Inflasi teras dan keseluruhan di Singapura turun dengan ketara pada Oktober, mengatasi jangkaan penganalisis selepas kekal tinggi dua bulan berturut-turut.
Inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan tepat, jatuh ke paras 2.1 peratus pada September, berbanding 2.8 peratus pada 2023.
Ini adalah kadar terendah sejak Disember 2021 apabila kadarnya juga mencapai 2.1 peratus, dan kurang daripada ramalan 2.5 peratus dalam tinjauan pakar ekonomi Bloomberg.
Penurunan inflasi teras diterajui kenaikan harga yang lebih perlahan dalam bidang perkhidmatan, elektrik dan gas, serta runcit dan barangan lain, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam laporannya pada 25 November.
Inflasi keseluruhan turun kepada 1.4 peratus pada Oktober berbanding tempoh yang sama – bacaan terendah sejak Mac 2021 – daripada 2 peratus pada September.
Penurunan itu disebabkan oleh inflasi penginapan yang lebih perlahan dan kejatuhan yang lebih curam dalam kos pengangkutan privet.
Kos pengangkutan privet turun 2.5 peratus pada Oktober, lebih daripada penurunan 2.4 peratus pada September, disebabkan penurunan harga kereta yang lebih besar.
Jika dibandingkan bulan ke bulan, yang menunjukkan rentak harga, kedua-dua inflasi teras dan inflasi keseluruhan berkurang sebanyak 0.3 peratus.
MAS dan MTI berkata harga barangan perkilangan yang diimport Singapura terus turun secara meluas seiring dengan penurunan inflasi sejagat dan kadar pertukaran wajaran perdagangan dolar Singapura yang semakin kukuh.
Inflasi perkhidmatan, yang telah berada dalam kadar berkurangan, akan terus perlahan menjelang akhir 2024, sejajar dengan pertumbuhan gaji yang menyederhana, kata MAS dan MTI.
Oleh itu, MAS dan MTI menjangkakan inflasi teras kekal sekitar 2 peratus bagi baki dua bulan 2024 – purata 2.5 peratus hingga 3 peratus bagi 2024 berbanding 4.2 peratus pada 2023.
Inflasi teras dijangka turun lagi kepada 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada 2025, kata MAS dan MTI.
Bagi inflasi keseluruhan, inflasi penginapan dijangka turun lebih rendah pada 2025, yang sebahagiannya akan mengimbangi jangkaan kenaikan inflasi pengangkutan privet, tambahnya.
Mengambil kira faktor-faktor itu, inflasi keseluruhan dijangka masuk sekitar 2.5 peratus untuk keseluruhan 2024 – berbanding 4.8 peratus pada 2023 – dan purata 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada 2025, kata mereka.
Sebab utama penurunan mendadak dalam inflasi teras Oktober ialah penurunan besar dalam inflasi perkhidmatan – 2.3 peratus berbanding 3.3 peratus yang dicapai pada September.
Ini disebabkan oleh peningkatan yang lebih kecil dalam kos perbelanjaan percutian dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Inflasi untuk elektrik dan gas jatuh paling banyak, kepada 2.5 peratus pada Oktober daripada 6.3 peratus pada September, berikutan harga kedua-dua utiliti meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
Inflasi runcit dan barangan lain turun kepada 0.1 peratus pada Oktober daripada 0.8 peratus, terutama disebabkan penurunan harga pakaian dan kasut yang lebih curam, serta kejatuhan kos ubat-ubatan dan produk kesihatan.
Inflasi penginapan mengecil kepada 2.5 peratus daripada 2.7 peratus berikutan kenaikan yang lebih kecil dalam sewa perumahan, manakala inflasi makanan tidak berubah pada 2.6 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg