Satu inisiatif baru yang menghubungkan ahli psikologi Pasukan Home Team dan pakar pemulihan, serta karyawan persatuan kesihatan mental, telah dilancarkan.
Ia khusus bagi membolehkan Singapura meningkatkan pengurusan krisis dan sokongan psikologi dalam menghadapi keadaan mencemaskan.
Rangkaian Pasukan Bantuan Kecemasan Manusia Nasional dan Tindak Balas (Heart) dilancarkan pada 16 Julai oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann, semasa Persidangan Psikologi Jenayah dan Operasi Asia (Accop), lapor The Straits Times (ST).
“Rangkaian itu bertujuan meningkatkan perkongsian pengetahuan, membaiki proses campur tangan dan mengukuhkan kerjasama antara agensi dalam menangani kesihatan mental dan pengurusan krisis.
“Ini juga memastikan Singapura lebih bersedia menghadapi kecemasan, bukan hanya dari segi prasarana, bahkan juga tindak balas psikologi yang diselaras,” ujar Cik Sim.
Persatuan kesihatan mental yang turut serta ujar beliau termasuk Persatuan Psikiatri Singapura, Persatuan Kaunseling Singapura, Persatuan Psikologi Singapura dan Persatuan Pekerja Sosial Singapura.
Daya usaha itu adalah peluasan daripada Rangkaian Heart yang dilancarkan pada 2019 bagi membantu Singapura menghadapi serangan pengganas.
Rangkaian Heart membolehkan hospital dan poliklinik berkongsi sumber, pengetahuan dan kepakaran untuk memberi bantuan psikologi susulan serangan pengganas.
Institusi perubatan akan bekerjasama dengan karyawan kesihatan mental dari Pasukan Home Team, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, serta Institut Kesihatan Mental.
Inisiatif itu adalah salah satu daripada dua rangkaian yang diumumkan di persidangan dengan tema, ‘Pandangan Psikologi, Ramalan Operasi’.
Cik Sim turut melancarkan Rangkaian Psikologi Asia, Jenayah dan Undang-Undang, yang menghubungkan pakar psikologi forensik, kriminologi, penguat kuasa undang-undang dan penyelidik seluruh Asia-Pasifik.
Rangkaian itu bertujuan saling bertukar amalan terbaik dalam psikologi jenayah, pemulihan dan analisis tingkah laku, serta memajukan penyelidikan mengenai ekstremisme dan jenayah rentas sempadan.
Dalam ucapannya, Cik Sim menyatakan bahawa ancaman keselamatan kini merangkumi serangan psikologi terhadap kepercayaan, identiti dan perpaduan, serta empat isu mendesak.
Isu pertama adalah peningkatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, dengan perangkaan menunjukkan kenaikan 30 peratus dalam salah guna bawah 20 tahun pada 2024.
Cik Sim turut menyifatkan trend radikalisasi diri belia sebagai membimbangkan, dengan 17 belia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam tempoh sedekad lalu, dua pertiga daripadanya dalam lima tahun kebelakangan ini.
Isu ketiga ialah peningkatan penipuan berteknologi, dengan mangsa di Singapura kehilangan $1.1 bilion akibat penipuan pada 2024.
Cik Sim menegaskan penipu mengeksploitasi kelemahan psikologi mangsa.
Isu keempat adalah eksploitasi seksual dan keganasan yang dipermudahkan menerusi teknologi.
Cik Sim menekankan pentingnya kepakaran psikologi dalam memahami tingkah laku dan melindungi masyarakat, serta bagaimana pasukan Home Team menyepadukan sains psikologi dalam kerja mereka.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menjadi unit pertama yang disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyertakan karyawan kesihatan mental dalam tindak balas bencana antarabangsa.
Sekitar 500 peserta, termasuk ahli akademik, psikologi, dan pegawai keselamatan, menyertai Accop 2025 di Hotel Grand Copthorne Waterfront pada 16 dan 17 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg