Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal masih kekal jalinan dengan penduduk, pemimpin Marine Parade

Terdapat spekulasi AP GRC Nee Soon itu akan tanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights yang baru
Apr 6, 2025 | 12:00 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) berkongsi kenangannya bersama Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, ketika mereka menjalankan pelbagai program di GRC Marine Parade pada 2006 semasa satu taklimat media memperkenalkan inisiatif masyarakat di Wisma Geylang Serai pada 3 April.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) berkongsi kenangannya bersama Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, ketika mereka menjalankan pelbagai program di GRC Marine Parade pada 2006 semasa satu taklimat media memperkenalkan inisiatif masyarakat di Wisma Geylang Serai pada 3 April. - Foto ST

Meskipun telah beralih dan kini berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), tidak lupa titik permulaannya sebagai AP dan terus aktif di GRC Marine Parade.

Beliau yang berkhidmat di kawasan itu dari 2006 hingga 2011, tetap giat dalam acara kemasyarakatan dan bekerjasama rapat dengan AP kawasan tersebut.

Inilah sebabnya beliau merasakan adalah bertepatan waktu untuknya menyumbang semula kepada penduduk di Marine Parade melalui inisiatif baru seperti Dana Sokongan Penjaga SG60 (CSF) dan Program Penyerapan Industri (IIP), kata Dr Faishal dalam sidang media mengenai dua inisiatif itu di Wisma Geylang Serai pada 3 April.

AP GRC Marine Parade yang juga Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, dan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng turut hadir dalam sidang media tersebut.

Bersama mereka adalah penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee, Dr Choo Pei Ling, dan AP MacPherson, Cik Tin Pei Ling.

Dua inisiatif baru itu bertujuan memperkukuh sokongan untuk penjaga dan keluarga mereka serta melengkapi belia dengan kemahiran dan pendedahan yang diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Faishal berkata:

“Saya masih berhubung dengan penduduk di sini dan kembali untuk menghadiri acara tertentu. Sebagai Penasihat Utama Wisma Geylang Serai (WGS), saya bekerja rapat dengan Dr Tan See Leng dan Mayor Fahmi Aliman serta Encik Edwin Tong.

“Saya kenal ramai penduduk di sini. Kadangkala, mereka mengutarakan isu kepada saya dan saya akan berkongsi isu tersebut kepada Dr Tan, Encik Edwin dan Encik Fahmi.

“Jadi, apabila Dr Tan meminta saya untuk kembali dan melihat bagaimana kami boleh terus bekerjasama membantu penduduk, saya rasa ia satu peluang untuk berbakti,” ujar Dr Faishal.

Pada 30 Mac, beliau bersama AP GRC Marine Parade lain dilihat bersalaman dengan penjaja dan penduduk yang sedang bersarapan di Pasar dan Pusat Makanan Eunos Crescent, sekali gus mencetus spekulasi yang beliau akan bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights yang baru dinamakan semula.

Menyentuh tentang inisiatif baru itu, Dr Faishal berkata ia adalah perkembangan baik di samping usaha berterusan dalam menjaga golongan belia dan warga emas di kawasan itu.

“Ramai penduduk telah tinggal di kawasan ini lebih daripada 40 tahun. Saya bertemu dengan penduduk yang telah tinggal di sana lebih daripada 40 tahun.

“Kini berusia sekitar 70-an dan 80-an, mereka mempunyai keperluan penjagaan. Oleh itu, saya mendapati inisiatif ini sangat bermakna dan berguna untuk penduduk di sini,” kongsi beliau.

Dr Faishal juga merujuk kepada Yayasan Kepimpinan Marine Parade yang ditubuhkan pada 2006 dan menyatakan IIP adalah perkembangan baik untuk belia.

Menarik perhatian tentang pengalaman luas Dr Faishal di kawasan itu, Dr Tan berkata beliau memainkan peranan penting dalam membentuk program masyarakat, terutamanya yang memenuhi keperluan penduduk Melayu/Islam di kawasan tersebut.

Ini termasuk khidmatnya di Kembangan dan Kaki Bukit, serta peranannya sebagai Penasihat Utama WGS.

“Beliau sentiasa berada di belakang tabir, bekerjasama rapat dengan kami untuk menyelaras keperluan penduduk Melayu/Islam di sini. Kami sering merujuk kepadanya untuk beberapa program di kawasan ini.

“Pandangan beliau, terutamanya dalam menentukan skop untuk Dana Sokongan Penjaga sebenarnya sangat, sangat bernilai,” ujar Dr Tan.

Dalam pada itu, AP GRC Marine Parade dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Fahmi Aliman, tidak menghadiri acara taklimat berkenaan.

Seorang lagi calon baru berpotensi, pengarah pembangunan perniagaan, Cik Diana Pang, yang diperkenalkan Dr Tan dalam kunjungan 30 Mac lalu, kelihatan di taklimat media itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg