadar sama seperti Oktober.
Inflasi barangan runcit dan lain-lain menurun kepada 0.3 peratus pada November berbanding 0.4 peratus pada Oktober, disebabkan penurunan dalam harga pakaian, kasut dan alat penjagaan diri lain.
Harga elektrik dan gas menurun 4.1 peratus pada November, berbanding penurunan 4 peratus pada Oktober, susulan kejatuhan lebih besar dalam kos elektrik.
Kos penginapan meningkat 0.3 peratus pada November, kekal sama seperti Oktober, susulan harga sewa rumah yang meningkat pada kadar sama.
MAS dan MTI mengekalkan unjuran inflasi mereka bagi 2025 dan 2026.
Kadar inflasi teras dijangka berada sekitar 0.5 peratus pada 2025 sebelum meningkat kepada antara 0.5 peratus dengan 1.5 peratus pada 2026.
Inflasi keseluruhan dijangka berada pada purata antara 0.5 peratus dengan 1 peratus pada 2025 dan antara 0.5 peratus dengan 1.5 peratus pada 2026.
Menurut MAS dan MTI, beberapa faktor dijangka mengekalkan inflasi dalam unjuran, termasuk jangkaan kos import Singapura akan menurun, meskipun pada kadar lebih perlahan, dalam beberapa bulan akan datang.
Di samping itu, harga minyak mentah sejagat dijangka menurun secara lebih perlahan pada 2026 berbanding 2025, justeru mengekalkan inflasi dalam unjuran.
Sementara itu, pertumbuhan kos buruh setiap unit – yang mengukur purata kos buruh bagi setiap unit pengeluaran – dijangka meningkat.
Permintaan pengguna privet pula dijangka kekal stabil.
Namun, MAS dan MTI menekankan unjuran inflasi tertakluk kepada ketidaktentuan pelbagai faktor.
“Gangguan bekalan, termasuk yang berpunca daripada perkembangan geopolitik, boleh menyebabkan sebahagian kos import meningkat secara mendadak,” kata MAS dan MTI.
“Namun, kelemahan permintaan sejagat lebih tajam daripada jangkaan boleh mengekalkan inflasi teras pada paras rendah untuk tempoh lebih lama.
“Penurunan ketara lain dalam harga minyak sejagat juga boleh menurunkan kadar kenaikan harga buat sementara waktu,” tambah mereka.
“
“Gangguan bekalan, termasuk yang berpunca daripada perkembangan geopolitik, boleh menyebabkan sebahagian kos import meningkat secara mendadak. Namun, kelemahan permintaan sejagat lebih tajam daripada jangkaan boleh mengekalkan inflasi teras pada paras rendah untuk tempoh lebih lama.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg