Sejak April 2025, beberapa pasangan Islam yang mempunyai anak dan sedang dalam proses perceraian telah diberikan sokongan lebih mantap bagi anak mereka sejak dari peringkat awal lagi.

Dinamakan Pengantaraan Bersama, pendekatan terapeutik ini mengutamakan kebajikan anak serta menyediakan sokongan campur tangan awal lebih menyeluruh kepada keluarga Islam rentan yang mengharungi krisis perceraian.

Ini merupakan sebahagian projek rintis terbaru Mahkamah Syariah dalam usaha lebih luas untuk menyediakan keadilan terapeutik yang mengutamakan kebajikan anak.

Projek rintis tersebut semakin mantap, dan kini menyediakan sokongan lebih menyeluruh sepanjang proses perceraian untuk pasangan.

Menyusuli perkembangan itu, Mahkamah Syariah mengumumkan usaha untuk memperluaskan lagi sokongan itu ke peringkat sebelum proses perceraian bermula, bagi memastikan keluarga berisiko menerima bantuan kritikal pada lebih awal.

Demikian dinyatakan Pakar Terapeutik Utama Mahkamah Syariah, Cik Nur Izzah Amir; dan Pakar Terapeutik Kanan Mahkamah Syariah, Cik Shifaa Mohamed Amin, yang kedua-duanya mengendalikan inisiatif Pengantaraan Bersama itu, semasa Forum Amalan Kedua Mahkamah Syariah di Hotel Grand Hyatt pada 31 Julai.

Mereka menekankan bahawa model tersebut amat penting dalam menyediakan campur tangan awal, sokongan tersasar, serta persetujuan antara pihak yang membela keperluan anak semasa berlakunya perceraian.

Inisiatif tersebut menyokong pasangan berisiko dalam menangani pertikaian undang-undang, malah cabaran emosi dan sosial yang menjejas keluarga mereka.

Pegawai pengantara bekerjasama dengan pakar terapeutik mahkamah untuk membantu pasangan mencapai persetujuan mengenai perceraian pada dua peringkat.

Selain membantu dalam mencapai persetujuan mengenai perkara berkaitan konflik perceraian, mereka juga mengenal pasti isu seperti keganasan rumah tangga, kebimbangan kebajikan anak serta konflik serius antara ibu bapa, dan menghubungkan keluarga itu kepada perkhidmatan sokongan yang bersesuaian dengan lebih lancar.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) di sisi forum itu, Cik Izzah berkata ia termasuk kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), serta agensi khidmat sosial (SSA) untuk memberi sokongan yang secukupnya sepanjang proses perceraian.

Rangka Pengantaraan Bersama itu dibangunkan menerusi kerjasama rapat dengan pihak Mahkamah Syariah, supaya mereka dapat menyediakan sokongan kepada keluarga rentan yang benar-benar memerlukan bimbingan tambahan di bawah inisiatif itu.

Terdapat keluarga yang hanya perlu melalui satu sesi Pengantaraan Bersama. Namun, ada yang memerlukan beberapa sesi sehingga menyebabkan proses ini mengambil tempoh beberapa bulan, tambah Cik Izzah.

Sekiranya persetujuan tidak ditemui, pasangan berkenaan akan melalui proses perbicaraan.

Semasa forum itu, Cik Shifaa menyampaikan ucapan mengenai rangka inisiatif Pengantaraan Bersama.

“Langkah ini menggabungkan dua kepakaran yang berlainan. Satu tertumpu kepada peleraian konflik, manakala satu lagi terarah kepada aspek keselamatan, kesejahteraan hidup dan juga keperluan terapeutik.

“Matlamatnya ialah supaya sokongan yang disediakan sesuai dengan tahap keperluan setiap keluarga,” katanya.

Menurut beliau, terdapat tiga manfaat utama yang diraih menerusi Pengantaraan Bersama.

Pertama, keperluan keluarga masing-masing dikenal pasti awal sebelum proses perceraian menambah kepada tekanan mereka.

Kedua, keluarga menerima sokongan untuk mencapai persetujuan serta mencipta rancangan keibubapaan yang mengutamakan kebajikan anak yang boleh diikuti dalam jangka masa panjang.

Ketiga, kerjasama antara mahkamah dan SSA dipereratkan, supaya keluarga yang mengemudi perceraian dapat sokongan secara lebih lancar.

Hasil penilaian Pengantaraan Bersama bersifat rahsia dan tidak dibentangkan di hadapan hakim mahupun Presiden Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, ia menjadi asas penting dalam merangka strategi pengurusan kes tersebut pada peringkat paling awal, tambah Cik Shifaa.

Setakat ini, terdapat sambutan yang positif daripada pihak yang melalui inisiatif Pengantaraan Bersama.

Cik Izzah berkata bahawa mereka berasa kebimbangan mereka didengar serta ditangani sepanjang sesi-sesi berkenaan.

Lantas, terdapat rancangan untuk bekerjasama dengan agensi kaunseling perkahwinan bagi mengenal pasti dan menangani isu yang dihadapi keluarga di peringkat lebih awal dalam proses perceraian, tambahnya.

Sementara itu, rangka Pengantaraan Bersama akan terus diperhalusi dalam masa akan datang.

Ia termasuk mengenal pasti masalah keluarga di peringkat Pengantaraan Bersama di peringkat Program Kaunseling Perkahwinan (MCP).

MCP wajib diikuti oleh pasangan yang sedang menimbangkan proses perceraian, dan berlaku sebelum peringkat Pengantaraan dalam proses perceraian di Mahkamah Syariah.

“Langkah ini menggabungkan dua kepakaran yang berlainan. Satu tertumpu kepada peleraian konflik, manakala satu lagi terarah kepada aspek keselamatan, kesejahteraan hidup dan juga keperluan terapeutik. Matlamatnya ialah supaya sokongan yang disediakan sesuai dengan tahap keperluan setiap keluarga.”
 Cik Shifaa Mohamed Amin, Pakar Terapeutik Kanan Mahkamah Syariah.