Warga emas yang menetap di estet perumahan privet atau kawasan agak terpencil kini boleh menikmati akses lebih mudah untuk melakukan kegiatan di bawah Pusat Penuaan Aktif (AAC), kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Ini setelah Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) melancarkan satu inisiatif baru bagi membawa kegiatan itu lebih dekat khusus buat penduduk dalam golongan tersebut.
Beliau mengumumkan demikian dalam majlis pelancaran Hab Penduduk Kita, di taman permainan Jalan Mas Kuning, berdekatan Stadium Clementi, di West Coast, pada 2 April.
Semasa berucap, Encik Ong berkata kegiatan itu akan dilaksanakan di lapangan atau kemudahan separa kekal bagi memastikan warga emas boleh kekal cerdas secara jasmani dan sosial.
“Kami telah mendapatkan maklum balas jelas daripada penduduk yang menetap di estet privet.
“Mereka menyatakan AAC terletak sejauh 500 meter (dari tempat tinggal). Untuk berjalan kaki, jarak ini terlalu jauh.
“Bahkan pusat Rangkaian Penduduk, yang mungkin jaraknya sejauh 300 meter (dari tempat tinggal), sudah agak jauh untuk berjalan kaki,” ujarnya.
Dari situlah timbul idea untuk menggunakan kemudahan atau taman sedia ada di estet privet bagi menganjurkan kegiatan, sekali gus menjadikannya lebih dekat dengan penduduk, tambah beliau.
Langkah sedemikian, jelasnya, sejajar dengan gerakan Sihat Menua SG yang diumumkan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, semasa beliau menyandang jawatan Perdana Menteri pada 2023.
Encik Ong merupakan salah seorang tetamu terhormat, bersama Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Encik Lee, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast – kawasan undi tempat terletaknya hab tersebut – menambah bahawa inisiatif itu bertepatan kerana daerah sekeliling hab tersebut mempunyai ramai warga emas.
Dalam satu kenyataan bersama MOH dan MND pada 2 April, daya usaha itu dijangka mendekati lebih 20,000 warga emas dalam satu hingga dua tahun, dengan golongan tersebut boleh menyertai kegiatan seperti sesi jamuan bersama dan program jasmani ‘parkour’.
Dalam ucapannya, Encik Lee berkata: “Saya telah bertemu penduduk di sini beberapa kali sejak setahun setengah lalu bagi memulakan projek rintis.
“Hari ini, penduduk di sini mempunyai ruang yang boleh digunakan sebagai projek rintis bagi menguji tahap penerimaan penduduk terhadap program (di bawah AAC) dan ia adalah ruang yang membenarkan warga emas, serta pendudukan lain, untuk berhimpun.”
Beliau menambah, inisiatif itu akan diperhalusi dan pemerintah akan menilai sama ada kaedah lain, seperti van bergerak dan ruang kontena, boleh diguna pakai.
Antara hadirin yang ditemui Berita Harian adalah Encik Shahrul Mohamed; isterinya, Cik Herlina Sarip; dan ibunya, Cik Hamidah Jaapar.
Encik Shahrul berkata beliau menetap di estet perumahan awam Clementi West, terletak bertentangan taman permainan itu.
Beliau berkata sungguhpun ibunya kini perlu disorong dengan kerusi roda, hab itu boleh menjadi tempat bagi ibunya bersosial dan mengisi masa dengan kegiatan apabila beliau atau anggota keluarga tiada di rumah atas urusan masing-masing.
Hab tersebut yang merangkumi lapangan di taman dan ruang kontena serba guna, adalah hasil kerjasama antara Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Persatuan Rakyat (PA), di samping MOH dan MND.
Sementara itu, turut kelihatan di majlis itu adalah wajah baru, Cik Natasha Choy, yang dikatakan bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE2025) bagi GRC West Coast – Jurong West.
Anggota kesatuan sekerja itu dilihat bersama Encik Lee di majlis tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg