Topik diikuti
Pergi ke BHkuInovasi ‘Jaga’: Pelajar ITE cipta peranti AI, bantu warga emas sebatang kara
Inovasi ‘Jaga’: Pelajar ITE cipta peranti AI, bantu warga emas sebatang kara
Ciptaan dengan pengesan jatuh, peringatan berbilang bahasa antara inovasi di Pameran AI Tampines hingga 21 Jun
Inovasi ‘Jaga’: Pelajar ITE cipta peranti AI, bantu warga emas sebatang kara
Daripada kejadian terjatuh sehinggalah kepada mengurus janji temu kesihatan yang berderet, proses penuaan secara sihat dan berdikari pastinya mendatangkan pelbagai cabaran serta risiko bagi warga emas yang hidup sebatang kara.
Sementara itu, para penjaga berdepan tekanan hebat apabila perlu mengimbangi pelbagai aspek penjagaan, selain tidak berupaya untuk sentiasa berada di sisi warga emas.
Demi meringankan beban tersebut, empat pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur di bawah bimbingan pensyarah mereka, telah membangunkan ‘Jaga’ - sebuah peranti sedia pakai dan aplikasi berteraskan kecerdasan buatan (AI).
‘Jaga’ menggunakan beberapa kemudahan bahasa dan perbualan AI, untuk menghasilkan peringatan visual dan audio yang mudah difahami menerusi pelbagai bahasa serta dialek, bagi memastikan warga emas tidak terlepas janji temu kesihatan mereka.
Malah, ia turut dilengkapi dengan giroskop bagi mengesan kejadian terjatuh secara segera, sekali gus menghantar amaran kepada penjaga bagi memastikan tindak balas kecemasan diambil dengan lebih pantas.
Huraian inovatif ini melayakkan pasukan tersebut, EcoFusion Lab, meraih tempat ketiga di dalam pertandingan ‘Jom AI @ Tampines Hackathon’.
Pertandingan itu mencabar pelajar tempatan untuk mencipta huraian dipacu AI bagi menangani pelbagai isu masyarakat.
Sebanyak 10 pasukan terbaik, termasuk EcoFusion Lab, bakal mempamerkan hasil inovasi masing-masing di Pameran AI Tampines yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun di Our Tampines Hub (OTH).
Pasukan itu terdiri daripada empat pelajar daripada latar belakang akademik berbeza, iaitu Encik Hanis Jepri, 19 tahun (jurusan Teknologi Proses Kimia); Encik Seh Jia Jun, 23 tahun (jurusan Kejuruteraan Mekanikal); serta dua pelajar jurusan Pengurusan Landskap dan Reka Bentuk, Cik Cheng Pei Ying dan Encik Koh Jia Le Seth, kedua-duanya 18 tahun.
Mereka juga mewakili Kelab Duta Hijau Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur.
Pensyarah jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Encik Muhd Riazul Islam Mah, berkata ‘Jaga’ diilhamkan oleh pengalaman peribadi Encik Seh selepas neneknya terjatuh di rumah ketika bersendirian beberapa bulan lalu.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Muhd Riazul, berkata:
“Walaupun tidak semua pelajar mempunyai latar belakang dalam bidang AI dan elektronik, saya amat bangga kerana mereka berjaya menyesuaikan diri dengan cepat, selain saling membantu demi mencipta kemudahan ini.
“Latar belakang akademik yang berbeza juga membolehkan mereka menyumbang idea dan pandangan yang bernilai.
“Saya rasa acara hackathon AI ini berjaya meluaskan jaringan kenalan pelajar di samping mereka juga dapat meraih ilmu yang lebih luas, sekali gus mendorong mereka meneroka kaedah lebih inovatif dalam berbakti kepada masyarakat mengikut minat masing-masing.”
‘Jaga’ juga direka supaya boleh diselaraskan dengan aplikasi kesihatan nasional, termasuk Health Buddy, pada masa depan.
“Kami berhasrat memperluaskan penggunaan teknologi mereka dalam bentuk jam tangan atau rantai leher, yang boleh dipakai oleh warga emas dengan lebih mudah,” tambah Encik Muhd Riazul, yang juga salah seorang Ketua Kelab Duta Hijau ITE Kolej Timur.
Acara ‘Jom AI @ Tampines Hackathon’ - anjuran Persatuan Rakyat (PA), OTH dan firma teknologi dan AI, NCS Group - telah menghimpunkan para pelajar daripada peringkat sekolah menengah, ITE, politeknik dan universiti bagi membangunkan huraian berteraskan AI untuk menangani cabaran seharian yang dihadapi masyarakat.
‘Hackathon’ itu menyaksikan pelajar berinteraksi dengan lebih 150 penduduk Tampines, termasuk pemimpin masyarakat, warga emas, pelajar lain dan golongan kurang upaya, yang berkongsi cabaran seharian dalam kalangan masyarakat Tampines.
Dari 25 April hingga 30 Mei pula, lebih 40 pasukan telah bekerjasama rapat dengan mentor industri bagi mencipta huraian AI yang mengemudi pelbagai keperluan masyarakat.
Susulan siri sesi bimbingan dan penyampaian projek, 10 pasukan terbaik dipilih dan mereka bakal mempamerkan inovasi masing-masing di Pameran AI Tampines 2026.
Para pengunjung boleh menerokai pelbagai kemudahan berteraskan AI di lebih 50 reruai interaktif yang disediakan oleh rakan kongsi masyarakat, syarikat teknologi dan para pemenang ‘Jom AI @ Tampines Hackathon’.
Pameran statik sudah dibuka sejak 16 Jun. Sementara itu, pengalaman dan reruai interaktif dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Jun di merata OTH, selepas majlis pelancaran rasmi diadakan sekitar 6 petang pada 19 Jun.
Menerusi aktiviti interaktif serta paparan teknologi secara langsung, orang ramai dapat mempelajari bagaimana AI mempertingkatkan kehidupan seharian, merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, mobiliti, penerangan, riadah dan kesejahteraan masyarakat.
Berikut adalah antara aktiviti menarik dan reruai interaktif yang boleh diterokai semua lapisan masyarakat, daripada golongan muda hingga warga emas.
BiliSG untuk mengesan penyakit kuning atau Jaundice
Robot Manusia atau humanoid NCS
Pensieve-AI untuk mengesan masalah peringatan atau pra-demensia
‘Butler Robot’ Aiden
DRBA - robot bantu berdiri, bergerak dengan selamat
