Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar jangka ekon S’pura 2025, 2026 lebih tinggi daripada ramalan

Susulan prospek positif sektor eksport, perkilangan, kewangan, pembinaan serta perdagangan borong dan runcit
Dec 17, 2025 | 7:07 PM
mas, ekonomi, singapura, ramalan 2025, ramalan 2026, positif
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) meningkatkan unjuran pertumbuhan 2025 kepada kira-kira 4 peratus daripada julat 1.5 hingga 2.5 peratus yang diramalkan pada Ogos. - Foto fail

Pakar ekonomi sektor swasta menjangkakan ekonomi Singapura berkembang 4.1 peratus pada 2025 dan 2.3 peratus pada 2026.

Angka itu lebih tinggi daripada ramalan sebelumnya, susulan prospek yang lebih baik bagi sektor eksport, perkilangan, kewangan, pembinaan serta perdagangan borong dan runcit.

Sebelum ini, pakar ekonomi meramalkan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura meningkat sebanyak 2.4 peratus pada 2025 dan 1.9 peratus pada 2026, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Anggaran terkini diumumkan dalam tinjauan suku tahunan peramal profesional Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang dikeluarkan pada 17 Disember, susulan langkah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) meningkatkan ramalan pertumbuhan pada November.

MTI telah menaikkan unjuran pertumbuhan 2025 kepada kira-kira 4 peratus daripada julat 1.5 hingga 2.5 peratus, yang diramalkan pada Ogos.

Dalam unjuran pertamanya untuk 2026, MTI menyatakan ekonomi dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan, iaitu antara 1 dengan 3 peratus.

Pakar ekonomi dalam tinjauan MAS melihat kemungkinan peningkatan melebihi ramalan mereka sekiranya pertumbuhan dalam sektor teknologi dipacu kecerdasan buatan (AI) berterusan, sedang pertumbuhan ekonomi sejagat kekal kukuh dan ketegangan perdagangan terus berkurangan.

Namun, mereka tetap memberi amaran tentang risiko kelemahan pada prospek ekonomi Singapura sekiranya ketegangan perdagangan meningkat atau gelembung AI di pasaran saham Amerika Syarikat meledak.

Ledakan gelembung AI di pasaran saham Amerika boleh memberi kesan negatif kepada pasaran kewangan serta ekonomi sejagat secara meluas, tambah mereka.

Gelembung AI merujuk pada keadaan apabila pelaburan, minat atau kecenderungan terhadap teknologi AI meningkat terlalu cepat sehingga nilai syarikat, syarikat pemula atau projek AI menjadi terlalu tinggi, berbanding nilai sebenar atau potensi jangka panjangnya.

Ketegangan geopolitik, termasuk pengenalan cukai terhadap sektor semikonduktor dan farmaseutikal, muncul sebagai risiko kemerosotan utama pada prospek ekonomi Singapura.

Seramai 20 pakar ekonomi yang menjawab tinjauan MAS yang dikeluarkan pada 21 November menjangkakan ekonomi akan berkembang 3.6 peratus dari tahun ke tahun, pada suku keempat 2025.

Mereka turut meningkatkan ramalan 2025 bagi hampir semua petunjuk utama pertumbuhan ekonomi.

Pertumbuhan sektor perkilangan kini dijangka sebanyak 5.4 peratus, meningkat daripada hanya 0.8 peratus dalam tinjauan sebelumnya.

Sektor kewangan dan insurans pula dijangka berkembang sebanyak 4.1 peratus, berbanding unjuran sebelumnya, iaitu 3.3 peratus.

Pertumbuhan perdagangan borong dan runcit meningkat kepada 4.4 peratus daripada 2.9 peratus, manakala eksport domestik bukan minyak meningkat kepada 4.5 peratus daripada 2.2 peratus.

Ramalan inflasi 2025, diukur melalui Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk semua barangan, kekal tidak berubah pada 0.9 peratus.

Ramalan median terkini untuk inflasi teras – yang mengecualikan kos pengangkutan swasta dan penginapan untuk lebih mencerminkan perbelanjaan isi rumah – turut dikekalkan pada 0.7 peratus.

Ramalan median bagi semua barangan pada 2025 adalah 1.5 peratus, manakala inflasi teras adalah 1.3 peratus.

MAS menjangkakan inflasi teras sekitar 0.5 peratus pada 2025 sebelum ia meningkat dalam julat antara 0.5 dengan 1.5 peratus pada 2026.

Inflasi semua barangan pula dijangka antara 0.5 dengan 1 peratus pada 2025 dan antara 0.5 dengan 1.5 peratus pada 2026, secara purata.

Hampir semua yang menjawab tinjauan yang dijalankan MAS itu tidak menjangkakan sebarang perubahan dasar kewangan dalam ulasan dasar pada Januari dan April 2026 oleh bank pusat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg