Topik diikuti
Pergi ke BHkuMCCY: Ekosistem sokongan menyeluruh perkukuh perkahwinan pasangan Muslim
MCCY: Ekosistem sokongan menyeluruh perkukuh perkahwinan pasangan Muslim
Kadar perceraian pasangan Islam dalam dekad pertama perkahwinan susut daripada 24.8 peratus bagi mereka yang berkahwin pada 2005, kepada 17 peratus bagi kohort 2014
MCCY: Ekosistem sokongan menyeluruh perkukuh perkahwinan pasangan Muslim
Ekosistem sokongan yang holistik bagi membantu pasangan Islam di pelbagai peringkat perjalanan rumah tangga mereka, merupakan faktor penting dalam penurunan berterusan kadar perceraian Islam sepanjang sedekad lalu, menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai institusi perkahwinan yang semakin kukuh, MCCY menyatakan bahawa perkembangan itu dijayakan menerusi kerjasama berterusan antara agensi pemerintah, Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Mahkamah Syariah, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), masjid serta Pertubuhan Melayu/Islam (MMO).
Ia merangkumi program yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), program persiapan perkahwinan, inisiatif di peringkat masyarakat, kaunseling serta usaha menyokong proses pemuhilan bagi pasangan dibelenggu kesulitan.
“Lama-kelamaan, institusi ini berjaya membina hubungan kepercayaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat, sekali gus dapat mendorong pasangan untuk mendapatkan bantuan lebih awal apabila mereka menghadapi masalah.
“Rangkaian kerjasama ini juga membawa pemahaman yang lebih baik tentang nuansa budaya dan agama dalam penyampaian program kaunseling serta sokongan.
“Ini membantu pasangan untuk mendekatkan diri dan memanfaatkan program-program sedemikian dengan lebih berkesan,” kata jurucakap MCCY.
Antara sokongan demikian ialah program Bersamamu, yang diasaskan oleh Kadi dan Naib Kadi setempat dengan sokongan ROMM, yang memberi bimbingan sebelum pernikahan, dan dilanjutkan hingga dua tahun selepas itu.
Bagi pasangan Islam muda, terdapat inisiatif Hab INSPIRASI yang dikendalikan oleh AMP dan PPIS. Ia menyediakan bantuan persiapan perkahwinan bagi pasangan berusia di bawah 21 tahun, termasuk pengantin lelaki berusia 21 hingga 24 tahun, serta sokongan berterusan dalam sepuluh tahun pertama perkahwinan mereka.
Mahkamah Syariah juga memainkan peranan penting menerusi Program Kaunseling Perkahwinan (MCP), yang dirasmikan pada 2004. Ia menyediakan sokongan profesional seperti kaunseling, bimbingan berteraskan agama serta sokongan keibubapaan.
Pada 2018, ia wajib diikuti oleh pasangan Islam yang mempertimbangkan cerai.
Hampir 40 peratus daripada 15,300 pasangan Islam yang mempertimbangkan perceraian antara 2019 hingga 2023, memilih untuk kekal bersama.
Selain jaringan sokongan yang menyeluruh, penurunan kadar perceraian masyarakat Islam juga bergantung kepada faktor lain seperti trend pasangan yang memilih untuk berkahwin pada usia lebih matang, tambah MCCY.
Usia yang lebih matang ini lazimnya dikaitkan dengan keadaan kewangan yang lebih stabil serta kesediaan mental yang lebih mantap untuk membina mahligai.
Trend keadaan perkahwinan yang semakin utuh turut dilihat dalam kalangan perkahwinan sivil.
Mengulas lebih lanjut, MSF berkata:
“Walaupun perkahwinan sivil dan Islam masing-masing tertakluk kepada rangka perundangan dan pentadbiran berbeza, prinsip utama yang menjadi dasar sokongan terhadap perkahwinan dan keluarga adalah selari.
“Kedua-dua rangka ini menekankan usaha mempersiapkan pasangan untuk perkahwinan, menyokong mereka mengharungi pelbagai peringkat dalam membina rumahtangga, serta menyediakan bantuan apabila timbul sebarang kesulitan.”
Di sebalik itu, kadar perceraian Islam masih lebih tinggi berbanding perceraian sivil dalam dekad lalu. Namun, jurang antara kedua-dua perangkaan itu semakin rapat.
“Jurang yang semakin rapat antara kadar perceraian sivil dan Islam dalam data kohort amat menggalakkan, dan ia mencerminkan apa yang mampu dicapai melalui usaha bersepadu pihak pemerintah dan masyarakat.
“Kami komited untuk memastikan setiap pasangan Islam di Singapura mendapat akses kepada bimbingan dan sokongan yang diperlukan bagi membina perkahwinan yang utuh serta berdaya tahan,” kata jurucakap MCCY.
Pada Jun, beberapa program sokongan untuk pasangan Islam telah dipertingkatkan. Ia termasuk menambah jumlah Kadi dan Naib Kadi serta perluasan ekosistem Bersamamu.