Sejak tong kitar semula fabrik Kloth Cares diperkenalkan di Singapura, jumlah fabrik yang dikumpul telah melonjak daripada 845 kilogram pada 2022 kepada hampir 175,000 kilogram pada minggu keempat 2025.
Masjid dan masyarakat Islam setempat berperanan dalam pengumpulan fabrik itu kerana beberapa tong tersebut diletakkan di pekarangan masjid serata negara, terutama di bahagian selatan.
Kerjasama dengan masjid itu bermula pada Ramadan 2023, apabila masjid daerah selatan mahu menghidupkan inisiatif masjid hijau yang sejajar dengan gerakan SalamSG dan aspirasi #SouthMosqueCares (#MasjidSelatanPrihatin) agar masjid menyokong inisiatif hijau menerusi usaha alam sekitar dan pemuliharaan.
Tong itu diharapkan dapat menggalak orang ramai dan jemaah masjid mengitar semula pakaian dan tekstil yang tidak lagi dimahukan.
Daripada enam tong yang diletakkan semasa pelancaran inisiatif tersebut, bilangannya telah bertambah kepada sembilan kini, dengan pakaian dan fabrik yang dikumpul dari 2023 hingga 2025 berjumlah 135,357.3 kilogram.
Selain di masjid, usaha mengumpul fabrik turut dijalankan di beberapa lokasi lain di serata Singapura.
Inisiatif itu dimulakan di Malaysia di bawah syarikat Kloth Malaysia dan dibawa ke Singapura setelah Kloth Singapore ditubuhkan pada 2022.
“Kloth Cares ialah jenama impak sosial, ekonomi dan alam sekitar kami yang berhasrat menjadi pemangkin ekonomi kitaran bagi tekstil dan pakaian.
Kami memperjuangkan usaha ‘Jauhkan Fabrik Daripada Pembakar Sampah dan Kawasan Pelupusan Sampah’ dan komited menaikkan kadar kitar semula tekstil dan pakaian dengan meningkatkan kesedaran, menyediakan cara untuk kitar semula, mengurus kutipan sisa yang berkesan, beretika dan memberi kesan serta mengumpul dan menganalisis data,” kata pengasas bersama Kloth Malaysia/Kloth Singapore, Cik Nik Suzila Hassan.
Berkongsi cara inisiatif itu beroperasi, Cik Nik Suzila berkata tong kitar semula dikosongkan sekurang-kurangnya sekali seminggu oleh Life Line Clothing Singapore yang bekerjasama dengan Kloth Cares.
Barang-barang yang dikumpul dibawa ke gudang di Tuas sebelum dihantar ke kilang kitar semula di Port Klang, Malaysia.
Di kilang itu, barang-barang yang dikumpul akan ditimbang dan kemudian diatur menurut lebih 500 kategori seperti tuala, sarung bantal, tali pinggang, kasut tinggi dan sebagainya.
Barang-barang itu kemudian dinilai berdasarkan beberapa ciri, termasuk sama ada ia masih boleh dipakai.
Gred B diberi kepada pakaian dan fabrik yang tidak lagi boleh dipakai. Ia antara lain dijadikan kain untuk membersih atau dipecahkan menjadi benang yang boleh dibuat produk baru seperti alas kaki atau beg.
Gred A diberi kepada pakaian yang masih boleh dipakai, dan barang-barang ini antara lain dieksport ke negara membangun, atau diberikan kepada masyarakat yang hidup dalam keadaan sukar seperti mangsa banjir.
Pakaian dan tekstil dalam gred ini juga diderma kepada masyarakat Kloth Woman Up untuk dijadikan barangan atau hadiah.
Di Singapura, sekumpulan 20 wanita yang menerima zakat kini meraih manfaat daripada program yang dipanggil Kloth Woman Up X Thread Up, naik daripada 10 apabila program itu diperkenalkan pada 2023.
Program yang dijalankan di beberapa masjid daerah selatan itu mengajar peserta kemahiran menjahit kreatif, dengan penekanan kepada teknik upcycle atau kitar tinggi.
“Peserta diajar cara mengubah dan menggunakan semula tekstil dan pakaian yang tidak diingini dan dibuang menjadi barangan dan hadiah baru yang menarik dan boleh dipasarkan seperti beg jinjing, kantung, mainan lembut dan sarung komputer riba,” kata Cik Nik Suzila.
Peserta program itu telah meraih hampir $7,000 daripada kerja menjahit 920 keping barangan dan hadiah.
Sebahagian barangan itu dijual kepada SalamSG dan masjid daerah selatan bagi acara dan usaha jangkauan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg