Pada 2024, satu inisiatif FairPrice Group telah menyelamatkan lebih 24 tan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak sempurna tetapi masih boleh dimakan.
Dilancarkan pada September 2023, inisiatif Neighbourhood Food Share bertujuan untuk mengurangkan pembaziran makanan di rangkaian pasar raya FairPrice sambil menyokong masyarakat setempat.
Menurut seorang jurucakap FairPrice, buah-buahan dan sayur-sayuran yang diselamatkan kemudian dihantar oleh sukarelawan masyarakat ke lebih 50 pusat pengagihan di serata Singapura setiap minggu.
Sukarelawan tersebut daripada kumpulan masyarakat, Rangkaian Penduduk (RN) dan Jawatankuasa Penduduk (RC) di sekitar Singapura.
Tambahnya, lebih 25,000 individu telah memanfaatkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang dihantarkan ke pusat pengagihan tersebut pada 2024.
Menurut laman web inisiatif itu, kebanyakan individu tersebut ialah warga emas dan golongan berpendapatan rendah.
“Kami telah melatih kakitangan kami untuk mengenal pasti buah-buahan dan sayur-sayuran yang mungkin tidak sempurna dari segi visual seperti mempunyai calar kecil, atau mempunyai bentuk yang tidak sempurna.
“Kami memeriksa buah-buahan dan sayur-sayuran itu dengan teliti untuk memastikan mereka segar dan bebas daripada sebarang tanda rosak sebelum mendermakannya ke pusat pengagihan,” kata jurucakap FairPrice itu.
Namun begitu, laman web Neighbourhood Food Share menyarankan penerima membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum memasaknya atau memakannya bagi memastikan kebersihan dan keselamatan.
Salah satu tip dari laman web itu menyatakan untuk memotong dan membuang mana-mana bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran yang berubah warna dan hanya mengambil bahagian yang lebih segar.
Menerusi usaha inisiatif ‘Neighbourhood Food Share’, FairPrice bukan sahaja memastikan makanan yang masih elok tidak dibazirkan, malah membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dari segi perbelanjaan harian.
Antara mereka ialah Cik Gaya Rujake, 46 tahun, seorang warga Indonesia yang menetap di Singapura.
Beliau tidak mempunyai keluarga di sini dan bergantung kepada pencari nafkah tunggal keluarganya, iaitu suaminya yang kini sedang beransur pulih daripada penyakit angin ahmar.
Cik Gaya masih mencari masa untuk membantu golongan yang memerlukan sebagai sukarelawan dan penerima manfaat inisiatif ‘Neighbourhood Food Share’.
Dalam satu video disiarkan FairPrice, Cik Gaya berkata inisiatif itu banyak membantunya menjimatkan wang.
“Saya boleh menjimatkan sehingga $300 setiap bulan,” kongsinya, yang boleh menggunakan wang yang dijimat itu untuk yuran sekolah kedua-dua anak remajanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg