Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inovasi guna batang aiskrim pertingkat latihan baling bom di BMTC School 2

Aug 15, 2024 | 4:04 PM
Leftenan Kolonel (LTC) Mohammad Faizal Amat (tiga dari kanan) berdiri di belakang rekaan Bay Kursus Ketepatan Jarak Jauh (DAC) Mudah Alih yang telah menerima penghargaan Anugerah ‘Dare to Do’ Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 23 Julai. Bersama beliau dalam menjayakan rekaan tersebut adalah (dari kiri) Pegawai Waran Kanan (SWO) Lim Cheng Yong, Pegawai Waran Pertama (1WO) Muhammad Hasyim Hassan, Pegawai Waran Pertama (1WO) Vincent Teo, Pegawai Waran Kedua (2WO) Tan Eng Tat, Pegawai Waran Kedua (2WO) Shaun Lim, Sarjan Pertama (1SG) Sriram Saravanan dan Sarjan Ketiga (3SG) Mohamed Shakir Mohamed Sheriff, seorang anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF).
Leftenan Kolonel (LTC) Mohammad Faizal Amat (tiga dari kanan) berdiri di belakang rekaan Bay Kursus Ketepatan Jarak Jauh (DAC) Mudah Alih yang telah menerima penghargaan Anugerah ‘Dare to Do’ Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 23 Julai. Bersama beliau dalam menjayakan rekaan tersebut adalah (dari kiri) Pegawai Waran Kanan (SWO) Lim Cheng Yong, Pegawai Waran Pertama (1WO) Muhammad Hasyim Hassan, Pegawai Waran Pertama (1WO) Vincent Teo, Pegawai Waran Kedua (2WO) Tan Eng Tat, Pegawai Waran Kedua (2WO) Shaun Lim, Sarjan Pertama (1SG) Sriram Saravanan dan Sarjan Ketiga (3SG) Mohamed Shakir Mohamed Sheriff, seorang anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF). - Foto MINDEF

Hanya menggunakan barangan kraf asas seperti batang ais krim untuk prototaip awal, Leftenan Kolonel (LTC) Mohammad Faizal Amat, 41 tahun, dan lima pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang lain dari BMTC School 2 dapat menghasilkan Bay Kursus Ketepatan Jarak Jauh (DAC) mudah alih.

“Pasukan kami tidak mempunyai latar belakang teknikal yang terhad untuk mengetahui tentang kejuruteraan, dan kami bukan pakar teknikal. Jadi, kami terpaksa eksperimen menggunakan barangan harian yang ada seperti batang kayu aiskrim, cungkil gigi untuk menyusun model kecil sebagai pembuktian konsep.

“Ini sebelum kami boleh memikirkan tentang mendapatkan dana untuk membangunkan prototaip saiz sebenar. Jadi, kami bermula dengan menggunakan barang-barang tersebut sebelum ia diterjemahkan kepada prototaip sebenar,” kongsi beliau.

Projek rekaan Bay DAC mudah alih ini adalah antara 21 penerima penghargaan Anugerah Dare To Do (Berani Buat) Kementerian Pertahanan (Mindef) di Simposium Ignite Mindef pada 23 Julai.

Anugerah itu mengiktiraf pasukan dan individu yang menunjukkan semangat dalam mengambil risiko dan ketekunan.

Antaranya, mengenal pasti peluang baru dalam melakukan perkara dengan lebih baik dan mempunyai keberanian untuk mencuba cara baru walaupun tiada keutamaan.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How, yang menyampaikan anugerah itu, turut menyentuh mengenai pentingnya inovasi dalam Mindef dengan menekankan bahawa inovasi tidak boleh hanya bersifat dari atas ke bawah, tetapi juga perlu berlaku dari peringkat bawah ke atas.

Bay DAC mudah alih itu bertujuan meningkatkan kecekapan latihan ketenteraan dan membina keyakinan mereka dengan membenarkan rekrut membaling bom tangan palsu di lapangan.

Sebelum ini, para rekrut di BMTC School 2 perlu membuat perjalanan sekitar dua kilometer ke kemudahan tetap terbuka untuk mempraktikkan teknik melontar bom tangan palsu, serta mencapai jarak yang diperlukan.

Semasa dihubungi Berita Harian (BH), LTC Mohammad Faizal berkongsi bahawa idea untuk mencipta rekaan itu timbul apabila latihan membaling bom tangan palsu ini sering terganggu akibat cuaca buruk, justeru menjejas keberkesanan latihan untuk para rekrut.

“Jadi latihan itu terpaksa dijadualkan semula (dalam cuaca buruk) dan menyebabkan gangguan dalam aktiviti kami. Sambil itu, sumber tambahan diperlukan untuk menjadualkan latihan DAC itu semula. Disebabkan itu, kami memikirkan bagaimana mencipta rekaan yang membolehkan latihan yang sama dijalankan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” ujar beliau.

Apa yang menarik, rekaan Bay DAC mudah alih ini begitu senang untuk dipasang, ibarat “mencantumkan kepingan Lego”.

“Setiap 11 kepingan akan dicantum dengan mudah ke bahagian lain... setelah dipasang, struktur itu dengan pantas membentuk struktur yang berdiri sendiri, sama seperti bagaimana kepingan Lego membentuk model yang lengkap,” kongsi LTC Mohammad Faizal.

Beliau juga mempertimbangkan faktor-faktor seperti keselamatan, keupayaan untuk digunakan dengan cepat dan mudah pasang.

Dengan penghargaan yang diberi bagi rekaan Bay DAC mudah alih ini, LTC Mohammad Faizal berasa puas hati dapat menyumbang dalam memperbaiki latihan untuk para rekrut.

“Ia sememangnya merupakan pengalaman yang sangat memuaskan untuk menerima pengiktirafan ini. Tetapi yang lebih penting, ia membantu kami untuk terus mengekalkan semangat dan keberkesanan pengalaman latihan untuk para tentera.

“Di sebalik semua ini adalah usaha untuk meningkatkan taraf tentera kita dan menjadikan latihan lebih menarik, lebih efisien dan lebih berkesan. Itulah sebab kami terus berusaha untuk memperbaiki cara kerja kami di sini,” ujar beliau.

Sambil menyediakan Bay DAC Mudah Alih itu di fasiliti tetap setakat ini, LTC Mohammad Faizal menyasarkan rekaan itu akan ke sekolah BMTC lain kelak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg